Home » , » Pakatan selesai pembahagian 100 kerusi Parlimen

Pakatan selesai pembahagian 100 kerusi Parlimen

Written By Wadah Baru on Selasa, 5 September 2017 | 12:37 PTG

PAKATAN Harapan (PH) sudah selesai pembahagian 100 kerusi Parlimen antara parti komponen, kata Ketua Setiausaha Saifuddin Abdullah.

Saifuddin bagaimanapun tidak menamakan senarai kerusi yang beliau maksudkan.

"Saya tak boleh nak umumkan nama kerusi-kerusi ini tetapi saya rasa semua dah boleh agak," kata bekas timbalan menteri pendidikan itu pada sidang media di Wisma Amanah di Kuala Lumpur hari ini.

"Sebenarnya lebih pada itu yang dah selesai, tapi saya tak boleh nak umumkan lagi. Cukuplah 100 dulu hari ini."

Saifuddin berkata, rundingan kerusi PH hanya melibatkan PKR, Amanah, DAP dan Bersatu.
"Kita berpegang kepada keputusan Majlis Presiden PH," katanya apabila ditanya sama ada rundingan kerusi itu akan melibatkan PAS.

Majlis Presiden PH minggu lalu mengumumkan tiada sebarang kerjasama dengan PAS dan bersedia untuk berdepan pertembungan tiga penjuru.

"Rundingan kerusi berlaku dengan baik. Selepas ini kita akan berunding untuk kerusi peringkat negeri.

"Walaupun yang terbaik ialah satu lawan satu tetapi keadaan sekarang tidak begitu. Jadi kita harus bersedia untuk tiga penjuru, inilah hakikatnya," katanya.

Apabila ditanya berkenaan dengan surat Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim baru-baru ini tentang PH perlu pertimbangkan untuk berunding dengan PAS bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru, Saifuddin berkata: "Saya tak mahu ulas. Kita tetap dengan pendirian majlis presiden."

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger