SELEPAS lapan bulan penubuhannya, Parti Amanah Negara
(Amanah) dilihat begitu yakin untuk menakluk kerusi Parlimen Sungai
Besar dan Kuala Kangsar melalui Pilihan Raya Kecil (PRK) yang akan
diadakan pada 18 Jun depan.
Mempertahankan bahawa kerusi Pas dalam Pakatan Rakyat kini menjadi
milik mereka dalam Pakatan Harapan, Amanah kini berusaha untuk
mendapatkan sokongan melalui Majlis Presiden Pakatan Harapan.
Ikuti temu bual wartawan, NURUL RIDUAN NOR ASHAHA bersama PRESIDEN AMANAH, MOHAMAD SABU bagi membincangkan peluang dan matlamat Amanah yang sebelum ini dilabelkan sebagai parti serpihan Pas.
Selepas lapan bulan pembentukan Amanah, masih ada yang
menganggap parti ini adalah serpihan Pas. Jadi bagaimana Amanah menepis
persepsi sedemikian?
Alhamdulillah, perkembangan Amanah begitu pesat. Kami dalam Amanah ini
ada di antaranya saudara Anuar Tahir (Setiausaha Agung Amanah) yang
mempunyai pengalaman luas dalam arena politik dan pernah berada dalam
Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) begitu lama. Beliau meletakkan
parti Amanah ini sebagai parti yang pesat membangun dalam masa lapan
bulan.
Perkembangannya baik sekali. Kita sudah ada lebih daripada 145
kawasan parlimen. Ada pemuda dan wanita yang sudah berdaftar. Sekarang
adalah pembangunan di peringkat cawangan-cawangan.
Pejabat kita di peringkat kawasan parlimen begitu banyak terutamanya di
Johor dan Selangor. Di Johor, hampir di semua kawasan parlimen sudah
ada pejabat pentadbiran dan begitu juga di Selangor.
Jadi bagi saya, di peringkat awal, dilihat sebagai serpihan Pas tetapi
sekarang ia telah membesar dan anggotanya terdiri daripada pelbagai
golongan termasuk mereka yang tidak berparti sebelum ini dan bekas-bekas
Umno mula menyertai Amanah. Kami sudah beransur menjadi sebuah parti
baharu yang bersifat terbuka dan bukan dianggotai bekas ahli Pas sahaja.
Ahli Amanah berdaftar sekitar 50,000 hingga 60,000 tetapi dalam proses
pendaftaran masih banyak. Sebab ahli dalam proses sudah melebihi 100,000
di peringkat negeri dan kawasan parlimen. Sebabnya, dalam sistem
key-in, kita hadapi masalah di kawasan luar bandar. Sistem key-in itu
lambat. Memerlukan masa panjang.
Apa pendapat apabila ada yang mengatakan Amanah tidak akan bertahan lama dalam arena politik?
Kita hormat pandangan mereka berdasarkan sejarah yang lalu di mana
parti Hizbul Muslimin Malaysia (Hamim) tidak lama, Barisan Jemaah
Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) walaupun masih ada tetapi tidak
berkembang, Parti Negara yang berhenti di tengah jalan dan Semangat 46.
Oleh itu kalau ada pimpinan Pas mengatakan Amanah tidak lama saya tidak
marah kepada mereka kerana itu tanggapan biasa.
Bagaimanapun kena lihat di sini, Amanah tidak buat hubungan rapat
dengan pemerintah. Kita terus menjadi pembangkang dan terus melawan
pemerintah. Maka ia tidak mati dan sedang berkembang. Bahkan kenyataan
seorang naib presiden Pas baru-baru ini, di peringkat awal mereka
mengatakan parti ini kecil, parti nyamuk, sekarang dia berkata dalam
ceramah terakhirnya di Kelantan, naib presiden itu berkata, kalau Amanah
bertanding, Pas mungkin boleh kalah di Kelantan tetapi kamu kena ingat
apa jawapan kamu nak jawab di akhirat kelak bila parti Islam kalah di
Kelantan. Ertinya dia telah akui bahawa Amanah sudah ada kekuatan. Hatta
di Kelantan itu sendiri. Amaran itu adalah satu pengiktirafan kepada
Amanah.
Selepas penubuhan Amanah, bagaimana hubungan saudara bersama pemimpin Pas?
Saya masih bertegur. Masih berjumpa. Saya tidak ada hal peribadi. Bagi
saya kelemahan pada saya banyak tetapi bagi saya seluruh gerakan Islam
di dunia ini perlu buat perubahan.
Akhlak dan akidah terpisah. Akhlak Islam ada pada orang Jepun, Korea,
Finland, New Zealand.
Orang Islam tiada akhlak Islam. Dia tidak jijik
dengan rasuah. Ini yang paling pelik dalam dunia Islam. Dia boleh tengok
pemimpin salah gunakan harta rakyat tidak seperti zaman kehebatan Islam
dahulu. Kalau Islam nak naik balik, akhlak dan akidah perlu digabungkan
semula.
Ketika ini Amanah dilihat mahu bertanding dalam PRK walaupun
belum diputuskan Pakatan Harapan. Jadi mengapa Amanah mahu bertanding
dan adakah yakin akan menang?
Amanah, secara fahaman umum adalah menggantikan Pas dalam Pakatan
Harapan. Oleh itu sebarang kekosongan kerusi di tempat Pas, maka
Amanahlah dianggap layak untuk bertanding. Walau bagaimanapun sebarang
keputusan adalah melalui Pakatan Harapan. Di situ peringkat terakhir
melalui Majlis Presidennya. Tetapi secara persidangan umum, kami nak
bertanding di kawasan itu. Walau bagaimanapun ia mesti melalui keputusan
Majlis Presiden Pakatan Harapan.
Kita yakin menang di kedua-dua tempat. Kita sudah melakukan tinjauan.
Walaupun tiga penjuru. Sebab kita yakin golongan pertengahan akan
memihak kepada Amanah dan Pakatan Harapan. Ini kerana bila kita turun
pada tiga hari lalu di Sungai Besar, sambutan yang diberikan agak luar
biasa termasuklah orang veteran Pas, sahabat-sahabat. Bahkan yang
memakai baju Amanah pun ada. Jadi kita yakin.
Jadi kita akan cuba memohon untuk bertanding dan Pakatan Harapan akan
memutuskan. Dan kami memang ada orang, ada pekerja. Cukup. Kita boleh
turunkan petugas kita. Mungkin 3,000 hingga 4,000 orang di Sungai Besar
dan Kuala Kangsar.
Adakah tujuan Amanah hanya mahu membuat uji kaji sokongan rakyat?
Tidak. Itu adalah keputusan Pakatan Harapan. Itu memang hak kami untuk
bertanding dalam pilihan raya dan juga kita nak lihat signal rakyat
selepas apa yang berlaku seperti isu dana RM2.6 bilion, 1Malaysia
Development Berhad (1MDB), rasuah dan sebagainya. Ini ujian Amanah dan
Pakatan Harapan.
Kalau BN terus menang, kita akan teruskan usaha lagi. Pilihan raya
bukan pengakhirannya dalam perjuangan kita. Nak membuat perubahan bukan
ambil masa yang singkat.
Bagi saudara, antara BN dan Pas, mana parti yang lebih mendatangkan masalah buat Amanah dalam PRK itu nanti?
Begini, saya jadi penceramah dalam Pas lebih 37 tahun. Dari Ipoh sampai
Johor Bahru adalah tempat Pas hilang wang pertaruhan. Selalunya. Kalau
di Selangor, tempat yang tidak hilang wang pertaruhan adalah di Sabak
Bernam dan Tanjung Karang. Sungai Besar itu parlimen baharu. Lain-lain
tempat itu selalunya Pas hilang wang pertaruhan.
Pas mula mendapat undi banyak apabila bersama Barisan Alternatif
kemudian Pakatan Rakyat. Undi Pas ini terlalu kecil. Sebab itu bila dia
balik secara berseorangan, kita yakin dia balik kepada undi asalnya.
Bukan undi yang ada sekarang yang kita melihat di Sungai Besar, Pas
kalah hanya 300 lebih undi. Itu undi Pakatan Rakyat. Terutamanya undi
bukan Melayu dan saya yakin undi itu semua kalau Amanah bertanding akan
pergi kepada Amanah. Sebab itu bila Pas balik kepada secara
bersendirian, dia kuat dalam bentuk organisasi tetapi tidak kuat di
sudut undi. 37 tahun lebih saya berhempas pulas bersama, bukan saya
seorang. Pas hanya boleh mencapai kemenangan bersama barisan alternatif
dan kemudian Pakatan Rakyat.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan bekas
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mahukan pertembungan satu lawan
satu dalam dua PRK tersebut. Apakah pendirian Amanah?
Bagi saya, satu lawan satu tidak boleh antara Pakatan Harapan. Seperti
di Sarawak. Itu sebab Pakatan Harapan gagal apabila enam kerusi
bertembung. Dengan Pas, dia bukan duduk dalam Pakatan Harapan. Tidak ada
masalah. Pandangan Mahathir adalah pandangan peribadinya yang mahukan
BN kalah. Kita pun mahu BN kalah tetapi kita dengan prinsip dalam
perjuangan.
Bagi kita, ada beberapa sebab kegagalan di Sarawak. Pertamanya adalah
Pakatan Harapan gagal meletakkan satu calon. Keduanya adalah pengaruh
Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem.
Bagaimanapun keputusan di Sarawak tidak menggambarkan apa yang berlaku
di Semenanjung. Misalnya menjelang tahun 1999, Pas mula bertanding di
Sarawak. Hampir semua hilang deposit. Tetapi selepas itu juga Pas
berjaya ambil Terengganu dan Kelantan.
Pas baru-baru ini memecat Datuk Husam Musa dan adalah Amanah mahu memancing beliau untuk menyertai Amanah?
Kita tidak memujuk. Husam adalah seorang yang bijak bestari. Dia
seorang yang ada pemikiran dan mempunyai pandangan-pandangan terutama
dalam bidang ekonomi. Satu penggal saya
berpengalaman dengannya di
Parlimen, memang dia seorang yang boleh memberi cadangan dan membongkar
penyelewengan pemerintah, khususnya dalam bidang ekonomi.
Oleh itu kita mengalu-alukan orang sepertinya untuk berada dalam
Amanah. Terpulang kepadanya nak pilih parti mana. Bagi saya, saya
iktiraf dia seorang yang berkebolehan dalam ekonomi.
Bagaimana pula Amanah melihat berkaitan warkah Datuk Seri Anwar Ibrahim dari penjara?
Surat daripada penjara itu tumpuannya kepada masalah dalaman PKR. Jadi
saya tidak mahu sentuh panjang soal dalaman mereka. Setiap parti ada
masalah dalaman.
Cuma bagi saya, daripada awal saya menyebut, kita kenal Tun Dr Mahathir
Mohamad. Saya sendiri pernah dua kali ditahan di bawah Akta Keselamatan
Dalam Negeri (ISA) bahkan dalam Perhimpunan Agung Umno, beliau
menyerang saya berkali-kali. Tetapi kita orang Islam berpegang kepada
satu prinsip iaitu tentang pemerintah yang zalim dan bukan pemerintah
pencen yang zalim.
Kita akui sejarah beliau bukanlah baik di sudut hak asasi dan
sebagainya. Tetapi sekarang beliau nak bersama untuk menentang
penyelewengan yang begitu ketara.
Kita mengetahui, dengan umurnya 91 tahun, pada pandangan saya, beliau
tidak ada perancangan untuk dirinya. Barang kali untuk kumpulannya saya
tidak tahu. Saya ambil pada zahir, kerajaan Najib (Datuk Seri Najib Tun
Razak) ini berada dalam keadaan cukup parah, rasuah yang menjadi-jadi
sehingga dunia mengejek.
Satu perkara yang perlu kita akui juga adalah beliau adalah individu
yang terkenal di peringkat antarabangsa. Imejnya begitu tinggi di luar
negara. Bagaimanapun saya berhati-hati dengannya tetapi penglibatan
beliau untuk menjatuhkan Najib, saya sokong kerana bagi kita kalau Najib
yang menyeleweng, rakyat bangun menolaknya, ia akan menjadi satu
permulaan di Malaysia. Kalau Pakatan Harapan memerintah pula, bila ada
penyelewengan, begini juga rakyat perlu lakukan. Bila berlaku begitu,
kebaikan akan memihak kepada rakyat. Ini yang berlaku di lain-lain
negara.
Deklarasi Rakyat ini mungkin membuatkan pembangkang berpecah
kepada dua kumpulan dan mungkin akan memecahbelahkan pembangkang.
Bagaimana Amanah melihat situasi itu?
Tidak ada masalah berapa kumpulan yang ada sekalipun. Yang penting,
kita melihat bahawa soal menghadapi pemerintah yang rasuah dan
menyeleweng ini. Menjelang pilihan raya, kita ada masa untuk menyatukan
semua pihak. Barangkali ada pembangkang yang akan bersama dengan BN dan
akan juga di kalangan BN yang timbul kesedaran, akan bersama pembangkang
dan itu akan menyebabkan berlakunya penjajaran semula politik.
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan