Home » , » Keperluan Kebijaksanaan dan  Bermuafakat Dalam Perjuangan

Keperluan Kebijaksanaan dan  Bermuafakat Dalam Perjuangan

Written By Wadah Baru on Sabtu, 16 Januari 2016 | 10:05 PG

Oleh Ust Haji Abdul Ghani Samsudin

Untuk mencapai sesuatu kejayaan dan meraih kemenangan dalam perjuangan memang memerlukan
berbagai persiapan di samping perlu memenuhi berbagai persyaratan . Sebab itu persiapan perlu disediakan dahulu; baik yang bersifat ilmu dan sifat sifat keruhanian seperti sabar, mahupun yang bersifat fizikal ; seperti organisasi, pasukan atau kumpulan, kelengkapan meterial dan sebagainya.

Semakin besar dan tinggi tujuan yang hendak dicapai, semakin banyak dan rencam persiapan yang perlu disediakan . Sebab itu Allah menegaskan dalam surah Fussilat ayat 35 :
وَمَا يُلَقَّاهَا إِلَّا الَّذِينَ صَبَرُوا وَمَا يُلَقَّاهَا إِلَّا ذُو حَظٍّ عَظِيمٍ
Tidak akan meraihnya ( kemenangan itu )  kecuali orang yang sabar dan tidak akan menggapainya kecuali orang yang sangat beruntung.

Dalam Surah Al Qasas ayat 89:

وَقَالَ الَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ وَيْلَكُمْ ثَوَابُ اللَّهِ خَيْرٌ لِّمَنْ آمَنَ وَعَمِلَ صَالِحًا وَلَا يُلَقَّاهَا إِلَّا الصَّابِرُونَ
Dan berkata pula orang-orang yang diberi ilmu (di kalangan mereka): "Janganlah kamu berkata demikian, pahala dari Allah lebih baik bagi orang yang beriman dan beramal soleh; dan tidak akan dapat menerima (pahala yang demikian) itu melainkan orang-orang yang sabar".

Keperluan berjamaah dan berorganisasi merupakan suatu yang axioma . Keperluan organisasi yang  baik dan cekap memang sudah lumrah. Hari ini, segala galanya bersifat institusi, kesatuan  atau pakatan . Manusia merangka berbagai pakatan senegara, serantau dan sedunia. Ini adalah suatu kemestian. Sebab itu ramai kalangan yang berpakat dan mengatasi  sifat keakuan masing masing untuk mencapai matlamat yang lebih besar; melalui pembentukan sesuatu pakatan yang boleh melonjakkan langkah mereka melakar kejayaan. Oleh kerana itu  mereka tidak asyik dan khayal dengan kehebatan diri  atau kehebatan parti mereka, tapi  mereka terus mengemaskan jentera kesepakatan demi memastikan kejayaan perjuangan mereka.

Allah berfirman :
إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفًّا كَأَنَّهُم بُنْيَانٌ مَّرْصُوصٌ
Allah suka orang yang berjuang di jalan-Nya dalam satu saff (barisan atau pakatan) laksana barisan bangunan yang kukuh .

Apakah prasyarat sesuatu pakatan pergerakkan yang kuat . Pakar dalam bidang ini menerangkan:

1. Perlulah ditanamkan keyakinan kepada pemimpin dan pengikut tentang kemestian usaha atau amal berpasukan. Dengan lain-lain perkataan menobatkan nilai kesepakatan yang tertib , berpiagam dan terurus dengan baik dan bertamadun demi meraih sesuatu matlamat dan kejayaan.

2. Mengawal  dan membatasi semangat ego dan keakuan  yang berlebihan; yang menghina rakan sepasukan dan mengkucar-kacirkan kesepakatan.

3. Mengukuh dan menyuburkan pengetahuan dan menambah kemahiran untk mengukuhkan kesepakatan pasukan.

4. Mengukuhkan kebijaksanaan dan kemahiran memimpin pakatan dan mengurus rakan sepasukan.

5. Memberi perhatian terhadap pengembangan ilmu serta kemahiran asas demi mengukuhkan pasukan.

6. Mengujudkan mekanisme keilmuan , prosedur yang praktikal  serta memanfaatkan kebijaksanaan untuk  menangani krisis yang dihadapi oleh pasukan dan pakatan .

7. Mengadakan indikatur pengukuran untuk menilai pencapaian pasukan dan  pakatan dalam usaha mereka.

8. Menyediakan acara dan  s.o.p menghadapi gejala penyakit atau krisis yang boleh memecahbelahkan pasukan dan pakatan.

Kesimpulan di atas disokong oleh dalil , hujah dan ayat ayat berikut:
a -Allah berfirman dalam Surah Ali Imran ayat 104
ولتكن منكم امة يدعون الى الخير
Hendaklah ada segolongan dari umat ini yang menyeru kepada kebaikan

Ali Imran 103:
واعتصموا بحبل الله جميعا ولا تفرقوا

Berpegang teguhlah kalian semua dengan tali ( agama) Allah dan jangan kalian berpecah belah.

Dalam Surah Ali Imran 146 Allah menegaskan:
وكأي من نبي قاتل معه ربيون كثير
"Berapa banyak para Nabi yang ikut berjuang dengan mereka banyak para Ribbiyun. "
Ribiyyun di sini ialah merujuk kepada mereka yang berjuang dalam pasukan atau pakatan

b - Berjuang dalam pasukan atau pakatan lebih berkemungkinan mendapat rahmat Allah  di samping lebih berkemungkinan mendapat kejayaan . Rasulullah menegaskan:
اهل رحمة الله هم اهل الجماعة وان تفرقت ديارهم وابدانهم

"Mereka yang berkemungkinan mendapat rahmat Allah adalah mereka yang berjamaah (bersepakat dalam pakatan) meskipun berjauhan kedudukan negara dan fizikal masing masing."

c. Semakin besar himpunan pakatan maka semakin jauh mereka dari kemungkinan tersasar dalam kesesatan. Rasulullah menegaskan
ان الله قد اجار امتي من ان تجتمع على ضلالة.
Bahawa Allah telah menghindarkan umatku  dari bersekongkol dan duduk berhimpun dalam kesesatan.

Baginda menjelaskan lagi:
عليكم بالجماعة واياكم والفرقة فإن الشيطان مع الواحد وهو من الاثنين ابعد ومن اراد بحبوحة الجنة فليلزم الجماعة
رواه عمر ابن الخطاب
Kalian hendak berjamaah, awas jangan berpecah-belah. Sesungguhnya syaitan bersama dengan orang yang bersendirian. Syaitan lebih jauh daripada orang yang berdua ( bersama orang lain). Siapa yang minat menikmati kesenangan di syurga maka dia perlu berjamaah ( berpakat dan bermuafakat)

d - Bersepakat dan berpasukan akan lebih mungkin meraih rahmat pertolongan Allah . Dalam Surah al Maidah ayat 20 Allah berfirman:
وتعاونوا على البر والتقوى
Berkerjasamalah untuk berbuat kebaikan dan ketakwaan

Surah Al Anfal :46
ولا تنازعوا فتفشلوا وتذهب ريحكم
Jangan kalian berpecahbelah ( tidak mahu berpakat dan muafakat) nanti kalian akan gagal dan hilang keharuman reputasi kalian.

Dalam hadith dinyatakan :
يد الله مع الجماعة
"Pertolongan Allah datang dengan berjamaah"

Rasulullah memang  mengalakkan umatnya berjamaah; bersepakat secarat teratur menjayakan perjuangan. Baginda tidak suka umatnya bersikap egoistik dan hidup bernafsu nafsi tanpa mengindahkan jamaah.

e - Berjuang dengan pendekatan bersepakat dan bertahaluf ini memang selaras dengan bimbingan prinsip , kaedah syara' dan Qawa'id Usul Fiqh. Ia selaras dengan kaedah :
ما لا يتم الواجب الابه فهو واجب
"Apa yang tidak sempurna wajib kecuali dengannya maka perkara itu menjadi wajib ."
Ini kerana banyak fungsi dan tugas tugas khusus memerlukan kepakaran dan takhassus.  Sebab itu dengan adanya kerja berpasukan maka perkara berkenaan dapat ditangani dengan jitu dan berkesan.

f. Kaedah logik menegaskan bahawa bersendirian adalah lemah dan mempunyai keupayaan yang terhad. Sebab itu berpakat dan berpasukkan akan menggandakan kekuatan dan keupayaan menentang kebatilan dan menegakkan kebenaran. Parkara ini juga benar dalam kontek perjuangan politik. Sebab itu kita lihat BN mempunyai banyak parti pakatannya untuk menerajui politik negara Malaysia, oleh itu parti pembangkang pun amat perlu kepada kesepakatan.

g. Berusaha melalui kesepakatan dan amal jama'i adalah sunnah alam . Ini ditegaskan oleh ayat ayat Allah tentang kerajaan lebah , kumpulan semut, burung burung di angkasa dan malah ikan ikan di lautan. Demikian juga kumpulan binatang di hutan dan malah gugusan bintang bintang di langit.

h- Kerja berpasukan dan kesepakatan akan memungkinkan  kejayaan yang lebih cemerlang dicapai dan puncak prestasi yang lebih gemilang dapat digapai . Malah spektrum kejayaan yang lebih luas dapat diperlolehi dengan kualiti yang lebih baik. Khasnya bila matlamat dan objektif yang hendak dicapai lebih rencam dan pelbagai.

i. Kesepaduan dan kekompakan masyarakat akan lebih terjelma dalam pelbagai program kerjasama. Rasa kasih sayang, mahabbah, kepedulian dan sifat terbuka akan lebih subur di kalangan rakyat yang bersepakat dan berkerja sebagai satu pasukan.

j. Dengan demikian keupayaan dan mutu kerja dan pencapaian individu akan meningkat; serentak dengan peningkatan jati diri dan syakhsiah mereka melalui:

-- adanya peluang yang lebih luas untuk meledakkan daya upaya mereka menghasilkan karya dan usaha mencapai prestasi secara individu dalam pasukan.

-- pertukaran pengalaman dan penambahannya dalam masa yang relatif singkat.

-- kebijaksanaan memanfaatkan kebolehan seseorang individu yang terlibat.

-- peluang memuaskan kehendak individu dan orang ramai dari sudut emosi dan naluri iaitu keperluan kepada penghargaan, kasih sayang , kedamaian dan keamanan.

-- peluang meningkatkan keupayaan berfikir, meluaskan wawasan melalui pembelajaran, daya berfikir kritis, mempelbagaikan alternatif penyelesaian dan saling menyempurnakan kekurangan masing-masing demi meraih kejayaan.

-- boleh mengukuhkan semangat bergerak melalui pakatan, institusi  dan pasukan sebagai menjelmakan semangat persaudaraan kemanusiaan, ketamadunan pada masa kini.

-- dapat menggalakkan semangat saling berlumba , berusaha dan berkurban serta berdedikasi dalam masyarakat.

-- Akhirnya mengukuhkan kesediaan untuk menerima pembaharuan, meningkatkan diri dan berkembang dalam setiap lapangan kehidupan.

Inilah kebaikan berkerja secara bersepakat serta berjuang untuk menumpaskan kebatilan , menentang kezaliman membela nasib rakyat yang semakin terhimpit dengan berbagai penderitaan melalui pelbagai parti politik pembangkang yang sealiran dan dan mempunyai banyak persamaan berbanding perbedaan. Ini jika mereka terus beristiqamah dan ingin terus berjuang .

Jika mereka enggan bersepakat maka mereka memang tidak akan ada harapan untuk memenangi pertarungan politik yang mereka harungi kini. Kecualilah mereka sudah letih dan hanya mahu jadi penasihat, maka ketika itu mereka bolehlah berkecuali dan menikmati apa jua habuan yang mereka dapat gapai dan capai. Tinggalkanlah perjuangan kepada Pakatan Harapan untuk meneruskan perjuangan membela rakyat.


(Untuk pengetahuan lebih lanjut tentang tema ini rujuk kitab " Usus Wa Maharat Al 'amal Al Jam as I ft  " Oleh Ibrahim Al Dieb Cetaka Pertama Dar al Wafa'  Mansurah Mesir 2005)

Ust Haji Abdul Ghani Samsudin
Timbalan Penasihat Umum
 Parti Amanah Negara.

2 ulasan:

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger