Home » » Wan Azizah tidak tolak PKR ‘berbaik’ dengan PAS

Wan Azizah tidak tolak PKR ‘berbaik’ dengan PAS

Written By Wadah Baru on Khamis, 17 Ogos 2017 | 9:14 PG

KUALA LUMPUR: Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak menolak kemungkinan bekerjasama dengan PAS dalam perkara penentuan kerusi pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, hampir 3 bulan selepas parti Islam itu memutuskan hubungan.

“Memang objektif kita adalah menjatuhkan Barisan Nasional (BN). Kalau ada apa-apa yang boleh membantu kita ke arah itu, kita akan cuba,” katanya

Wan Azizah berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu pembahagian kerusi di antara PKR dan PAS pada PRU akan datang bagi mengelak pertandingan 3 penjuru.

PAS bukan sebahagian daripada Pakatan Harapan yang disertai PKR, DAP, Amanah dan PPBM. Sebaliknya, parti itu mempunyai gabungan sendiri yang dinamakan Gagasan Sejahtera.

Mei lalu, PAS memutuskan kerjasama politik dengan PKR. Bagaimanapun, ia tidak menghalang beberapa pemimpin PKR termasuk Wan Azizah dan timbalannya Datuk Seri Azmin Ali melawat Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini.

Azmin menjelaskan, kunjungan itu hanyalah suatu lawatan dan tiada perbincangan dilakukan.
Azmin berkata walaupun PAS bukan sebahagian PH, partinya masih sudi membincangkan pilihan kerusi.

Namun Azmin menegaskan sehingga ke hari ini masih tiada perbincangan rasmi dilakukan antara kedua-dua parti.

Menurut Wan Azizah, ruang perbincangan masih terbuka dan terbukti apabila arahan letak jawatan terhadap lantikan politik PKR dalam pentadbiran Kelantan yang dikuasai PAS, diubah setelah perbincangan dilakukan.

“Bila kita berkomunikasi, menteri besar Kelantan sendiri katakan masih perlu untuk kerjasama dengan PKR. Jadi kita okay, kalau mana yang dikekalkan, maka ia diteruskan,” katanya ringkas.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger