Home » » AMANAH: Cahaya Dari Gunung

AMANAH: Cahaya Dari Gunung

Written By Wadah Baru on Ahad, 14 Ogos 2016 | 4:34 PTG


Oleh Muhammad Fayz Ahmad Ibnu Abdullah

Ianya terbit dari Kuala Kangsar- Bandar Di Raja, saat Pilihanraya Kecil berlangsung baru-baru ini. Beberapa orang sahabat dari harakah hizib Amanah sedang berkempen meraih undi di salah satu tempat mengundi. Sedang asyik merayu undi di dalam cekal kelelahan melaksana ibadah puasa, berlalu seorang Pak Tua. 

Pak Tua, beliau yang berkemeja kelabu petak-petak, berkopiah putih, wajahnya bersih berkaca mata menghampiri sahabat lalu bertanya, ada lagi tak bendera Amanah?. Sahabat menjawab bahawa bendera sudah habis. Payung boleh tak pak cik?. Hah! Boleh juga, ujar Pak Tua lalu mengambil payung dari sahabat mengucap terima kasih, senyum dan berlalu pergi. Di samping Pak Tua itu, ada seorang anak kecil dalam umur 10 tahun bersama beliau, boleh jadi menemani Pak Tua berjalan dalam keriuhan pilihanraya tersebut. Dari sayup, kira-kira satu meter dari sahabat terdengar dialog di antara Pak Tua dengan cucunya. Tok, tok, kalau tadi parti bulan, yang ini apa pula, tok? tanya anak kecil itu. Dengan ringkas, Pak Tua menjawab, oh yang ini parti gunung, spontan. (Merujuk akan logo Parti Amanah Negara yang seakan-akan bentuk puncak gunung).
Sahabat saya dan seorang lagi teman seperjuangan yang turut mendengar perbualan tersebut, berpandangan sesama sendiri, gumam. Lalu terfikir, ingin menerimanya sebagai sesuatu yang sinis atau optimis? 

Gunung. Suatu simbolisme yang sangat terkesan bagi perjalanan perjuangan dakwah dan siyasah harakah Islamiyyah di Tanah Melayu khususnya dan Malaysia umumnya. Jika ditimbang sejak zaman sebelum Merdeka, mereka yang menelusuri sejarah pergerakan Islam pasti tidak lekang dengan sinonim Hizbul Muslimin dengan Gunung Semanggol. Pada ketika penjajah British ingin mempropagandakan gerakan Islam dari Gunung Semanggol ini, mereka melabelkannya sebagai bahaya dari gunung.

Gunung jika dilihat dari misalan-misalan yang dizahirkan dalam sumber Islam sesungguhnya memperlihatkan peringatan-peringatan yang signifikan kepada manusia agar mengurus tadbir alam dan kemanusiaan dengan amanah dan adil.

Kita boleh lihat bagaimana Al-Quran memperingatkan bahawa gunung-ganang itu adalah pasak bumi.

Kita boleh perhatikan betapa Al-Quran menceritakan bahawa gunung sendiri tawaddhuk, takut dan khusyuk sehingga akan hancur lebur jika Al-Quran ini diturunkan kepadanya. 

Kita boleh renungi bahawa Al-Quran menegaskan manusia-manusia agar jangan bersikap sombong walhal kesombongan mereka itu tidak mampu menggoncangkan gunung sekalipun.

Manakala, jika kita teliti Sirah Nabawi dan Kisah-kisah Para Nabi dan Rasul terdahulu (Qishashul Anbiya’) kita boleh dapati bahawa gunung juga merupakan tempat yang sangat hampir dan relevan dengan perjuangan para Nabi dan Rasul.

Baginda Nabi Nuh Najiyullah AS membina kapalnya di atas gunung dan berlabuh juga di atas gunung.

Sayyidina Musa Kalamullah AS bermunajat dan berbicara dengan Rabb-nya di Gunung Thursina.
Nabiyullah Isa Ruhullah AS diriwayatkan bersama-sama dengan para Hawariyyun telah berdoa dan beribadat pada malam hari sebelum Baginda diangkat ke langit, di satu tempat  di kaki Gunung Zaitun di Baitul Muqaddis. 

Junjungan Besar kita Baginda Nabi Muhammad Habibullah SAW juga tatkala berkhalwat bertahannuth, Baginda memilih Gua Hira’ yang berada di atas Gunung Nur (Jabal Nur). Malahan di saat Peristiwa Hijrah, Baginda dan Sahabat yang dikasihinya, Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq RA telah berlindung sebentar di dalam Gua Thur di Gunung Thur (Jabal Thur).

Maka dari siri rentetan ibarat dan isyarat yang boleh kita kutip di sini, bahawa perjuangan Islam sangat dekat jua dengan gunung. Walaupun, sesungguhnya iktibar dari peringatan Al-Quran dan perjuangan Para Nabi dan Rasul tersangatlah lebih besar makna dan kefahamannya, akan tetapi kami di Amanah mahu menumpang sedikit kebarakahan dari kisah gunung dan perjuangan Nubuwwah dan Risalah ini, ingin kami titipkan disemat pada dada perjuangan serta menyatakan bahawa kami juga berjalan di atas jalan perjuangan dan akhlak Nubuwwah dan Wilayah - Ulama’ warasatun Anbiya’. Marilah kita memperjuangkan perjuangan Islam yang suci ini bersama-sama. 

Salam perjuangan dari AMANAH : CAHAYA DARI GUNUNG, semoga NUR ISLAM akan terus bersinar sebagai RAHMATAN LIL ‘ALAMIN. Semoga kita bersua kemakmuran siyasah, kesenangan iqtisad dan keharmonian ijtimaie di hari-hari yang mendatang ini. InshaAllah! Allahu Akbar! 

Muhammad Fayz Ahmad Ibnu Abdullah
Bandar Darulaman,
Kedah Darul Aman - hijau bendang, kuning padi, merah tanah berpisah tiada!

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger