Home » , » Lantang isu banglo Guan Eng, ‘bisu’ skandal Najib

Lantang isu banglo Guan Eng, ‘bisu’ skandal Najib

Written By Wadah Baru on Rabu, 23 Mac 2016 | 2:12 PTG

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) harus segera mengambil tindakan dan tidak melindungi mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam melakukan jenayah rasuah.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, beliau juga tidak mahu seolah-olah undang-undang di Malaysia hanya untuk orang biasa yang bersalah sedangkan pemimpin yang berkuasa dilindungi dan terlepas.

“Dalam kes yang membabitkan laporan rasuah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, saya mengalu-alukan dan menggesa SPRM mempercepatkan siasatan isu pembelian rumah di bawah harga pasaran yang berharga RM 2.8 juta dan perkara berkaitan.

“Malah, jika didapati hasil siasatan mempunyai bukti yang mencukupi SPRM boleh mencadangkan pertuduhan ke atas Guan Eng untuk diambil tindakan pendakwaan oleh Peguam Negara,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Bekas Ketua Penerangan PAS itu juga mengucapkan syabas kepada pemimpin-pemimpin UMNO yang lantang membangkitkan isu pembelian rumah Guan Eng, namun kesal kerana sikap yang sama tidak berlaku apabila Datuk Seri Najib Razak dituduh.

“Syabas saya ucapkan kepada pemimpin UMNO BN yang begitu tegas dan keras membangkitkan isu pembelian rumah oleh Guan Eng yang berharga RM2.8 juta tetapi mempertahan dan melindungi Najib dalam kes dana RM2.6 bilion dan RM42 juta dalam akaun peribadi beliau.

“Bagi saya, jangan lindungi Guan Eng dan jangan lindungi Najib, jika cukup bukti dakwa mereka dan jika sabit kesalahan hukuman yang setimpal perlu dikenakan,” ujarnya lagi.

Namun, Mahfuz hairan dengan tindakan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dalam isu yang membabitkan Najib. Hal ini kerana, kertas cadangan pendakwaan terhadap Najib telah diketepikan.

“Kertas siasatan SPRM yang mengandungi cadangan pendakwaan ke atas Najib atas kes SRC RM42 juta dalam akaun peribadi beliau dibakul sampah oleh Peguam Negara?

“Kenapa permohonan SPRM untuk mendapat kebenaran Mutual Legal Assistance (MLA) daripada Peguam Negara bagi membolehkan SPRM meneruskan siasatan isu dana RM 2.6 bilion untuk mendapatkan bukti serta dokumen daripada institusi kewangan yang berpangkalan di luar negara tidak diberikan kebenaran tersebut oleh Peguam Negara?” soalnya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger