Oleh KHALID ABDUL SAMAD
Muqaddimah
AMANAH mengikuti dengan penuh minat desakan yang dibuat oleh salah
seorang perwakilan Konvensyen DAP Selangor terhadap kerajaan Negeri
Selangor. Beliau telah mendesak supaya PAS dikeluarkan dari kerajaan
Negeri Selangor dan sekiranya tidak, maka DAP perlu keluar!
Desakan ini telah diberikan liputan luas oleh media dan ianya telah
mendatangkan bermacam-macam reaksi dari rakyat Selangor. Walaupun ianya
bukan satu resolusi yang diluluskan secara rasmi, dan hanya desakan
seorang perwakilan, ia digambarkan seolah-olah ianya satu keputusan
muktamad DAP.
AMANAH melihatnya sebagai luahan peringkat akar umbi yang tidak berpuas
hati dengan suasana yang dianggap terumbang-ambing di antara Pakatan
Harapan dan ‘Pakatan PKR-PAS’. Namun demikian, desakan untuk
mengeluarkan PAS secara mengejut tidak akan menguntungkan semua kecuali
UMNO dan BN.
Kedudukan atau status kerajaan Negeri Selangor
Antara kegusaran peringkat akar umbi adalah status kerajaan Negeri
itu sendiri. Kerajaan apakah yang memerintah Negeri Selangor? Dulu ianya
kerajaan Pakatan Rakyat (PR) yang terdiri daripada PKR, PAS dan DAP
yang memerintah berdasarkan manifesto PR Selangor. Sekarang PR sudah
tidak wujud dan yang wujud adalah Pakatan Harapan (PH). Tetapi yang
memerintah Selangor bukan kerajaan PH kerana PAS bukan sebahagian dari
PH. Sedangkan PAS merupakan sebahagian dari kerajaan dengan adanya 3
exco dan seorang Timbalan Speaker. Maka apa pula hubungan PH dan PAS?
Oleh itu kedudukan dan status kerajaan Selangor perlu diperjelaskan
dan diselaraskan supaya ianya tidak lagi dilihat sebagai sebuah
‘kerajaan dua gabungan’ yang tidak saling memperakui satu sama lain.
Iaitu pertamanya gabungan Pakatan Harapan antara PKR, DAP serta Amanah
dan keduanya ‘Pakatan PKR-PAS’. Suasana ‘anamoli’ atau kepelikan ini
perlu diatasi supaya paling kurang, kerajaan Selangor dilihat bersatu
dan kukuh dengan identiti yang jelas dan tersendiri. Bukan lagi sebagai
kerajaan dua gabungan yang satunya rasmi dan satunya tidak. Dikhuatiri
ianya akhirnya digambarkan bagaikan suami yang mempunyai isteri yang sah
dan pada masa sama seorang wanita simpanan.
Oleh itu satu penyelesaian perlu difikirkan dan dikemukakan untuk supaya ‘anamoli’ ini ditamatkan.
Cadangan AMANAH
AMANAH melihat bahawa persoalan status dan kedudukan kerajaan Negeri
Selangor boleh diselesaikan dengan dirasmikan hubungan semua pihak
melalui satu perjanjian kerjasama antara PH dan PAS. Pendekatan sebegini
tidak menjejas kedudukan samada PH Selangor atau PAS Selangor.
Melalui
perjanjian kerjasama ini kedudukan kedua-dua entiti diiktiraf dan
hubungannya menjadi rasmi. Melalui tindakan ini hubungan antara PAS
adalah dengan PH dan bukan hanya dengan PKR.
Kerajaan Selangor pula
jelas menjadi kerajaan gabungan PH-PAS dan bukan entiti yang pelik ia
itu dua gabungan yang saling tidak mengiktiraf satu sama lain.
Seterusnya, gabungan baru ini, ia itu PH-PAS, perlu menentukan
dasar-dasar yang ingin dilaksanakan bersama. Ini memberi peluang untuk
kerajaan PH-PAS Selangor mengkaji kembali manifesto PR Selangor.
Sekiranya didapati peluang penambah-baikan maka ianya perlu
dimanfaatkan. Sebaliknya, sekiranya manifesto PR ingin diterima-pakai
oleh kerajaan Selangor PH-PAS, maka biarlah ianya dilakukan secara resmi
juga.
Persepsi negatif rakyat.
Perlu difahami bahawa kedudukan sediada tidak boleh bertahan buat
selama-lamanya. Hubungan PH-PAS perlu diresmikan dan dasar bersama
PH-PAS perlu diketengahkan. Baru menjadi jelas hala tuju dan sikap
kerajaan Selangor dalam semua persoalan. Dengan itu ianya menjadi lebih
mudah untuk rakyat menilai prestasi kerajaan Selangor dan melihat
kelebihan yang ada padanya.
Perkara-perkara tersebut di atas perlu disegerakan. Amanah khuatir
sekiranya rakyat Selangor naik jemu dengan suasana terumbang-ambing dan
tidak jelas yang wujud dewasa ini berhubung kedudukan kerajaan
Negerinya. Dikhuatiri ianya dilihat sebagai kegagalan mengutamakan
rakyat dengan mengurus perbezaan secara konstruktif dan membina.
Sekiranya suasana ‘politik berjerebu’ ini berterusan sehingga PRU ke
14, dikhuatiri rakyat akan menghukum PH dan juga PAS melalui peti undi.
Kesimpulan
Oleh itu, dari kita menimbulkan masalah dan kesulitan bagi semua
dengan menuntut supaya dikeluarkan PAS dari kerajaan Selangor, adalah
lebih baik ditawarkan perjanjian kerjasama antara PH dan PAS. Melalui
perjanjian ini kerjasama diresmikan dan dasar-dasar ditentukan untuk
dilaksanakan bersama. Pilihan untuk mengeluarkan PAS dari kerajaan
Selangor dengan sendirinya menjadi tidak lagi releven dan kerajaan
Selangor boleh berjalan dengan lebih berkesan apabila hubungan PH dengan
PAS diresmikan. Komitmen terhadap dasar-dasar bersama turut dinyatakan
dan diperkukuhkan untuk dilaksana bersama.
Adalah diharap bahawa cadangan kami ini akan dipertimbang dan diberikan keutamaan.
“Harapan Baru”
KHALID ABDUL SAMAD
Pengarah Komunikasi
Parti Amanah Negara
Cadangan AMANAH Berhubung Status Kerajaan Selangor
Written By Wadah Baru on Sabtu, 7 November 2015 | 3:54 PTG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
setuju 200%
BalasPadamsetuju 200%
BalasPadam