Home » , » Kini, DoJ dituduh usaha campur tangan asing

Kini, DoJ dituduh usaha campur tangan asing

Written By Wadah Baru on Isnin, 15 Ogos 2016 | 9:00 PG

Oleh Tun Dr Mahathir Mohamad

Demikian pendedahan yang dibuat Department of Justice (DoJ) Amerika Syarikat (AS) berkenaan salah guna wang oleh keluarga dan kawannya dan “Malaysian Official 1” yang semua tahu ialah perdana menteri sendiri.

Najib dan konconya memikir cara memutar belit fakta yang didedah supaya rakyat Malaysia tertipu.
Kali ini kenyataan DoJ dituduh sebagai usaha campur tangan dalam urusan negara Malaysia.

Apakah AS yang begitu menghargai dasar Najib terhadapnya dan persahabatan Najib dengan Presiden Barrack Obama, berhasrat untuk menjatuhkan Najib. Mereka perlukan Najib menandatangani TPPA (Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik). Untuk menjatuhkan banyak cara yang boleh diguna seperti yang kita lihat di Timur Tengah.

Yang sebenar berlaku ialah pencabulan undang-undang AS oleh keluarga Najib, kawannya dan Malaysian Official 1.

Pembersihan wang haram sudah ditakrif sebagi jenayah di kebanyakan negara. Ini disebabkan pendapatan daripada mencuri dan dagangan dadah sering dibawa ke negara lain untuk dibelanjakan.

Kemasukan wang ke mana-mana negara (termasuk Malaysia) akan diperiksa untuk menentukan punca wang itu. Jika wang itu halal sekalipun cukai pendapatan perlu dibayar.

Jika punca wang berkenaan tidak dapat disahkan halal, iaitu ia mungkin dicuri atau berpunca daripada dagangan haram ia akan dirampas pegawai negara berkenaan.

Duit berbilion dolar yang dibelanjakan Riza Aziz, Jho Low menggunakan wang dari bank Amerika, membiayai pembelian hartanah dan lukisan di Amerika, membayar hutang judi dan pengeluaran filem Wolf of Wall Street. Oleh kerana wang haram dibawa masuk ke AS menggunakan bank AS dan dibelanjakan di sana maka ia melanggar undang-undang Amerika.

Negara itu berhak mengambil tindakan undang-undang negaranya seperti Malaysia juga berhak mengambil tindakan undang-undang terhadap orang asing yang melakukan jenayah di Malaysia. Jenayah orang asing tidak dikecualikan daripada undang-undang mana-mana negara.

Untuk elak daripada barangan yang dibeli dengan duit haram dihilangkan, DoJ mengambil tindakan sivil bagi merampas barangan dibeli Riza dan Jho Low. Kemudian baru mereka akan dituduh bawah undang-undang jenayah.

Di Amerika kebebasan media tidak boleh disekat seperti di Malaysia. Tuntutan media supaya didedah segala urusan pemerintah tidak boleh diketepikan. Dalam kes yang diketahui seluruh dunia seperti penyelewengan 1MDB, tidak ada kemungkinan DoJ rahsiakan maklumat yang ada padanya. Namun nama Najib tidak disebut.

Jenayah Najib di Malaysia boleh dirahsiakan secara haram. Tetapi janganlah harap negara asing akan rahsiakan jenayah yang dilakukan di negara mereka oleh kita.

Jika pendedahan ini boleh mempengaruhi sikap rakyat terhadap kerajaan Najib, yang salah ialah Najib. Kenapa cuba guna duit haram di Amerika.

Duit haram yang banyak tidak boleh disembunyikan. Duit sebegitu banyak tidak boleh diurus tanpa diketahui orang, tanpa catatan dalam buku dan dokumen. Jika disimpan di Malaysia pun, akhirnya akan diketahui orang juga. Yang haram tetap haram.

Wang tunai mungkin raja. Tetapi ia juga belenggu yang boleh meruntun turun pemiliknya sehingga jatuh tersungkur.

Tun Dr Mahathir Mohamad ialah bekas perdana menteri Malaysia.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger