Home » , » Pas perlu RM3 juta kos saman Sarawak Report di England

Pas perlu RM3 juta kos saman Sarawak Report di England

Written By Wadah Baru on Ahad, 14 Ogos 2016 | 4:42 PTG

Tindakan saman yang bakal diambil Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap Sarawak Report perlukan perbelanjaan RM3 juta kata Presiden Pertubuhan Minda Sosial dan Prihatin, Ramesh Rao.

"Pas perlu menyediakan wang sekurang-kurangnya RM3 juta bagi menampung keseluruhan kos saman Sarawak Report di England," katanya

Beliau berkata demikian mengulas tindakan saman yang bakal diambil Presiden Pas terhadap Sarawak Report yang menyiarkan berita fitnah kononnya pemimpin parti itu menerima dana sebanyak RM90 juta daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mengakui terkejut dengan tindakan berani Pas, Ramesh menawarkan diri membantu parti itu menyediakan segala maklumat dan panduan kerana beliau ada pengalaman dalam proses permohonan saman kepada akhbar tersebut di England baru-baru ini.

"Jika Pas mahu saman Sarawak Report serta wartawannya, Claire Rewcastle Brown di England, sekurang-kurangnya RM3 juta diperlukan untuk menguruskan kes di mahkamah. Saya tahu jumlah kos sebab saya pernah bawa kes saman ke atas kedua-dua pihak itu di England dan saya bersedia bantu Pas sepenuhnya dalam hal ini kerana mahu selamatkan Malaysia daripada dicabul pihak luar," katanya.

Dalam perkembangan sama, Ramesh juga menyatakan kesyukuran kerana akhirnya Pas 'bangun daripada tidur' dan kini sedar akan apa yang dilaporkan Sarawak Report selama ini fitnah dan berniat jahat.

"Mungkin ramai di antara kita fikir Pas bertindak ke atas Sarawak Report hanya setelah parti itu sendiri difitnah dengan politik wang tetapi menutup mulut dan percaya segala laporan portal itu ketika kerajaan dan Najib dikritik dengan pelbagai tohmahan selama ini.

"Sebenarnya saya bersyukur kerana Pas yang selama ini tidak tahu segala berita Sarawak Report selama ini adalah fitnah baru sedar akan perkara sebenar setelah dia turut diperangkap dalam fitnah yang sama.

"Jadi, saya sokong dengan tindakan berani Pas untuk meneruskan saman ke atas Sarawak Report tanpa tidak berganjak dalam apa jua keadaan sekali pun selepas ini," ujarnya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger