Home » , »

Written By Wadah Baru on Isnin, 1 Oktober 2018 | 9:31 PTG

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mengumumkan beberapa perubahan besar di universiti khususnya dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bagi memberikan mahasiswa lebih banyak kebebasan berpolitik.

Antara perubahan tersebut termasuk menghapuskan peruntukan undang-undang yang menghalang mahasiswa daripada aktif berpolitik, serta memberi kuasa kepada mereka menjalankan pemilihan kampus sendiri tanpa campur tangan daripada pentadbiran universiti.

"Pada sesi parlimen yang akan datang, saya akan bawa (pelan) pemansuhan peruntukan tertentu yang menghalang pelajar daripada aktif dalam politik," katanya.

Terdahulu, Maszlee mengadakan sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan sekumpulan aktivis mahasiswa yang diketuai Asheeq Ali Sethi Alivi untuk membincangkan pemansuhan Auku di sebuah hotel di Putrajaya.

Maszlee berkata UIAM bersetuju membentuk kesatuan pelajar di mana pelajar dapat menguruskan aktiviti mereka sendiri dan universiti itu juga bersetuju mempunyai wakil pelajar di senat.
Sementara itu, Asheeq Ali berkata Maszlee juga bersetuju menggugurkan kesemua tindakan terhadap mahasiswa di bawah Auku.

"Kesalahan semua pesalah Auku dimulakan oleh kerajaan dahulu, tindakan bermotif politik di bawah Auku akan digugurkan serta merta.

"Kami gembira dan terima sepenuhnya keputusan kementerian untuk gugurkan kesemua kesalahan-kesalahan bermotif politik terhadap aktivis mahasiswa yang bersuara pada era Barisan Nasional," katanya dalam sidang akhbar berasingan.

Asheeq berkata Maszlee juga memberi kebenaran kepada pelajar membentuk sebuah jawatankuasa pemantau pemilihan kampus dan beliau menggesa universiti untuk memberikan kerjasama.

"Kebenaran diberikan untuk kami buat jawatankuasa untuk pantau. Saya menggesa semua pihak di universiti untuk terima kenyataan bahawa kerajaan dah berubah. Ini era rakyat Malaysia baru di mana mahasiswa patut diberi kebebasan bersuara, kebebasan bertanding tanpa intimidasi atau ugutan dari mana-mana belah pihak.

"Tindakan kotor seperti ugutan yang dilakukan pada era BN sudah tamat," katanya.

Asheeq, yang memprotes pelantikan Maszlee sebagai presiden UIA baru-baru ini, kini memuji beliau kerana mengadakan pertemuan dengan mahasiswa.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger