Setelah selesai muktamar Pas di Alor Setar minggu lalu yang
memutuskan parti itu dengan semua parti pembangkang, 36 ahli dan
penyokong Pas dari Kampung Perik, Padang Terap, lari meninggalkan parti
itu dan menyertai Amanah.
Mereka menyertai Parti Amanah Negara dalam satu majlis yang telah diadakan di kampung tersebut kelmarin.
Borang permohonan keahlian tersebut telah diserahkan oleh bekas
Setiausaha Pas cawangan Kampung Perik, Omar Mohd Noor kepada Pengarah
Pilihan Raya, Amanah Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli.
Omar berkata, ramai ahli Pas dalam kawasan tersebut semakin hilang
keyakinan kepada kepimpinan Pas kini setelah melihat hala taju tidak
seperti dahulu lagi.
Malah katanya, ramai ahli Pas kecewa dengan keputusan yang diambil
Pas untuk memutuskan hubungan dengan PKR, sebaliknya sanggup pula untuk
berbaik-baik dengan Umno yang terbukti semakin menzalimi rakyat miskin.
"Kami juga khuatir hubungan yang begitu intim dengan Umno oleh
pimpinan Pas hanyalah untuk meraih sokongan serta kemenangan dalam
pilihan raya umum yang akan datang, namun begitu kemungkaran tidak
ditentang.
"Yang peliknya kenapa Pas kini semakin menerima perjuangan Umno
sehinggakan sanggup untuk menyokong dasar Umno yang ditentang sejak dari
dahulu lagi.
"Atas kesedaran itulah, kami mengambil keputusan untuk menyertai Amanah hari ini, " jelasnya.
Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, ramai lagi yang akan menyertai Amanah tidak lama lagi.
"Ramai antara mereka telah sedar bahawa perjuangan yang sedang dilakari oleh Amanah adalah perjuangan peduli rakyat.
"Amanah memberi perhatian serius terhadap kebajikan dan keperitan hidup yang sedang ditanggung oleh rakyat.
"Kesukaran ini adalah hasil bikinan tangan-tangan serta dasar Umno
dan BN yang menekan hidup rakyat termasuklah golongan marhaen dan miskin
lagi daif," ujarnya lagi.
Tegasnya lagi, adalah tidak adil bagi mana-mana parti pembangkang
yang mendakwa membela nasib rakyat, sebaliknya bersekongkol dengan parti
pemerintah yang terbukti jelas dan ketara kemungkaran yang sedang
mereka laksanakan.
Oleh kerana itu katanya, tindakan yang diambil oleh penduduk Kampung
Perik dengan menyertai Amanah adalah tindakan bijak yang mendorong untuk
membawa perubahan dalam pilihan raya umum yang akan datang, khususnya
di negeri Kedah.
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan