Home » , » Utamakan kepentingan rakyat, Pakatan Harapan mesti bersatu

Utamakan kepentingan rakyat, Pakatan Harapan mesti bersatu

Written By Wadah Baru on Selasa, 5 September 2017 | 12:39 PTG

AMBIGA Sreenevasan hari ini menyelar tuduhan kononnya beliau anti Pakatan Harapan (PH) dan menyifatkannya satu “gangguan” ketika seluruh usaha dan tenaga sedang ditumpukan untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum ke-14.

Kata beliau, inilah masanya untuk PH mengotakan janji kepada rakyat mahu membawa demokrasi baru di Malaysia, dengan belajar mendengar suara yang tidak semestinya senada dengan pandangan mereka.

Beliau menyifatkan apa yang berlaku sekarang sebagai "ujian berat" untuk pakatan pembangkang itu tetapi pada masa yang sama ia juga akan menyerlahkan kedudukan sebenar PH.

“Menerima pandangan orang lain dan kadang kala menyemak semula keputusan yang dibuat demi kepentingan rakyat adalah tanda kematangan.

“Bukannya dengan berkelakuan seolah-olah orang lain tidak berhak berkata apa-apa,” kata Ambiga dalam satu kenyataan media hari ini.

Ambiga mengulas kritikan Rafizi terhadapnya selepas beliau menegur PKR membuka pekung di dada dengan membawa perselisihan pendapat dalam parti itu ke khalayak umum menjelang PRU14.

Rafizi dalam kritikannya mendakwa bekas pengerusi bersama Bersih 2.0 itu sebagai berat sebelah dan hanya mengulangi pandangan pengkritik PKR yang menyokong rundingan kerjasama PH dengan PAS biarpun idea itu sudah ditolak oleh parti-parti dalam gabungan pembangkang itu.

Kritikan Rafizi itu turut diselar oleh aktivis Bersih 2.0, Mandeep Singh yang berkata kenyataan ahli Parlimen Pandan itu mendedahkan sikapnya yang tidak boleh ditegur oleh orang lain.

Peguam Syahredzan Johan juga menepis Rafizi dan menyifatkan kenyataannya itu sebagai “sangat tidak masuk akal”, dan menambah adalah tidak wajar untuk “bermusuh dengan kawan”.

Ambiga dalam kenyataannya bagaimanapun menjelaskan beliau bukannya mahu berbalas hujah dengan Rafizi sebaliknya hanya mahu mengingatkan pakatan pembangkang itu akan janji-janjinya mengembalikan idea demokrasi yang sebenar di Malaysia.

Untuk itu katanya, PH mesti meletakkan kepentingan negara mengatasi segala-galanya, melampaui mana-mana individu atau parti, dan meletakkan sebarang perbezaan pandangan demi kepentingan yang jauh lebih besar daripada semua perkara.

“Dan mereka (Pakatan Harapan) mesti sedar bahawa impian Malaysia bukan milik mereka sahaja. Ia milik rakyat,” katanya.

Ambiga juga menjelaskan kritikannya terhadap PH bukan bermakna beliau meremehkan segala sumbangan serta cabaran yang dihadapi oleh semua ahli parlimen pembangkang, termasuk Rafizi.
Tetapi katanya, beliau bimbang melihat pemimpin pembangkang saling bercakaran antara satu sama lain menjelang pilihan raya. Beliau juga bimbang melihat strategi pertembungan tiga penjuru dianjurkan ketika ia tidak pernah membuahkan hasil.

“Melihat kurangnya usaha di akar umbi juga membimbangkan,” kata Ambiga.

Tambah beliau, semua pihak mesti berusaha ke arah satu matlamat dan hanya satu matlamat sahaja: “Perubahan mesti berlaku dalam PRU14. Bukan PRU15 atau PRU16, tetapi PRU14.”

Untuk itu, Ambiga berkata, PH mesti merapatkan barisan dan bangkit menyahut tuntutan zaman, untuk tampil sebagai pilihan alternatif kepada BN.

“Mereka mesti menambat hati dan imaginasi rakyat, sama seperti yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat,” katanya, merujuk kepada pakatan yang dibentuk selepas PRU12 tetapi bubar selepas PRU13.

Pakatan yang bubar itu kemudiannya bersatu semula dalam PH, tanpa PAS. PH kini disertai oleh DAP dan PKR serta dua parti serpihan Umno dan PAS, iaitu Bersatu dan Amanah.
Ambiga turut mengingatkan masa sudah terlalu suntuk sedangkan usaha menggantikan BN memerlukan kerja keras dan rakyat sudah bersedia.

Majlis Presiden PH minggu lalu sepakat menutup pintu rundingan dengan PAS dan bersedia untuk menghadapi pertemuan tiga penjuru dalam PRU14.

Sehari sebelum keputusan itu dibuat, Rafizi mengeluarkan kenyataan mendesak PKR mengadakan satu kongres khas bagi memutuskan perlu atau tidak parti itu bekerjasama dengan PAS, dan usulnya disokong oleh sesetengah pemimpin akar umbi parti.

Selang beberapa hari selepas Majlis Presiden PH membuat keputusan, Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim mengeluarkan kenyataan dari penjara cuba menenangkan penyokong PKR tentang isu kerjasama dengan PAS.

Anwar turut mendedahkan beliau selama ini tahu tentang rundingan itu yang diketuai oleh Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan beliau merestuinya, dengan syarat ia dilakukan berdasarkan kerangka yang beliau tetapkan sebelum ini.

Rafizi kemudiannya pula mengeluarkan kenyataan yang dilihat cuba menjelaskan pendirian Anwar. Pada masa yang sama, Naib Presiden PKR itu turut mendedahkan “dua, tiga ahli Biro Politik” PKR yang didakwanya menjadi punca kekeliruan yang melanda parti itu.

Kemuncaknya, aktivis politik Hishamuddin Rais mengeluarkan kenyataan merumuskan segala krisis dalaman yang dihadapi oleh PKR sekarang ini berpunca daripada tindakan Anwar yang cuba mengurus kepimpinan parti itu dari dalam penjara.

Di tengah-tengah kemelut inilah, Ambiga mengeluarkan pandangan melalui beberapa kenyataan di Twitter mengingatkan PKR bahawa pengundi tidak berminat dengan perselisihan dalaman mereka dan menggesa parti itu menumpukan perhatian kepada PRU14 yang boleh diadakan pada bila-bila masa sebelum Ogos 2018

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger