Oleh Hayar Hassan
Apabila berbicara soal PRU ke 14, kebanyakan rakyat berpendapat ianya akan diadakan pada tahun 2017.
Lebih tepat lagi selepas beberapa bulan sesudah pembentangan Bajet 2017.
Menurut Perlembagaan Persekutuan, tarikh paling lewat PRU ke 14 wajib diadakan adalah bulan Ogos 2018.
Ini bermakna semua parti-parti politik Malaysia mempunyai tempoh masa
sekitar 2 tahun saja lagi untuk membuat persediaan sebelum menghadapi
PRU ke 14.
Namun demikian, pakar-pakar ekonomi berpendapat tahun 2017 dan 2018
bukanlah tahun-tahun yang bagus bagi pertumbuhan ekonomi Malaysia dan
dunia.
Kemelesetan ekonomi dunia lazimnya berlaku setiap 10 tahun.
Kemelesetan ekonomi paling teruk yang Malaysia hadapi adalah pada tahun 1998.
Sesetengah orang berpendapat bahawa waktu ini pun Malaysia sudah merasai kemelesetan ekonomi yang teruk.
Petunjuk-petunjuknya adalah kurangnya peluang-peluang pekerjaan kepada rakyat, berkurangnya pelaburan luar (Foreign Direct Investment@FDI),
meningkatnya bilangan penganggur di kalangan graduan, malapnya industri
hartanah, menurunnya bilangan kereta baru yang dapat dijual oleh
pengedar-pengedar kereta, bertambahnya lagi senarai panjang
individu-individu yang diistihar muflis, bertambahnya bilangan hartanah
dan kereta peribadi yang disita, harga barang-barang keperluan meningkat@inflasi, nilai mata wang kita RM yang tidak tetap@stabil, kurang lakunya dagangan peniaga-peniaga dan banyak lagi perkara-perkara lain.
Senarainya terlalu panjang. Berbual lah dengan usahawan dan
peniaga-peniaga, mereka akan bercerita panjang tentang keadaan ekonomi
negara kita pada waktu ini.
Semua mereka pastinya mengeluh susah. Hatta penjual nasi lemak di
tepi-tepi jalanraya pun merungut kerana harga bahan-bahan mentah
dagangannya tetap selalu naik.
Oleh yang demikian mak cik-mak cik penjual nasi lemah terpaksa
menjual sebungkus nasi lemak RM1.00. Harga kueh pula adalah 0.40 sen
sebiji.
Kembali kepada topik PRU ke 14, kelihatannya parti-parti pembangkang
Malaysia waktu ini memang menghadapi delima untuk menyertainya secara
berkesan.
Cuma DAP sahaja yang berkeyakinan penuh untuk menghadapinya tanpa
terlalu memikirkannya sama ada pertandingan itu nanti lebih daripada dua
penjuru.
Bagi DAP pertandingan “ Satu Lawan Satu “ dengan BN bukan lah formula mutlak untuk mengalahkan BN dalam PRU ke 14 itu nanti.
DAP tetap yakin untuk memenangi kerusi-kerusi Parlimen dan Dun
walaupun mereka terpaksa menghadapi pertandingan lebih daripada dua
penjuru.
Beberapa hari lepas, Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow
menyatakan bahawa DAP bersedia menerima cabaran pertandingan 3 penjuru.
Hujah pimpinan DAP ini ada asasnya. Daripada pemerhatian banyak
pihak, pengundi-pengundi Cina tetap akan memberikan undi mereka kepada
DAP tanpa mengambil kira faktor siapa calon-calon DAP.
Pengundi-pengundi Cina mengundi mengikut parti, tidak kira faktor
bangsa calon-calon. Ini lah kelebihan yang dipunyai oleh DAP pada waktu
ini.
Dalam Pakatan Harapan@PH, kerisauan dan kegelisahan tentang
pertandingan lebih daripada dua penjuru ini sering kali diluahkan oleh
pimpinan PKR.
Buktinya mereka tidak bersetuju untuk mengadakan PRN mengejut Pulau Pinang baru-baru ini.
Kawasan-kawasan yang dibimbangi sukar dimenangi oleh mereka adalah kawasan-kawasan majoriti Melayu dan campuran.
Dalam hal ini dibimbangi kedegilan PAS untuk tetap menyertai dalam
banyak kawasan majoriti Melayu dan campuran akan akhirnya tetap
memenangkan BN.
PAS mungkin bertindak sebagai “Kacau Daun“ hanya semata-mata kerana
masih berdendam kepada DAP dan Parti Amanah. Pimpinan PH khususnya wajar
mencari formula terbaik ke atas permasalahan ini.
Seterusnya perlu juga mengambil kira parti baru yang bakal ditubuhkan oleh Tun Dr Mahathir Muhamad.
Sebagai jalan keluar ke atas permasalahan pembahagian kerusi-kerusi
yang bakal ditandingi oleh parti-parti pembangkang, berikut adalah
beberapa saranan yang mungkin boleh dipertimbangkan oleh pimpinan PH dan
parti-parti pembangkang lain:-
Tahap Pertama
Gabungan Pakatan Pembangkang Malaysia@PPM (sekadar nama sementara) perlulah diwujudkan dengan segera dan mempunyai satu pejabat sekretarait.
Ianya hendaklah diketuai oleh seorang Pengarah Eksekutif sepenuh
masa. Majlis Presiden PPM adalah Badan Tertinggi pembuat dasar dan
keputusan muktamad terhadap sebarang isu utama.
Matlamat bersama dan utama PPM adalah untuk mengalahkan BN dalam
sebarang PRU,PRN dan PRK. Modelnya adalah seperti yang telah dibuat oleh
PH.
Kerusi-kerusi yang telah ditandingi dan dimenangi oleh calon-calon
PKR dan DAP dalam PRU ke 13 lalu adalah kekal untuk ditandingi oleh
calon-calon PKR dan DAP mewakili PPM.
Kerusi-kerusi yang telah ditandingi dan dimenangi oleh calon-calon
PAS dalam PRU ke 13 lalu adalah kekal untuk ditandingi oleh PAS kecuali
lah wakil rakyat-wakil rakyat sedia ada untuk Parlimen atau DUN tersebut
memilih menjadi ahli Parti Amanah, maka kerusi tersebut akan ditandingi
oleh Parti Amanah mewakili PPM.
Pas amat wajar membiarkan wakil rakyat-wakil rakyat berkenaan membuat
keputusan mereka sendiri tanpa menerima tekanan daripada PAS . Kalau
tidak semuanya akan berantakan lagi !. Hujung-hujungnya UMNO/BN yang
untong. Seperti peribahasa Melayu, “Menang Sorak, Kampung Tergadai!“.
Saranan-saranan (2) dan (3) adalah dengan mengambil kira bahawa wakil
rakyat-wakil rakyat sedia itu telah memberikan perkhidmatan yang
terbaik dan memang mempunyai potensi yang tinggi untuk memenangi lagi
dalam PRU ke 14.
Untuk saranan (2) dan (3), jumlah keseluruhan kerusi Parlimen yang
akan dipertandingkan adalah 222.
Jumlah yang telah dimenangi oleh
Pakatan Rakyat@PR dalam PRU ke 13 dulu adalah adalah 89.
Bakinya adalah 133 kerusi(59.9 %). Untuk DUN pula, jumlah keseluruhan kerusi adalah 576.
Dengan mengambil kira 82 kerusi DUN Sarawak yang telah
dipertandingkan dalam PRN Sarawak baru-baru ini, baki DUN yang bakal
dipertandingkan dalam PRU ke 14 nanti adalah 494 sahaja.
Sejumlah 239 kerusi telah dimenangi oleh PR dalam PRU ke 13. Bakinya adalah 255 kerusi (44.3%).
Tahap kedua
Seandainya kesepakatan semua parti-parti pembangkang dapat dicapai
pada Tahap Pertama, rundingan seterusnya yang lebih kompleks dan
mencabar boleh diteruskan .
Rundingan pembahagian baki 133 kerusi Parlimen dan 255 kerusi Dun
barulah boleh melibatkan parti baru tajaan Tun Dr Mahathir dan lain-lain
parti pembangkang di luar PH.
Diandaikan PPM mampu mengekalkan 89 kerusi parlimen yang telah
dimenangi dalam PRU ke 13 lalu, PPM memerlukan hanya 23 kerusi kerusi
lagi untuk menduduki Pusat Pentadbiran Malaysia di Putrajaya.
Kerusi-kerusi ini perlu diperolehi daripada Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.
Kalau PPM mampu memenangi lebih daripada 23 kerusi, maka itu adalah lebih baik lagi!
Persoalannya bagaimanakah caranya untuk menggapai impian indah ini .
Bagi saya kunci utamanya adalah kesepakatan dan kerjasama yang kental
antara pemimpin-pemimpin semua parti-parti pembangkang dalam soal
pembahagian kerusi.
Melihatkan kepada respon-respon positif daripada Pengarah Pilihanraya
PAS, Datuk Mustafa Ali dan Naib Presiden PAS, Dato’ Amar Abdullah
akhir-akhir ini terhadap saranan Dato Tuan Ibrahim Tuan Man@DTITM
agar semua parti-parti pembangkang mengadakan “ Gencatan Senjata Sesama
Pembangkang “, kerjasama dengan PAS masih boleh dirintis kembali.
Cumanya sekarang ini pimpinan parti PAS dan PH perlulah menahan diri
daripada mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang kurang bijak dan
merugikan pembangkang.
Janganlah sampai semua penyokong-penyokong pembangkang merasa mual
dan bosan terhadap telatah sesetengah pemimpin parti-parti pembangkang.
Dinamika@Dinamik Pakatan Pembangkang Menjelang PRU Ke 14
Written By Wadah Baru on Ahad, 14 Ogos 2016 | 4:40 PTG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan