Home » , » Bekas pemimpin Pas minta Melayu bersatu

Bekas pemimpin Pas minta Melayu bersatu

Written By Wadah Baru on Selasa, 16 Mei 2017 | 8:12 PG

Bekas Timbalan Presiden Pas, Datuk Dr Nasharudin Mat Isa mengingatkan orang Melayu Islam agar bersatu bagi mengelak keganasan dan peperangan yang berlarutan di Timur Tengah berlaku di negara ini.
Pengerusi Eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (YGMM) itu berkata, tiada sebab untuk orang Melayu berpecah memandangkan dilahirkan sebagai Melayu dan beragama Islam.
"Persoalannya adakah itu (konflik di Asia Barat) yang kita mahu berlaku di Malaysia? Adakah itu harapan kita untuk Malaysia apabila tidak wujud keseragaman dalam suara ummah untuk bersatu?
“Kita dijadikan sebagai Melayu dan Islam, tidak ada faktor yang menyebabkan kita tidak boleh bersatu,” katanya seperti dipetik dari akhbar Utusan Malaysia hari ini.
Beliau yang masih berstatus ahli Pas itu berkata demikian sebagai panelis pada forum bertajuk ‘Konflik Timur Tengah Yang Tidak Berkesudahan: Siapa Lawan Siapa?’ di ibu negara semalam.
Menurutnya, masyarakat Arab di Asia Barat masing-masing berpecah sama ada daripada segi mazhab iaitu syiah dan sunni manakala sunni pula berpecah lagi dengan pelbagai kelompok.
Turut hadir pada forum anjuran Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur itu ialah Presiden DMDI, Tan Sri Mohd Ali Mohd Rustam dan Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani.
Nasharudin yang menggantikan Datuk Saifuddin Abdullah di YGMM itu sejak 2015 pernah dikaitkan dengan siri 'rundingan sulit' menubuhkan kerajaan perpaduan antara Pas dan Umno tetapi berjaya dihalang Mursyidul Am Pas ketika itu, Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Bekas Ahli Parlimen Bachok itu dilihat mesra dengan Umno bahkan menyertai rombongan Presiden Umno, Najib Razak untuk bertemu tokoh ulama Arab Saudi selepas tersingkir daripada pimpinan tertinggi parti dalam Muktamar Tahunan Pas 2011.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Follow by Email

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger