Home » » Ketua Wanita Umno keluar parti

Ketua Wanita Umno keluar parti

Written By Wadah Baru on Selasa, 27 Februari 2018 | 9:38 PG

Oleh AMNI JAGAT

Parti adalah suatu wadah bagi seorang penggiat politik untuk membawa ideologi yang dipegang dalam kehidupan. Sememangnya di Malaysia selama ini telah mempamerkan beberapa senario yang membuatkan politik itu menjadi suatu wadah yang menarik.

Namun bagi seseorang yang selama ini berpegang kepada kesan ‘selesa’ sebagai pemerintahan, hal itu agak payah atau susah untuk mereka menunjukkan sikap berpaling terhadap apa yang dimiliki selama ini.

Perkara itulah yang dihadapi oleh seorang tokoh wanita di kawasan Parlimen Tanjung Piai, Johor yang beliau merupakan seorang penggerak yang efektif dalam membentuk kerangka politik pemerintah di kawasan tersebut. Beliau yang dikenali sebagai Mak Ne atau nama sebenarnya Normah binti Mohamad, berusia 65 tahun adalah tokoh yang tidak asing lagi di kawasan Tanjung Piai.

Beliau adalah seorang peniaga kecilan. Ibu tunggal kepada tujuh orang cahaya mata itu adalah seorang wanita yang gigih dalam menjalankan aktiviti masyarakat setempat. Di tempat kediaman beliau di Kampung Serkat, Pontian Johor merupakan saksi di mana tokoh-tokoh tempatan dalam kalangan Umno Barisan Nasional (BN) telah diangkat di situ.

Tokoh seperti Datuk Mohamad Osman Yusof atau dikenali sebagai Tok Moy yang kini menjawat jawatan sebagai Ketua Bahagian Umno Tanjung Piai adalah merupakan salah seorang tokoh yang pernah bertandang di rumah beliau. Sememangnya jasa Mak Ne begitu banyak terhadap masyarakat setempat khususnya kaum wanita di Tanjung Piai melalui gerakan beliau sebagai seorang Ketua Wanita Umno Bahagian.

Sehingga kini, Mak Ne masih lagi disegani oleh masyarakat khususnya kaum hawa yang tinggal di kawasan Tanjung Piai. Pengerusi Jemaah Pengarah Wanita Peladang Pontian Selatan ini juga turut aktif dalam menjalankan aktiviti kempen sewaktu beliau bersama-sama dengan perjuangan Umno-BN sebelum ini.


Namun setelah apa yang dilaluinya selama tiga puluh lapan tahun di dalam Umno, Mak Ne akhirnya mengubah haluan wadahnya dari selesa dengan parti pemerintah kepada aliran pembangkang. Hari ini Mak Ne yang dikenali sebagai seorang yang berjasa di dalam Umno telah mengisytiharkan untuk bersama-sama dalam parti baru yakni Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai wadah yang baharu.

Beliau sebelum ini bertindak keluar dari parti Umno kerana melihat bagaimana nasib rakyat sekeliling yang disantuni selama ini semakin terjerat dengan kesan-kesan pemerintahan di bawah pemimpin utama UMNO yakni Dato Seri Najib Razak. Tindakan lebih parah lagi bagi Mak Ne ketika di dalam Umno apabila Tun Dr. Mahathir sebagai mantan Perdana Menteri telah ditentang hebat oleh Perdana Menteri Najib Razak.

Hal itu membuatkan Mak Ne sayu sehingga Mak Ne mulai memikirkan apakah masih ada sinar harapan untuk mengubah parti pemerintah itu kepada haluan untuk menyelamatkan rakyat. Lebih memuncak lagi apabila Timbalan Perdana Menteri ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yassin telah dipecat kerana bersuara bagi pihak rakyat dalam isu berkenaan 1MDB yang menjadi liabiliti kepada pemerintahan di Malaysia ini.

Keputusan telah dibuat, Mak Ne telah bertekad untuk mengubah haluan dengan berusaha menukar pakaian dari hidup sebagai seorang yang selesa memerintah kepada haluan pembangkang. Bagi Mak Ne, perkara tersebut bukanlah sesuatu yang mudah kerana lebih dari separuh usianya, beliau terlibat di dalam parti Umno.

Oleh kerana prinsip untuk menyelamatkan rakyat, Mak Ne membuat keputusan untuk meninggalkan tahap keselesaannya kepada perit jerih perjuangan demi menyelamatkan nasib rakyat yang lebih disayangi oleh Mak Ne. Kini beliau telah berada di dalam Bersatu sebagai seorang tokoh wanita di Tanjung Piai dan hasrat beliau adalah untuk mengubah serta meletakkan harapan yang baru kepada rakyat.

Beliau kini yakin, walaupun sebelum ini beliau menjadi seorang yang teguh sebagai pemikir gerak kerja wanita UMNO dan pernah membuat gerak kerja menewaskan musuh politik Umno di Pilihan Raya Kecil (PRK) Tenang suatu ketika dahulu, bagi Mak Ne itulah adat resam dalam perjuangan memartabatkan rakyat di Malaysia ini.

Hari ini, Mak Ne tidak lagi melihat Umno masih mempunyai peluang dan ruang untuk membawa agenda menyelamatkan rakyat di negara ini. Namun semangat Mak Ne tidak pernah luntur dan kini beliau semakin bersemangat untuk menyalakan obor kebangkitan rakyat sebagai panji untuk beliau terus berjuang di dalam arena politik di Malaysia khususnya di Tanjung Piai.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Follow by Email

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger