Oleh Mohd Sayuti Omar
Saya baharu menerima kirimkan penjelasan dan jawaban serta
pernyataan sikap Adun Salor Husam Musa berhubung beberapa serangan dan
tuduhan (respons) buruk terhadapnya ekoran pendedahan dan kritikan
gelagat presiden Pas yang dibuat dalam ceramah di Kedai Mulong dua tiga
hari lalu.
Dalam kenyataan berupa surat panjang itu Husam menj
awab serangan balas kepadanya yang dikeluarkan beberapa orang pemimpin
Pas, termasuk Idris Ahmad, Tuan Ibrahim Tuan Man dan Pegawai Penerangan
Pas yang dianggap sebagai tidak tepat ataupun sengaja mengheretnya untuk
terus berada dalam ("bon") gelanggang perang.
Sebenarnya ada baik kalau para pembela Abdul Hadi Awang (parti agama)
tidak menjawab dan membuat tafsiran kepada sikap Husam secara memberi
kenyataan kepada akhbar. Cara paling baik ialah panggil Husam dan hadap
ke jawatankuasa disiplin. Lebih afdal lagi menjawab semua perkara
dibangkitkan Husam secara sistemetik dan profesionalism.
Apabila ia diserang balas, apa lagi dengan melencungkan mata pena
mengeluarkan dakwat merah kepadanya, maka keadaan jadi lebih parah.
Husam pula dalam kenyataan ini nampak lebih begis dan tegas tidak akan
bergajak dan mempertahankan kenyataanya demi untuk mengislahkan Pas.
Beliau seakan sudah pun menyingsing lengan baju dan seluar untuk
mempertahankan kebenaran dan menentang kemungkaran yang berlaku dalam
partinya.
Saya siarkan sepenuhnya surat/kenyataan berkenaan.
BERANI KERANA KASIH: SAYA BERUBAH ATAU PAS BERUBAH
I . ANDAI SAYA JADI PEGAWAI AKHBAR MB
Kenyataan Media
Kerajaan Kelantan yakin akan dapat menyelesaikan semua tunggakan dan isu-isu seperti berikut sebelum akhir tahun ini:
1. RM 14.6 juta tunggakan caruman guru YIK
2. RM 6.3 juta tunggakan bayaran kematian peserta skim Kifalah
3. Bayaran dividen peserta Ladang Rakyat bagi tahun 2015
Kerajaan
juga sedang merangka pelan dan menyediakan dana yang mencukupi bagi
menyiapkan semua baki rumah yang dihanyutkan oleh banjir pada akhir
tahun lalu yang masih belum siap.
Menjelang
bayaran pertama kenaikan elaun Adun pada Januari 2016, InsyaAllah
semua isu-isu lebih mendesak yang disenaraikan di atas telah dapat
diselesaikan, kecuali pembinaan semula rumah untuk mangsa banjir
memerlukan tempoh lebih lama kerana pembinaan sedikit terhalang semasa
musim tengkujuh.
Pada
masa yang sama, keperluan semasa yang menasabah bagi setiap wakil
rakyat juga perlu diambil kira bagi membolehkan mereka dapat berkhidmat
dengan jayanya.
Apa yang dibangkitlan oleh YB Adun Salor sememangnya telah pun dalam pertimbangan Kerajaan.
Oleh
itu, isu kenaikan elaun Adun yang boleh menjejaskan tanggung jawab
kerajaan yang lain yang lebih mendesak tidak berbangkit sama sekali dan
tidak perlu diperdebatkan lagi.
Di
Bawah pentadbiran YAB Ustaz Datok Ahmad bin Ya'kub sebagai Menteri
Besar, Kerajaan Kelantan tetap sensitif terhadap semua permasalahan
rakyat sesuai dengan dasar Membangun Bersama Islam.
Sekian. Terima kasih.
Pegawai Media
Menteri Besar Kelantan
4 November 2015
---------------
Di
atas adalah contoh kenyataan media yang saya akan tuliskan berkait isu
kenaikan elaun Adun Kelantan, jika saya adalah Pegawai Akhbar MB.
II. SAYA BERUBAH ATAU PAS BERUBAH?
Saya melihat - Pas yang berubah.
Kalau
berkait dengan parti - saya tetap berpendirian - dalam politik Malaysia
Pas perlu berusaha menjadi 'kepala' dan bukan 'ekor' membawa Islam
sebagai teraju pentadbiran, polisi, pendekatan dan dasar negara.
Di
Terengganu, negeri Presiden PAS, satu masa dulu berslogankan PGU - Pas
Ganti Umno. (Di Kelantan, Tok Guru tak pernah bawa slogan ini tetapi PAS
Alhamdulillah kekal mentadbir Kelantan hingga saat ini)
Hari
ini, Presiden PAS dijemput oleh MB Terengganu untuk menjadi 'Penasihat'
ekoran kenyataan beliau : 'Kerjasama politik kita tak masuk
kerajaan...' (Sinar Harian, 1 November 2015). 'Parti sedia bantu BN beri
nasihat licinkan pentadbiran: Hadi' ( Sinar Harian, tarikh sama)
'Kita
mahu jadi pembangkang yang menasihat sekiranya kerajaan sanggup menukar
dasar dengan konsep Islam kita bukan pelahap untuk rebut jawatan',
katanya. (sumber sama)
'Hadi: Ada orang cemburu hubungan PAS-UMNO' - Sinar Harian, 6 Jun 2015.
Sebagai ahli Pas berjawatan YDP Kawasan, saya sememangnya keliru dengan semua kenyataan Presiden saya kebelakangan ini.
Saya tidak berhajat untuk memetik semua laporan berita kenyataan yang telah dibuat oleh Presiden saya.
Cukup saya balikkan pertanyaan Ahmad Amzad Hashim, Pengarah Jabatan Penerangan Pas Pusat: Saya berubah atau Pas berubah?
Semua
kenyataan ini menggambarkan seakan Presiden bebas sebebasnya membuat
apa jua kenyataan yang bersifat dasar dan pendirian Pas tanpa melalui
proses mesyuarat yang sewajarnya atau mengambil kira pandangan dan
perasaan ahli peringkat akar umbi.
Saya
dalilkan berdasarkan respon Pas Selangor menerusi kenyataan
Pesuruhjayanya yang menolak hubungan dengan Perkasa, hampir sebaik
sahaja foto Presiden Perkasa memeluk Presiden Pas menjadi viral.
Jika
tindakan Presiden menjalin hubungan dengan Perkasa telah diputuskan
dalam mesyuarat Pas Pusat, tentulah PJ Selangor tidak akan mengeluarkan
komen menentang arus itu.
Ini semua menunjukkan kelainan Pas kini berbanding dulu. Saya berubah atau Pas berubah?
Pas dulu menentang perjuangan berbentuk assabiyyah atau perkauman melampau. Kini?
UG adalah contoh lain.
Sekian lama, satu-satunya pemimpin Pas yang mendendangkan lagu UG adalah Presiden PAS sendiri.
Pertama, adakah gagasan ini pernah diluluskan dalam mana-mana muktamar PAS?
Jika tidak, kenapa?
Menjelang muktamar 2011, Presiden telah menarik balik gagasan ini secara terbuka.
Menjelang muktamar baru lalu pula, dalam ucapannya di Singapura, Presiden mengulangi cadangan pembentukan Kerajaan UG.
Adakah beliau memasukkan gagasan yang beliau kemukakan semula itu dalam ucapan dasar bagi Muktamar baru lalu?
Kenapa gagasan yang begitu besar itu tidak dibawa kepada mesyuarat parti/Muktamar?
Saya berubah atau Pas berubah?
Kedua, selepas bertahun-tahun gagasan itu dijual, adakah ia berjaya dan menjadi kenyataan?
Parti mana yang telah menyambutnya?
Jika
tidak, bukankah lebih baik jika rundingan belakang tabir dilakukan
terlebih dahulu sebelum dijual terbuka tetapi tiada langganan. Bukankah
itu menjatuhkan reputasi Pas?
Jika
rundingan belakang tabir hendak dilakukan, tidak cukup hanya Majlis
Syura diberitahu mengenainya, tetapi mesti juga dimaklum dan diluluskan
oleh Pas Pusat.
Seingat saya, rundingan sulit belakang tabir tidak pernah mendapat persetujuan Pas Pusat.
Termasuk
apa yang diberitahu oleh Ustaz Nasharudin Mat Isa bahawa seawal April
2008, Majlis Syura telah bersetuju melantik wakil untuk berunding dengan
parti-parti termasuk UMNO.
Keputusan
itu tidak pernah dimaklum dan mendapat persetujuan Pas Pusat, pada hal
isu seperti itu wajib mendapat persetujuan Pas Pusat selaku kuasa
eksekutif parti.
Saya berubah atau Pas berubah?
Kalau
konsep UG pun gagal tetapi telah menimbulkan pertelingkahan di kalangan
ahli, apalah kaitannya secara salah cuba memalukan saya dengan isu
lebuhraya, pembinaan stadium dan pengembangan ekonomi mikro menerusi
penternakan kambing yang kesemuanya diluluskan oleh parti dan kerajaan
secara sah?
Sesetengah pemerhati bahkan berpendapat, itu antara faktor penyumbang kemenangan Pas di Kelantan.
Apa penyelewengan saya dalam isu-isu itu, jika ada?
Adakah Jabatan Penerangan Pas penyambung fitnah dan adu domba UMNO?
Ketiga, apakah cadangan menjadi penasihat kerajaan adalah sambungan dari konsep UG yang tidak berjaya?
Saya
tidak menuduh, tetapi parti perlu menguruskan isu ini. Inilah tugas
Jabatan Penerangan. Menjelaskan kepada semua ahli dan kawasan-kaeasan di
seluruh negara bagi mengelakkan kekeliruan dan menjadi persendaan.
Bukan menyerang saya. Secara serangan peribadi pula.
Kecuali Jabatan Penerangan pun ikut keliru.
Saya
mungkin tersasar bila menyebut kemungkinan kedudukan sebagai penasihat
itu bergaji penuh bertaraf menteri. Ia hasil dari ketiadaan penjelasan
selepas sesuatu pendirian parti diumumkan.
Saya akui, itu adalah agak saya sahaja.
Nampaknya
cadangan menjadi penasihat juga belum dirundingkan secara muktamad
namun telah dihebohkan sedemikian rupa. Kalau ikut laporan media,
rundingan dengan PM baru hendak dimulakan.
Andaikata ia sekali lagi gagal, jentera parti di peringkat akar umbi sudah bercakaran.
Adakah ini akan menguatkan Pas dalam PRU akan datang, khususnya di Kelantan?
Adakah
awal-awal lagi kekalahan yang mungkin akan dialami oleh PAS di
Kelantan kerana masalah yang dihadapi oleh PAS sekarang hendak
dilonggokkan kepada saya?
Berbalik kepada beberapa isu pentadbiran Kerajaan Kelantan yang saya bangkitkan.
Isu pengurusan hutan yang pruden bukan isu baru yang saya bangkitkan.
Jika
Jabatan Penerangan Pas cekap dan adil, mereka tentunya ingat
ucapan-ucapan saya di Parlimen mengenai pembalakan, pemanasan global dan
isu alam sekitar yang lain.
Ia sudah sebati dengan saya dan satu dari komitmen peribadi saya.
Sebagai
organ penerangan parti, sudahkah Jabatan Penerangan Pas membelek apa
janji Pas selama ini dalam setiap manifesto nasional dan negeri?
Sudahkan mereka mengkaji angka-angka yang terlibat, seperti keluasan tebangan habis hutan simpan?
Jika tidak, saya berubah atau Pas berubah?
III. MARI MAJLIS DIALOG SAYA 13 NOVEMBER
Dalam artikel yang sama oleh Pengarah Jabatan Penerangan Pas, saya ditanya 'Apa Husam mahu?'
Bagi
mengetahui jawapannya, saya mempersilakan beliau hadhir dalam majlis
dialog terbuka saya di Pasir Tumbuh pada 13 November ini.
Saya yakin, Jabatan Penerangan sudi membayar perbelanjaan perjalanan beliau ke Kelantan.
IV. PAS BENTUK KERAJAAN BERSAMA UMNO DI SELANGOR
Saya membaca kenyataan TITM di Malaysiakini bahawa tiada alasan untuk PAS bergabung dengan UMNO membentuk kerajaan di Selangor.
Sebagai seorang muslim yang wara' dan alim, semua pimpinan Pas tahu bahawa berbohong adalah amat ditegah oleh Islam.
Fakta
bahawa Presiden PAS mengakui beliau mengusahakan kerjasama politik itu
ketika krisis MB Selangor tahun lalu tidak boleh diketepikan dengan
alasan-alasan.
Antara 'ya' dan 'tidak' sahaja yang diperlukan. Adakah 'ya' atau 'tidak' Presiden Pas mengaku seperti itu bila dipersoalkan?
Saya tahu, pendedahan ini akan mengundang risiko kepada saya.
Saya sanggup menerima semua risiko berdasarkan:
- Apa yang saya sebutkan adalah benar.
- Saya mahu sandiwara yang telah menghancurkan parti selama ini dihentikan.
-
Saya ingin melaksanakan kewajipan saya memaklumkan kepada ahli dan
masyarakat umum sandiwara belakang tabir yang telah berjalan sekian
lama.
Sehubungan
itu, siaran di laman web rasmi Pas dengan tajuk 'Jawapan Fitnah
Terhadap Presiden PAS' - saya harap dapat ditarik balik serta merta.
Saya tegaskan di sini, saya tidak memfitnah sesiapa.
Kenyataan saya adalah benar dan saya bertanggungjawab dunia akhirat.
Saya sanggup mempertahankan kenyataan saya. Allah adalah saksi Maha Agung.
HUSAM MUSA
25 Muharram 1437
7 November 2015
http://msomelayu.blogspot.my
Husam pertahankan kenyataannya dengan Tuhan sebagai saksi
Written By Wadah Baru on Sabtu, 7 November 2015 | 4:17 PTG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan