Home » » Bagaimana kita harus menanggapi parti baru Mahathir

Bagaimana kita harus menanggapi parti baru Mahathir

Written By Wadah Baru on Isnin, 15 Ogos 2016 | 12:12 PTG

Oleh Nor Miswary Ramli

Rupa-rupa bukan semua yang meyakini demokrasi sejujurnya. Ini kita sedari seawal ketika Tun Mahathir disebut-sebut bernafsu semula untuk menubuh parti baharu yang hanya boleh disertai oleh orang Melayu/Bumiputera sahaja. Mulanya kita dihidang dengan kritikan tidak membina dari pihak UMNO sahaja, tetapi kini turut tumpang selori mengkritik penubuhan parti itu adalah beberapa pihak dari blok pembangkang.

Kenapa kita tidak boleh melihat dari kacamata yang lebih luas, lebih berkesan dan lebih bermanfaat? Biarpun cerita ini belum boleh dibuktikan kesahihannya, ada tokoh wartawan yang telah mengesahkannya di media.

Saya termasuk dalam senarai mereka yang tidak menandatangani Deklarasi Rakyat (DR) dan menyetujui gerakan politik ‘Selamatkan Malaysia’ yang diusahakan Tun Mahathir dan beberapa pimpinan parti dalam blok Pakatan Harapan (PH).

Bukan niat memperkecilkan usaha beliau dan beberapa pemimpin parti pembangkang yang lain. Saya cuma melihat ia tidak lebih daripada kaedah politik yang tidak praktikal yang tidak seharusnya disertai parti komponen PH yang sepatutnya menumpukan usaha memasarkan jenama Pakatan Harapan yang kebetulan baru sahaja ditubuhkan ketika itu.

Malah gerakan yang tidak pula dipimpin oleh mana-mana pemimpin PH ini dilihat pula sebagai satu kelemahan PH oleh rakyat. Rakyat menyimpulkan yang PH telahpun tewas ketika mendepani BN lalu berputus asa di tengah jalan, dan Tun Mahathir menyambut dan kemudiannya menyambungnya.

Persepsi ini menjadi sangat buruk ke atas PH di mata rakyat. Akibatnya berlaku sedikit gejolak kecil sesama parti dan pimpinan dalam PH. Malah saya sebenarnya telah lebih awal melahirkan kebimbangan gerakan ini boleh merubah batu asas perjuangan politik blok pembangkang dan boleh memperlahankan momentum PH yang sepatutnya diangkat melebihi DR dan gerakan ‘Selamatkan Malaysia’ ini.

Mujurlah warkah Anwar dari penjara telah sama berkongsi kebimbangan tersebut dan ianya sedikit sebanyak meredakan kegelisahan saya.

Tetapi apabila Tun Mahathir mula menyusun langkah baru bersama pemimpin UMNO terbuang, mahu menubuh parti baharu, saya melihatnya sebagai satu langkah agresif yang wajar dan perlu disegerakan. Saya bersama-sama beliau kali ini. Biarpun secara prinsip ideologi politik parti yang mahu beliau asaskan itu berbeda atau tidak mencapai nafsu blok pembangkang, namun ia seharusnya dilihat sebagai sebahagian elemen yang ada baiknya juga untuk PH.

Bukankah kita jujur mahu menjulang prinsip demokrasi yang memberikan hak buat mereka untuk menyampaikan hajat perjuangan politik mereka. Amanah yang ditubuhkan telah cuba mendakap sasaran semua bangsa sambil mengangkat nilai-nilai Islam yang membawa rahmat buat sekalian alam.  Ia sebagai sasaran yang meluas melangkaui idea politik parti PAS yang pernah mereka anggotai dulu. Mereka mungkin akan mewakili kerusi-kerusi PH yang lebih seimbang ataupun lebih sedikit nisbah Melayu/Islam yang menerima konsep Islam yang lebih universal, dan bukannya Islam yang terhad dan lebih jumud.

Ketika DAP dan PKR yang tentunya akan dipertanggungjawabkan kepada kerusi-kerusi majmuk yang majoritinya bukan Melayu/Islam, sudah tentu parti baharu Tun Mahathir ini boleh mengisi kekosongan kerusi majoriti atau hampir keseluruhan  Melayu/Islam yang sebelumnya hanya dimenangi UMNO melalui BN.

Parti ini jika keberatan, tidak perlu menganggotai PR, mereka boleh sekadar mengikat satu persefahaman politik yang lebih dinamis yang mungkin hanya untuk mengalahkan Dato Seri Najib dan menarik minat ahli UMNO menyertai ataupun mengundi mereka.

Telahan ini mudah untuk kita perolehi jika kita menyedari sejak gerakan ‘Selamatkan Malaysia’  melalui kempen-kempen tandatangan Deklarasi Rakyat. Ahli-ahli UMNO ini biarpun setinggi gunung pun benci mereka kepada Najib, mereka sekali-sekali tidak meredhai dan menyenangi parti-parti politik pembangkang yang lain.

Menolak Najib dan menyertai DAP misalnya adalah premis paling tidak munasabah bagi mereka ini. Biarpun ramai yang tentunya menolak faham ini, tetapi mereka hanya percaya dengan sistem parti politik yang serupa dengan UMNO itu sahajalah untuk menumbangkan UMNO.

Masakan tidak, kalau begitu Tun Mahathir atau beberapa UMNO pimpinan terbuang yang lain tidak perlu lah bersusah payah menubuhkan parti baharu jika cita-cita mereka sama dengan parti-parti dalam PH. Anwar yang dipecat daripada UMNO pernah juga dihebohkan akan menyertai PAS sewaktu era Reformasi dulu. Ramai yang menjangkakan begitu. Namun, Anwar tidak melakukannya.

Beliau menyedari golongan yang mendukungnya datang dari pelbagai latar belakang, kepercayaan agama dan berbeda bangsa. Beliau mahukan agenda yang berbeda dengan PAS, walaupun PAS antara parti yang awal-awal memperlihatkan simpati dan sokongan kepadanya seusai beliau dipecat.

Ini sebenarnya tidak sukar diduga, kerana sejak Anwar keluar dari Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang sama-sama beliau asaskan, ketika itupun beliau sudah tidak memilih PAS. Tun Mahathir sedar situasi ini dan pengalaman politiknya memandu beliau untuk mengetahui siapa dan golongan mana yang ada  menyokongnya.

Dan apa yang Tun Mahathir lakukan ini, iaitu menubuh parti baharu yang keanggotaan untuk Melayu/Bumiputera sahaja bukanlah sesuatu yang diluar kebiasaan perjuangannya. Tun Mahathir pernah cuba melakukannya dulu apabila menubuhkan semula UMNO Baru pada tanggal 13 Februari 1988.

Maka biarpun ideologi tidak seperti parti DAP ataupun PKR yang tidak terhad kepada sesuatu kaum atau agama sahaja, ia sebenarnya akan memberi sedikit  sebanyak kelebihan kepada PH sebenarnya.

Parti Tun Mahathir ini boleh mempunyai persefahaman politik semasa pilihanraya dan juga boleh juga terkeluar dan bergerak secara berseorangan jika maksud perjuangan mereka telah sampai.

Parti baharu beliau ini tidak seharusnya terikat dengan mana-mana ideologi parti-parti yang bersekutu dalam PH. Parti baharu ini tidak akan mampu mencabar kedudukan parti yang lebih bersifat multi-racial ini. Rakyat akan mempunyai lebih pilihan dan PH akan mempunyai lebih alternatif untuk mengatur strategi dalam usaha menumbangkan UMNO/BN ini.

Kita harus jelas, PH menentang Umno kerana menyalahguna kedudukan di tampuk kuasa, boros dalam mengurus perbelanjaan negara dan tidak amanah dalam mengurus harta awam sehingga membebankan rakyat. Inilah tunjang paling asas kenapa UMNO/BN ini perlu ditentang, dan bukanlah semata-mata faktor parti mereka yang memperjuangkan satu-satu kaum sahaja.

Malah tindakan menubuhkan parti baharu ini boleh menyalurkan para simpati dan pendukung pemimpin terbuang UMNO ini ke platform yang lebih menguntungkan, baik untuk PH dan mereka sendiri. Berbanding dengan sekadar Deklarasi Rakyat misalnya, belah bahagi antara kelompok penyokong dan penentangnya akan terus wujud kerana hala tujunya agak kabur dan dilihat  tidak berkesan.

Biarpun lebih sejuta tandatangan diperolehi, PRN Sarawak, PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar telah memberi jawapan awal akan keberkesanannya. Malah boleh disebut disini, kegagalan ini disebabkan oleh pendokong Tun Mahathir atau TSMY yang  hanya mengimani parti yang berasaskan satu kaum menyerupai UMNO sahajalah yang mampu menewaskan Dato Seri Najib dan UMNO/BN.

Maka, bila ianya dikritik oleh beberapa pimpinan UMNO, ia  petanda jelas yang pemimpin-pemimpin UMNO ini berasa sedikit gusar. Mereka menyedari ada sebuah parti yang mirip UMNO akan ditubuhkan untuk menyaingi mereka. Namun, pemimpin-pemimpin blok pembangkang tidak seharusnya terikut-ikut untuk turut sama mengkritik dan kelihatan gagal pula membaca perubahan politik ini.

Dari awal kita tahu Tun Mahathir, TSMY ataupun Datuk Seri Mukhriz meyakini perubahan masih boleh dilakukan di dalam UMNO hanya jika Dato Seri Najib diturunkan. Legasi UMNO dan segala sifat suci perjuangannya harus mereka bela dan masih boleh dipertahankan jika pemimpin seperti mereka mengetuainya.

Mereka tidak pernah meyakini PH boleh melakukannya malah dengan sifat multi-racial parti-parti di dalamnya, dan jika kita semak kenyataan-kenyataan mereka ketika masih di dalam UMNO ataupun ketika memegang jawatan-jawatan kerajaan, mereka tidak pernah beriktikad kemampuan PH untuk melakukannya.

Maka, jangan abaikan fakta ini. Mereka kini keluar dan ada antara mereka yang dibuang dari UMNO, dan dengan parti baharu yang ampuh mirip UMNO sahajalah yang mereka percaya untuk mejatuhkan Dato Seri Najib dan menawan hati ahli UMNO di dalamnya.

Parti UMNO yang diketuai Presiden sekarang bukanlah parti asal sebagaimana yang diasaskan pada tahun 1946 dulu. Dato Seri Najib hanya mengetuai sebuah parti baharu yang pernah ditubuhkan semula oleh Tun Mahathir, dan Tun Mahathir mahu mendapatkan ia semula melalui parti baharunya itu. – Roketkini.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger