Home » , » Beri pengundi elaun perjalanan ialah rasuah, kata SPRM

Beri pengundi elaun perjalanan ialah rasuah, kata SPRM

Written By Wadah Baru on Rabu, 6 September 2017 | 12:05 PTG

PETALING JAYA: Tindakan menawarkan elaun perjalanan kepada pengundi pulang ke kampung halaman mengundi ialah satu bentuk rasuah, kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki dipetik Sin Chew Daily berkata, penawaran sebarang bentuk dorongan, tidak kira wang tunai atau hadiah, dianggap rasuah.
Beliau memberi contoh calon atau ahli parti politik menawarkan elaun kepada pengundi untuk mengundi mereka, walaupun hanya RM50 ialah tindakan merasuah.

Tetapi, katanya, ia bukan satu bentuk rasuah jika ahli politik memberi bantuan kepada golongan miskin.

“Contohnya, jika pemimpin politik tertentu mengagihkan beras atau bantuan kepada orang miskin di kawasannya, ini tidak dianggap rasuah.”

Beliau berkata, setiap ikrar yang dibuat parti politik sepanjang kempen pilihan raya, termasuk manifesto mereka seperti membina rumah juga tidak dianggap rasuah.

Katanya, ia adalah amalan biasa di kebanyakan negara untuk calon pilihan raya membuat ikrar bagi meraih sokongan pengundi, contohnya pilihan raya presiden Amerika Syarikat.

Menjelang pilihan raya umum ke-14, Azam mengingatkan semua parti politik supaya tidak menggunakan wang untuk membeli undi atau kelayakan calon mereka akan dibatalkan.
“Sebaik sahaja Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan tarikh PRU14, sebuah pasukan penguatkuasaan yang terdiri daripada SPRM dan polis akan ditubuhkan untuk memantau aktiviti rasuah di kalangan ahli politik.

“Pasukan penguatkuasa akan mengambil tindakan berdasarkan aduan orang ramai, termasuk menggunakan Akta Suruhanjaya Pilihan Raya, Akta SPRM dan Kanun Keseksaan untuk menyiasat aduan.”

Sementara itu, beliau berkata, SPRM tidak bercadang meminda akta untuk mewajibkan semua calon mengisytiharkan harta mereka, sebaliknya terpulang kepada parti politik untuk berbuat demikian.
“Bagaimanapun, parti politik selalunya menyerahkan senarai calon mereka kepada SPRM dan polis untuk diperiksa,” katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Follow by Email

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger