Home » , » Amanah khuatir 'pengundi hantu' Bangladesh banjiri Sabah

Amanah khuatir 'pengundi hantu' Bangladesh banjiri Sabah

Written By Wadah Baru on Sabtu, 13 Februari 2016 | 11:12 PG

Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Sabah membantah tindakan kerajaan mengambil 1.5 juta
pekerja asing Bangladesh kerana dikhuatiri akan meminggirkan pekerja tempatan dan mengulangi kewujudan 'pengundi hantu' di negeri itu.

Pengarah Komunikasi Amanah Sabah, Khairuddin Daud berkata, kemasukan buruh asing ke negara ini khususnya ke Sabah dan Sarawak akan mewujudkan lambakan pekerja asing yang akhirnya boleh mengancam populasi pribumi asal di kedua-dua negeri.

"Merujuk kepada unjuran populasi penduduk di negeri Sabah pada tahun 2015, jumlah penduduk di negeri Sabah adalah seramai 3.54 juta orang dengan 870,400 orang adalah bukan warganegara Malaysia dan Sabah mencatat jumlah bukan warganegara tertinggi di Malaysia berbanding negeri-negeri lain diikuti Selangor dan Johor," tegasnya.

Sehubungan itu, katanya kemasukan buruh asing ke negeri Sabah khususnya boleh menjejaskan populasi penduduk pribumi dengan penambahan jumlah ‘bukan warganegara’ di Sabah.

Hal ini, ujar beliau dibimbangi akan menghakis adat resam serta sosio-budaya masyarakat Sabah yang diwarisi sejak dahulu lagi yang akhirnya membawa kepada hilangnya identiti sebenar masyarakat Sabah.

"Selain itu, kemasukan buruh asing seramai 1.5 Juta ini juga boleh meminggirkan peluang pekerjaan masyarakat di Sabah.

"Sehingga ke hari ini, peratusan penganggur yang berdaftar dengan Jabatan Tenaga Manusia yang tertinggi di Malaysia adalah di Sabah iaitu sebanyak 4.7%, berbanding Sarawak (3.8%) dan Semenanjung (2.1%).

"Perkara ini dinyatakan sendiri oleh Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Sabah, Datuk Siringan Gubat," jelasnya
.
Lambakan pekerja asing, ujar Khairuddin jelas akan meminggirkan warga tempatan Sabah.
Menurutnya, bersandarkan faktor kemelesetan ekonomi, pihak majikan pastinya mengambil kesempatan memilih buruh asing yang boleh dibayar dengan gaji yang rendah tanpa melihat kompetensi pekerja, kelayakan bekerja dan pengalaman dalam pekerjaan.

Hal ini jelas beliau dikuatkan lagi dengan kenyataan Setiausaha Kabinet Bangladesh, Mohammad Shafiul Alam, seperti dilaporkan portal berita Bangladesh bdnews24.com bahawa warga Bangladesh boleh bekerja dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan di Malaysia.

"Sebelum ini mereka hanya dibenarkan bekerja dalam sektor perladangan. Perkara ini amat dikesalkan kerana Sabah mampu menyediakan tenaga kerja mahir daripada kolej-kolej vokasional, institut-institut latihan, politeknik dan Universiti di Sabah," katanya.

Amanah Sabah juga khuatir lambakan pekerja asing di negeri Sabah juga mendorong kepada berlakunya kes pengundi hantu semasa pilihan raya.

"Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkenaan pendatang haram di Sabah yang bermula Januari 2013, mendedahkan testimoni rakyat Filipina dan warga asing lain tentang bagaimana mereka menerima kad pengenalan biru dalam masa beberapa tahun selepas tiba di Sabah dan mengundi dalam pilihan raya.

"Selain itu, terdapat banyak sekali kes penangkapan pengundi hantu semasa pilihan raya ke-13 yang lalu.

"Justeru tindakan kerajaan membawa masuk pekerja asing seramai 1.5 juta orang daripada Bangladesh memungkinkan kes pengundi hantu ini berulang pada pilihan raya umum ke-14 nanti, sekaligus menafikan hak warga tempatan memilih secara bersih dan adil dalam pilihan raya akan datang," tegas beliau.

Sehubungan itu Khairuddin mengajak seluruh warga Malaysia, khususnya rakyat Sabah untuk menyatakan bantahan terhadap tindakan kerajaan mengambil 1.5 juta buruh asing Bangladesh.
Amanah Sabah juga, ujar beliau menyatakan sokongan kepada badan bukan kerajaan, mahasiswa serta rakyat seluruhnya yang membantah tindakan kerjaan ini.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger