Home » , » RUU 355: ‘Terus dibawa ke Parlimen, langgar Raja-Raja Melayu’

RUU 355: ‘Terus dibawa ke Parlimen, langgar Raja-Raja Melayu’

Written By Wadah Baru on Rabu, 31 Januari 2018 | 11:06 PG

Oleh Arif Atan

Bekas penasihat undang-undang Pas, Hisham Fauzi berkata, Presiden Pas tergesa-gesa membawakan Rang Undang-Undang Persendirian (RUU) untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 juga dikenali sebagai Akta 355 yang akan membuka laluan pelaksanaan hudud di Kelantan.

Menurutnya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang melanggar proses penelitian yang sedang berjalan dalam Jawatankuasa Teknikal Peringkat Kebangsaan berhubung penguatkuasaan Kanun Jenayah Syariah II Kelantan 1993 atau hudud.

“Tiba-tiba ketika tengah bincang, siap semua kaedah, Presiden Pas memasukkan Rang Undang-Undang Persendirian ke Parlimen, melanggar persetujuan dan ‘road map’ asal kita.

“Kalau ikut pelan asal kita, kita nak menghadap Raja-Raja Melayu dulu, kita dapatkan perkenan Raja-Raja Melayu dan kelulusan Majlis Raja-Raja,” ujarnya dalam Ceramah Pakatan Harapan di Machang baru-baru ini.

Hisham berkata, kaedah tertentu telah ditetapkan supaya pelaksanaan tersebut dapat dicapai melalui jawatankuasa yang terdiri daripada 18 anggota meliputi bekas hakim, profesor, hakim dan wakil penjara melibatkan kerajaan Pusat dan kerajaan negeri Kelantan.

“Kita sudah bincang belaka nak buat. Kita telah buat satu kaedah bagaimana pelaksanaannya supaya kita boleh buat.

“Sebab sebelum ini apa-apa pindaan yang melibatkan Mahkamah Syariah tidak pernah dibuat tanpa kebenaran dan persetujuan Majlis Raja-Raja.

“Kita sudah fikirkan kalau dapat persetujuan Majlis Raja-Raja, kita mendapat perkenan Raja-Raja Melayu maka bila bawa ke Parlimen, tiada ahli parlimen Islam yang membantah tapi terus dibawa ke Parlimen, langgar Raja-Raja Melayu,” tegasnya.

Untuk rekod, Abdul Hadi menghantar notis kepada Dewan Rakyat untuk membentangkan RUU 355 pada 19 Mac 2015 sebelum diberi peluang oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said untuk membacakan usul itu buat kali pertama pada 26 Mei 2016 iaitu 10 hari sebelum penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

Walaupun begitu, Hadi meminta perbahasan mengenai RUU tersebut ditangguhkan diikuti pada 24 November 2016 dengan membentangkan versi yang disemak semula selepas memasukkan had hukuman penjara tidak melebihi 30 tahun, rotan tidak melebihi 100 sebatan dan juga denda tidak melebihi RM100,000.

Selanjutnya, Ahli Parlimen Marang itu sekali lagi membentangkan usul berkaitan pindaan Akta 355 itu pada 6 April 2017 dengan menegaskan pindaan tersebut untuk memperkasakan Mahkamah Syariah bukannya pintu belakang untuk pelaksanaan hudud di negara ini.

Berhak potong

Mengulas lanjut, Hisham berkata, dalam sejarah Malaysia tidak pernah usul persendirian yang dibawa oleh pembangkang berjaya sebaliknya perlu dibentangkan oleh kerajaan.

“Tetapi ramai orang Pas, mereka ingat bila Haji Hadi bentang di Parlimen, lepas itu mengundi, lepas lulus, itu terus jadi undang-undang. Bukan begitu. Lihat Aturan 48, aturan tetap dewan.

“Baca, bentang, bahas. Kalau mengundi, menang maka usul itu akan dibawa kepada mana-mana menteri untuk diuruskan menteri berkenaan.

“Maknanya, kena beri kepada kerajaan juga bukan terus jadi undang-undang. Menteri pula bila dapat dia berhak potong, pinda, terpulang pada dia mahu angkat bila,” jelasnya.

Sehubungan itu, Timbalan Pengerusi Biro Undang-undang AMANAH (Kanun) berkenaan menolak dakwaan kononnya AMANAH menolak pelaksanaan hudud.

“Kalau nak kata AMANAH tolak hudud, kami dulu setuju, kita terlibat (perbincangan) daripada awal,” katanya yang memegang jawatan Timbalan Pengerusi Lajnah Undang-Undang Pas Pusat pada 2014.

Mengimbas semula cadangan untuk ‘menghidupkan semula’ hudud ketika itu, Hisham memberitahu Lajnah Undang-Undang Pas Pusat bermesyuarat dengan dipengerusikan Hanipa Maidin yang kini Pengerusi Biro Kanun.

“Kita mesyuarat berkumpul di Kuala Lumpur. Kita bincang balik dan bahas selama dua hari dan kita bukukan cadangan kita itu supaya beberapa pindaan beberapa Akta Kanun Jenayah Syariah II 1993 dibuat.

“Maka dipilih 12 peguam untuk datang bentang perkara itu kepada Ketua Hakim Syariah Negeri Kelantan dan Datuk Mufti di Balai Islam, Lundang (Kota Bharu),” ujarnya sambil memberitahu tujuh daripada 12 peguam terbabit telah berada dalam AMANAH pada masa ini.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger