Home » , » Pas beku hubungan di Kuala Kangsar

Pas beku hubungan di Kuala Kangsar

Written By Wadah Baru on Jumaat, 3 Jun 2016 | 2:52 PTG

Pas Kuala Kangsar membekukan hubungannya dengan PKR serta-merta ekoran kehadiran pemimpin utama parti itu yang diketuai Presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail pada Majlis Pengisytiharan Calon Pakatan Harapan malam tadi.
Yang Dipertua Pas Kuala Kangsar,  Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss berkata Pas 'terguris dan terhiris' dengan tindakan PKR itu kerana Pas dan PKR dakwanya masih rakan tahaluf.
"Bagaimana Presiden PKR boleh hadir menyokong calon yang akan menentang rakan tahalufnya.
"Pada hemat saya, ianya satu tindakan tikam belakang terhadap kami di Kuala Kangsar dan merupakan satu pengkhianatan kepada tahaluf siyasi yang diasaskan bersama," katanya dalam satu tulisan nukilannya hari ini.
Sehubungan itu katanya, kedudukan hubungan kedua-dua parti itu akan diserahkan kepada Badan Perhubungan Pas Perak untuk memutuskan tindakan lanjut.
Pendirian Pas Kuala Kangsar ini juga dilihat selari dengan usul Muktamar Dewan Muslimat Pas di Kelantan kelmarin yang mahu Pas memutuskan hubungan dengan PKR.
Sementara itu, pada majlis yang berlangsung di Kota Lama Kanan, Kuala Kangsar malam tadi selain Wan Azizah antara pemimpin PKR yang hadir termasuk Setiausaha Agung Rafizi Ramli, Ketua Sekretariat Pakatan Harapan Datuk Saifuddin Abdullah, Pengerusi PKR Perak Dr Muhammad Nur Manuty dan Pengarah Pilihan Raya Datuk Saifuddin Nasution.
Wan Azizah ketika berucap malam tadi turut menegaskan bahawa PKR memberi sokongan penuh kepada calon Amanah sebagai mewakili Pakatan Harapan di sini.
"Inilah masa dan waktunya kami nyatakan setiakawan kami dengan sokong calon Pakatan Harapan daripada Amanah," katanya.
Selain PKR, program malam tadi juga turut dihadiri pemimpin DAP yang diketuai Setiausaha Agung Lim Guan Eng, Setiausaha Publisiti Tony Pua dan penasihat DAP Perak Ngeh Ko Ham.
Sebagai ketua pembangkang, Dr Wan Azizah telah menyerahkan watikah perlantikan kepada calon Amanah di Kuala Kangsar, Profesor Dr Ahmad Termizi Ramli bagi mewakili Pakatan Harapan.
Calon lelaki tunggal itu akan bertembung dengan dua calon wanita dari BN dan Pas pada PRK Kuala Kangsar pada 18 Jun ini.
Ahmad Termizi, 61, calon anak tempatan yang mempunyai latar belakang pendidikan tinggi dari University of Salford, United Kingdom dalam bidang Kesihatan dan Keselamatan Radiologi.
Beliau juga pemegang Diploma Fizik Pengionan dan memiliki Ph.D dalam bidang Fizik Perubatan dari University of Swansea, Wales.
Ahmad Termizi ialah bekas profesor di Jabatan Fizik Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Pusat Ikram dan Setiausaha Biro Politik Ikram.

1 ulasan:

  1. Pulak dah, dengan AMANAH bukan lagi tahaluf siyasi malah dalam satu gabungan Pakatan Harapan. Ini menyebabkan politik jadi karut. Dasar otak presideng.

    BalasPadam

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger