Pas seharusnya memahami kedudukan parti itu dalam Kerajaan Negeri
Selangor menurut perlembagaan, sebelum mengheret sultan ke dalam
kecelaruan yang timbul selepas parti itu menamatkan kerjasama politik
dengan PKR.
Peguam dari Parti Amanah Negara (Amanah) Dr Zulqarnain Luqman
berkata, pemahaman terhadap prinsip perlembagaan itu adalah cerminan
sama ada Pas bersedia atau tidak untuk menjadi kerajaan selepas Pilihan
Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim
Tuan Man semalam bahawa tiada sebarang arahan untuk melepaskan jawatan
exco kerajaan negeri kepada tiga anggotanya, malah segala keputusan sama
ada mengekalkan khidmat mereka bergantung penuh kepada Sultan Selangor,
Sultan Sharafuddin Idris Shah.
"Keanehan dalam kenyataan media itu adalah bagaimana Timbalan
Presiden Pas itu cuba berselindung di sebalik Sultan Selangor dan tidak
menggunapakai prinsip perlembagaan.
"Dalam konteks perlembagaan, sultan akan bertindak mengikut nasihat
menteri besar khasnya mengenai pelantikan atau pemecatan seorang exco.
Ini bermakna keputusan untuk mengekalkan ketiga-tiga exco Pas itu bukan
atas dasar kehendak sultan tetapi kehendak menteri besar.
"Kenyataan media timbalan presiden itu lebih kepada untuk menjawab
tanda tanya orang ramai kenapakah ketiga-tiga exco Pas itu tidak mahu
meletakkan jawatan padahal mereka sudah membatalkan hubungan dengan
PKR," katanya.
Mengulas lanjut, Zulqarnain berkata, adalah lebih baik jika Tuan
Ibrahim menyatakan bahawa ketiga-tiga exco itu masih mengekalkan jawatan
kerana mereka masih mendukung prinsip ‘collective responsibility’ dan
segala dasar kerajaan negeri meskipun hubungan politik telah dibatalkan.
Beliau menjelaskan, mengikut prinsip perlembagaan, seorang menteri
besar itu akan dilantik jika beliau mendapat kepercayaan daripada
majoriti ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (Dun).
Selepas itu, menteri besar akan melantik exco-exco yang akan menjadi barisan kabinetnya.
"Antara prinsip yang penting berkaitan jawatan exco ini adalah
prinsip ‘collective responsibitliy’ (tanggungjawab bersama) atas segala
dasar yang dibuat oleh menteri besar. Seseorang exco tidak boleh
bertindak bercanggah dengan ketetapan yang dibuat oleh menteri besar
dalam isu-isu berkaitan pemerintahan negeri tersebut," jelasnya.
Menurut beliau, dalam hal ini, menteri besar Selangor Datuk Seri
Mohamed Azmin Ali memilih untuk mengekalkan exco-exco Pas yang ada yang
bergantung kepada budi-bicara seorang menteri besar.
"Sekiranya menteri besar itu berpendapat bahawa tindakan exco-exco
itu tidak bercanggah dengan ketetapan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri
maka exco-exco itu masih boleh kekal dalam kabinet beliau.
"Sehingga kini, masih belum ada apa-apa tindakan exco-exco itu yang
dilihat bercanggah dengan polisi kerajaan negeri sehingga menimbulkan
keaiban kepada menteri besar.
"Sedikit kejanggalan adalah wujud
perbezaan fahaman politik antara mereka. Mungkin model kerajaan Selangor
ini adalah gambaran awal bagaimana sebuah kerajaan campuran antara
pelbagai parti yang berbeza pandangan politik boleh dibentuk selepas
PRU14 nanti," katanya.
Justeru, kata beliau, bagi seorang ahli politik yang memegang jawatan
tinggi sebagai timbalan presiden Pas, Tuan Ibrahim seharusnya lebih
faham bahasa undang-undang dan perlembagaan.
Exco Selangor: Pas perlu faham perlembagaan sebelum heret sultan
Written By Wadah Baru on Selasa, 16 Mei 2017 | 8:10 PG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan