Home » , » PKR pertaruh Selangor cuba kerjasama dengan PAS

PKR pertaruh Selangor cuba kerjasama dengan PAS

Written By Wadah Baru on Khamis, 17 Ogos 2017 | 9:47 PTG

Oleh

PKR ambil risiko besar berunding dengan PAS kerana ia boleh merugikan parti itu sendiri terutama di Selangor, kata penganalisis politik, mengulas usaha parti itu cuba memastikan pertembungan satu lawan satu antara pembangkang dengan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Hisomuddin Bakar dari Ilham Centre berkata usaha PKR berbaik-baik semula dengan PAS boleh menyinggung perasaan pengundi Cina, yang tentu akan menjejaskan sokongan terhadapnya.

"Jika PKR berbaik semula dengan PAS besar kemungkinan pengundi Cina akan lari meninggalkan parti itu. Jika 20% saja mereka lari, PKR akan kalah di semua kerusinya di Selangor," kata Hisomuddin.

Hisomuddin berkata kemarahan pengundi Cina terhadap PAS sudah tidak boleh diperbetulkan lagi bahkan kajian terbaru badan pemikir strategik di bawah kerajaan negeri Selangor, Institut Darul Ehsan (IDE), turut mengesahkan pandangannya itu.

"IDE hanya memberikan 1% saja pengundi Cina akan memberikan sokongan kepada PAS di Selangor sekarang. Jika mereka yang marah kepada PAS ini juga marah kepada PKR kerana bekerjasama dengan PAS, PKR juga akan habis," kata Hisomuddin.

Pada PRU13, ketika PKR mendapat 80% undi Cina di Selangor, PAS hanya memperoleh purata 60% dan kini hanya tinggal 1% saja, kata Hisomuddin.

The Malaysian Insight pada Isnin melaporkan PAS di tiga negeri – Selangor, Kedah dan Kelantan sedang cuba mendapatkan mandat autonomi daripada PAS Pusat untuk memberi restu kepada mereka bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membolehkan parti Islam itu bertanding satu lawan satu dengan BN dalam PRU14 nanti.

PAS dalam muktamar tahunannya di Alor Setar pada Mei lalu memutuskan kerjasama politiknya dengan PKR.

Kerjasama itu bagaimanapun tidak terjejas di Selangor apabila menteri besarnya Azmin Ali tidak cenderung mahu memutuskan kerjasama yang sedia terjalan selepas dua PRU itu.

Azmin mengekalkan hubungan PKR dengan PAS di Selangor kerana dikatakan mahu mengelak pertandingan tiga penjuru yang boleh menyebabkan PKR terjejas teruk di negeri itu.

Dalam pada itu, Hisomuddin melihat selain risiko kehilangan undi daripada pengundi Cina, PKR juga berhadapan dengan penentangan daripada ahlinya sendiri jika ia terus berunding dengan PAS.

"Golongan reformis atau pejuang reformasi, atau anti apa yang dinamakan 'kartel' dalam PKR ini akan menentang kerjasama dengan PAS. Jangan mengecilkan peranan dan pengaruh mereka ini," katanya.

Amanah, Bersatu kurang kerusi

Sementara itu, Hisomuddin bersetuju Amanah dan Bersatu adalah pihak yang paling terkesan dengan usaha PKR mahu berbaik-baik dengan PAS ini.

"Jika PKR bekerjasama dengan PAS, bermakna Amanah dan Bersatu yang akan terjejas daripada segi bilangan kerusi yang mereka hendak tandingi kerana terpaksa membahagikan kerusi dengan PAS.

"Jika begitu, apakah Amanah dan Bersatu akan bersetuju dengan rancangan ini sedangkan saya tahu, bagi Bersatu sekarang, berunding dengan PAS banyak membuang masa mereka," kata Hisomuddin.

"Jadi PAS yang akan terjejas nanti kerana kerusinya akan ada pertandingan tiga penjuru kerana siapa yang boleh memberikan jaminan kepada PAS ketika mereka bukan parti komponen PH," katanya yang banyak membuat kajian tentang politik Melayu.

Bagi pemimpin Amanah walaupun tidak senang dengan perkembangan terkini itu, mereka sedia menerima hakikat PKR mahu terus berunding dengan PAS tetapi ia hendaklah dibuat dalam kerangka PH, bukannya PKR saja.

"Kita boleh menerima PKR berunding dengan PAS tetapi biarlah ia dibuat atas nama PH, bukan PKR. Jadi ia perlu dirujuk kepada Majlis Presiden PH sebelum apa-apa keputusan dibuat," kata Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad.

Pengarah pilihan raya PH yang baru dilantik, Azmin pada Isnin berkata PH menyambut baik hasrat PAS yang membuka pintu rundingan itu tetapi menegaskan ia mesti dibuat antara PAS dan PH secara konsensus.

PAS yang berkrisis dengan DAP sehingga membawa keretakan dan seterusnya pembubaran Pakatan Rakyat, tidak menyertai PH yang menggantikan gabungan pembangkang selepas PRU12 dan semasa PRU13 itu.

PH disertai oleh PKR dan DAP serta Amanah dan Bersatu, iaitu dua parti serpihan PAS dan Umno.




1 ulasan:

  1. Cadangan PAS utk berkerjasama dlm negeri2 tertentu adalah taktik utk merampas negeri tersebut dan memberikannya kpd BN. Selain itu, PAS ingin kurangkn kerusi AMANAH, BERSATU dan DAP di beberapa tempat.

    Taktik PAS ini boleh dikesan dari awal kerana sesetengah pak lebai PAS dalam pimpinan negeri tak pandai jaga mulut dan terlepas cakap bila bersembang di tepi jalan.

    BalasPadam

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger