Home » , » 'Pas membelai, mengasuh bayi PKR'

'Pas membelai, mengasuh bayi PKR'

Written By Wadah Baru on Rabu, 6 September 2017 | 12:19 PTG

Oleh Arif Atan

Pemimpin Pas dilihat secara sinis mengungkit 'sumbangannya' kepada PKR dengan menegaskan tanpa Pas, PKR tidak akan berupaya wujud seperti pada masa ini.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Azman Ibrahim  bahkan berkata, Timbalan Presiden PKR, Datuk Azmin Ali tidak berpeluang menjadi Menteri Besar Selangor sekiranya pemimpin Pas tidak berjiwa besar.

Kenyataan Ahli Jawatankuasa Badan Perhubungan Pas Terengganu yang dipetik dari portal rasmi Pas, Harakahdaily itu juga memaklumkan Pas mempunyai 'kisah panjang' berkaitan kepimpinan partinya.

"Kalau nak bercakap tentang soal bagaimana seorang pemimpin perlu berjiwa besar dan meletakkan kepentingan rakyat dan negara di hadapan, maka kita mempunyai kisah panjang untuk dinukilkan bagaimana jiwa besar yang dimiliki oleh pemimpin Pas dalam berfikir dan bertindak.

"Tanpa jiwa besar pemimpin Pas, Azmin Ali tak akan duduk di kerusi Menteri Besar seperti sekarang. Tanpa jiwa besar pemimpin Pas yang membelai dan mengasuh bayi PKR dengan penuh kesabaran selama ini, PKR tak akan mampu berada dalam kedudukan seperti sekarang," tegasnya.
Dr Azman juga menyifatkan PKR boleh mencari haluan sendiri memandangkan Pas, jelasnya, sudah pun 'melepaskan' parti diterajui Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail itu.

"Tak ada masalah kalau jasa besar Pas dinafikan sebab Pas pun dah lepaskan PKR bina kehidupan sendiri.

"Pandai-pandailah hidup sendiri dan cari makan sendiri. Kalau berbalah sesama sendiri pun janganlah sampai heboh seantero dunia. Malu kokram! (Malu kat orang)," sinisnya dalam loghat pantai timur.
Dilihat lebih ketara menyindir PKR, Dr Azman memberitahu Pas juga tidak memerlukan 'warkah dari penjara' dan mengingatkan Pas 'tak pandai berbelit-belit'.

"Dalam apa jua rundingan, syarat Pas ialah sama ada kepentingan Islam terjaga atau terabai. Jaga Islam maka perkara lain akan terjaga. Abaikan Islam maka kita akan lihat betapa kucar-kacirnya semua urusan.

"Kita tak perlukan warkah dari penjara untuk mengajar kita tentang politik. Cukup dengan warkah dari Allah dan Rasul untuk mengajar kita jalan mana yang perlu dipilih," ujarnya.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berada di Penjara Sungai Buloh umum diketahui mengeluarkan kenyataan dari semasa ke semasa berhubung pendirian parti itu termasuk terbaharu pada 2 September lalu. Anwar dalam kenyataannya sehari selepas Hari Raya Aidiladha itu memaklumkan 'tidak keberatan' untuk parti tersebut mengadakan rundingan dengan Pas berhubung isu kerusi selain tidak menentang satu kongres khas diadakan.

Bagaimanapun, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dalam reaksinya berpendapat Anwar telah meletakkan beberapa sempadan dalam isu rundingan PKR-Pas itu antaranya mesti dalam kerangka komitmen PKR dengan Pakatan Harapan.

Menyentuh soal rundingan bagi tujuan kerjasama politik menjelang pilihan raya umum akan datang, Dr Azman menggunakan kunci sebagai lambang.

"Dalam Islam tak ada istilah pintu rundingan tertutup rapat. Kita tutup pintu, tapi kunci kita pegang di tangan.

"Kunci pintu mesti dipastikan berada di tangan pemimpin yang faham siyasah Islam," tegasnya lagi.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger