Home » , » PH berpeluang besar menang PRU14, kata Guan Eng

PH berpeluang besar menang PRU14, kata Guan Eng

Written By Wadah Baru on Selasa, 5 September 2017 | 12:34 PTG

GEORGE TOWN: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, peluang Pakatan Harapan (PH) menewaskan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) “sangat besar” disebabkan pertambahan undi Melayu dan faktor Tun Dr Mahathir Mohamad.

Timbalan presiden PH itu berkata, pakatan pembangkang ialah “ancaman sebenar” BN kerana mereka hanya meraih 58% undi Melayu dalam PRU lalu.

Ketua menteri Pulau Pinang berkata, serangan bertubi-tubi ke atas bekas perdana menteri yang juga Pengerusi PH, Dr Mahathir akan mengurangkan peluang BN memenangi PRU14.

“Kami meramalkan jumlah itu pasti berkurangan lagi pada PRU akan datang, terutama selepas Dr Mahathir meninggalkan Umno untuk membentuk PPBM,” katanya pada sidang media di Komtar hari ini.

Lim berkata, walaupun berlaku pertandingan 3 penjuru, BN bersama sekutu baru mereka, PAS masih lemah berbanding PH.

Beliau berkata, dalam pertandingan 3 penjuru itu, PAS akan mendapat undi “penyokong tegar” dan pengundi Umno, tetapi parti Islam itu yang tidak popular dalam kalangan pengundi bukan Melayu ialah punca kekalahan mereka.

“PAS mungkin memperoleh sokongan pengundi Umno, tetapi mereka tidak boleh mendapat sokongan pengundi bukan Melayu yang menyokong PH.

“Analisis kami baru-baru ini menunjukkan PAS mempunyai penyokong tegar sendiri, tetapi mereka berdepan kekalahan di mana-mana sahaja. Kemungkinan mereka hilang Kelantan sangat nyata.”
Beliau berkata, pengundi PAS mesti melihat nilai Islam parti itu sudah “hilang tempatnya” kerana mereka tidak lagi melawan Umno dan BN.

Lim berkata, PAS kini bekerjasama secara “diam-diam” dengan BN dan mereka akan bertanding “demi bertanding”.

“Kami beri 2 pilihan jelas kepada pengundi, sama ada PH atau BN. Sama ada mereka mahu teruskan dengan sebuah parti yang memerintah negara selama 60 tahun atau perubahan, permulaan baru, Malaysia baru serta harapan baru untuk anak dan cucu mereka.”

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger