Oleh YB Khalid bin Samad
Muqaddimah
Pada asalnya saya tidak berminat untuk mengeluarkan apa-apa reaksi
kepada persoalan lapan kerusi DUN Selangor yang dimenangi PAS pada 2013
yang DAP sebut mereka ingin bertanding. Ini adalah kerana keputusan
berhubung siapa akan bertanding dan sama ada Pakatan Harapan (PH)
bertanding atau sebaliknya di mana-mana kerusi akan diputuskan bersama
melalui mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan bila tiba masanya.
Buat masa ini, mesyuarat Majlis Presiden berhubung isu kerusi belum lagi
diadakan. Oleh itu saya melihat kenyataan YB Tony Pua hanya sekadar
tindak balas terhadap kenyataan PAS sebelum ini berhubung keinginan PAS
untuk bertanding di kerusi-kerusi yang ditandingi DAP. Oleh itu saya
melihatnya sebagai isu yang tidak memerlukan respons.
Malangnya PAS kelihatan agak runsing terhadap kenyataan ini dan telah
mengeluarkan pelbagai kenyataan balas terhadapnya. Sedangkan ianya
sesuatu yang pramatang atau terlalu awal untuk dibicarakan.
DAP tidak yakin dengan AMANAH atau PAS?
Antara respons dari PAS adalah kenyataan Datuk Mustafa Ali di mana
beliau menyebut ianya adalah bukti bahawa DAP tidak yakin dengan
kemampuan Parti AMANAH. Oleh itu DAP akan bertanding di kerusi-kerusi
itu dan bukan AMANAH.
Kalau ingin menilai kenyataan DAP secara serius, saya tidak akan
mengatakan bahawa ianya menunjukkan kurangnya keyakinan DAP terhadap
kemampuan AMANAH. Sebaliknya saya akan katakan bahawa DAP telah hilang
keyakinan sama sekali terhadap kemampuan PAS!
Ini adalah kerana kesemua kerusi yang disebut adalah kerusi yang
telah dimenangi PAS pada 2013. Tetapi DAP sekarang menganggap bahawa PAS
tidak lagi mampu mempertahankan kerusi-kerusi berkenaan. Ini adalah
kerana DAP melihat bahawa PAS, melalui kenyataan dan pendiriannya yang
mutakhir, telah kehilangan undi dan sokongan bukan Melayu.
Ingatan umum kepada kedudukan PAS yang kalah semua kerusi DUN
Selangor yang mereka tandingi pada PRU ke-11 (2004) sangat releven.
Sikap bersendirian PAS hari ini, memungkinkan kembali senario 2004, di
mana PAS dan DAP tidak ada persefahaman dalam pilihanraya. Oleh itu,
sekiranya PAS yang bertanding pada PRU 14, DAP yakin bahawa
kerusi-kerusi ini akan jatuh pada BN. Untuk elak ianya dari berlaku,
maka DAP menawarkan dirinya sebagai parti yang akan bertanding di
kerusi-kerusi tersebut. Itu pun disebut, sekiranya dipersetujui Pakatan
Harapan.
Faktor Kemenangan PRU 2013.
Bagi saya, kenyataan DAP sekadar tindak balas terhadap kenyataan PAS.
Ianya bertujuan untuk mengingatkan PAS bahawa kemenangan mereka di
kerusi-kerusi tersebut telah banyak dibantu pengundi bukan Melayu.
Pengundi bukan Melayu pula telah mengundi PAS, antara lain adalah atas
sebab keberadaan PAS dalam Pakatan Rakyat (PR) bersama DAP dan PKR.
Mungkin dilihat bahawa PAS seolah-olah telah lupa hakikat ini maka perlu
diingatkan.
Dalam menghadapi PRU ke 14, sudah pasti PH akan berusaha untuk
memenangi kembali semua kerusi-kerusi yang telah dahulunya dimenangi
Pakatan Rakyat. Kerusi yang dimenangi PR merupakan tumpuan PH oleh
kerana pengundi di kawasan tersebut telah menzahirkan keinginan mereka
untuk diperintah oleh gabungan PKR, DAP dan dahulunya, PAS. Walaupun
sekarang ini PR sudah terkubur, tetapi semangat dan wawasan yang sama
dibawa oleh PH.
Dalam keadaan yang sedia ada, AMANAH berkeyakinan bahawa parti ini
adalah yang paling berpotensi untuk mencapai kemenangan di
kawasan-kawasan berkenaan apabila mewakili Pakatan Harapan. Ini adalah
kerana AMANAH merupakan sebuah parti Islam sepertimana juga PAS tetapi
bersikap lebih inklusif dan jujur terhadap konsep berpakat dan
berkerjasama dengan rakan-rakan dalam Pakatan Harapan. Dengan itu
sokongan Melayu dan bukan Melayu insyaAllah mampu diperolehi AMANAH demi
menjamin kemenangan.
Respons lain
Ada juga antara penulis dan blogger pro-PAS yang memberi amaran
bahawa DAP sudah ingin menguasai Selangor. Bahawa dengan 15 kerusi yang
sediada dan 8 lagi yang diinginkan maka DAP akan mendapat 23 kerusi dan
dengan itu mempunyai jumlah terbesar dalam Pakatan Harapan. Kebetulan
pula Dr. Aziz Bari menyebut bahawa tidak salah di sudut undang-undang
untuk bukan Melayu menjadi Menteri Besar Negeri Selangor. Maka dijaja
teori mereka ini untuk menyeru pengundi Melayu untuk bersatu “menentang
usaha DAP (Cina) menguasai Selangor”.
Saya hairan dengan sikap yakin terhadap kemampuan DAP untuk memenangi
8 kerusi yang disebutkan mereka. Tak sangka bahawa penulis-penulis
pro-PAS tidak yakin dengan kemampuan PAS mempertahankan 8 kerusi
tersebut dari “dirampas DAP”. Secara tidak sedar mereka memperakui
kewajaran hilangnya keyakinan DAP terhadap kemampuan PAS menang kembali
kerusi-kerusi berkenaan.
Saya syorkan supaya mereka tidak terlalu khuatir terhadap persoalan
ini. Ianya hanya acahan DAP maka tidak perlu melatah atau melenting.
Begitu juga saya syorkan supaya mereka hentikan diri mereka dari terus
menjadi agen UMNO BN, mengibar panji-panji perkauman serta menyubur
perasaan takut terhadap sesama rakyat. Cukuplah dengan UMNO BN sebagai
agen provokator dalam persoalan perkauman dan penyubur perasaan takut
masyarakat Melayu.
Saya ulangi bahawa persoalan kerusi belum lagi dibincang maka
bertenanglah. Apabila ianya dibincang, sudah pasti AMANAH akan menuntut
untuk bertanding di mana PAS telah bertanding sekiranya PAS tetap tidak
bersama PH dan tiada persefahaman pilihan raya atau “electoral pact”
antara PAS dan PH.
Kesimpulan
Persoalan kerusi akan dimuktamadkan melalui proses perbincangan dan
musyawarah di antara parti-parti PH. Namun bagi kerusi-kerusi yang
pernah ditandingi dan dimenangi PAS, AMANAH adalah dalam posisi yang
terbaik untuk mewakili Pakatan Harapan kerana sokongan merentasi kaum
masih dikecapi parti ini. Buat masa ini yang terpenting ialah membina
kekuatan AMANAH dan Pakatan Harapan di seluruh Negara. Melalui ini BN
akan dapat dikalahkan pada PRU ke-14.
Harapan kami adalah semoga kesemua parti pembangkang akan bersatu di
bawah PH atau paling tidaknya bagi PAS dan parti pembangkang lain
mewujudkan persefahaman pilhan raya atau ‘electoral understanding’
dengan PH. Ini akan memudahkan perlaksanaan kaedah ‘satu lawan satu’ di
semua kerusi bagi menumbangkan kerajaan Umno-BN yang telah banyak
melakukan kerosakan dan membebankan rakyat di negara ini. Usaha
menjatuhkan BN harus dijadikan fokus utama kita.
Persoal Lapan Kerusi Selangor Yang Disebut DAP
Written By Wadah Baru on Sabtu, 7 November 2015 | 3:57 PTG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan