Tambahan pula, mana mungkin parti itu akan duduk semeja dengan bekas pemimpin-pemimpin yang meninggalkan perjuangan Pas selepas tewas dalam pemilihan parti pada Jun 2015. Kelompok bekas pemimpin tersebut menubuhkan parti PAN yang diketuai oleh Mohamad Sabu.

Biarpun sebelum ini Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, Pas sudah biasa berjuang sendirian, tetapi politik semasa tidak mengizinkan parti itu untuk berbuat demikian. Mahu tidak mahu, Pas terpaksa mencari rakan kongsi bagi meneruskan perjuangannya.

Justeru pengumuman Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan bahawa parti itu akan mewujudkan pakatan baharu pembangkang agak menarik untuk diperbincangkan. Apatah lagi, Takiyuddin menyatakan, pakatan itu ‘mampu menggerunkan’ pakatan sedia ada.

Persoalannya, siapakah rakan baharu Pas itu? Bagaimanakah hubungan Pas dengan PKR? Apakah maksud pertembungan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bermakna, Pas turut akan menentang PKR?

Kalau begitu bagaimana dengan kerjasama sedia ada di Selangor, contohnya? Apakah PKR masih mahu bekerjasama dengan Pas yang sudah diketahui akan menjadi musuh mereka dalam pilihan raya umum akan datang?

Semua persoalan itu perlu dijawab oleh Pas supaya ia tidak mewujudkan kekeliruan bukan sahaja dalam kalangan ahli dan penyokongnya tetapi juga rakyat. Bagaimanapun apa yang lebih penting, benarkah kerjasama itu akan mampu melaksanakan apa yang dipanggil ‘budaya politik matang dan sejahtera’ seperti mana dikatakan oleh Takiyuddin.

Berdasarkan perbualan penulis dengan beberapa pemimpin Pas, mereka gembira dengan perkembangan baharu itu. Mereka menganggap ia detik terbaik untuk memberi isyarat khususnya kepada DAP dan PAN bahawa Pas berkemampuan menubuhkan blok baharu pembangkang tanpa perlu bergantung kepada kedua-dua parti tersebut.

Bagaimanapun apa yang mereka harapkan ialah Pas berhati-hati dalam tindakan politiknya. Ini memandangkan sejak tidak lagi berada dalam pakatan pembangkang, Pas jarang sekali terlibat dalam politik kontroversi sehinggakan dianggap ‘mahu menjadi sekutu’ UMNO.

Pas tidak goyah dengan dakwaan yang dilemparkan kerana UMNO tetap dilihat sebagai ‘musuh politik’ parti tetapi Pas mahu ‘menumbangkan’ UMNO melalui pilihan raya, bukanlah melalui ‘pintu belakang’ seperti mana dilakukan oleh parti pembangkang lain.

Penubuhan gabungan baharu itu jika menjadi kenyataan membuktikan Pas kini sudah bersedia untuk ‘berkerat rotan berpatah arang’ bukan sahaja dengan DAP dan PAN tetapi juga PKR dalam pilihan raya umum akan datang.

Ternyata setelah sekian lama diperkotak-katikkan dalam pakatan pembangkang, kerjasama baharu itu dianggap ‘pembalasan’ politik Pas terhadap keangkuhan DAP dan ‘pengkhianatan’ PAN. Ini memandangkan kata Takiyuddin, Pas dan ‘rakan baharunya’ itu mempunyai matlamat perjuangan yang sama demi kepentingan negara dan Islam.

Jelaslah Pas ingin membuktikan kepada penyokong dan ahlinya, biarpun dilanda ‘ombak politik’ yang cukup hebat ketika berada dalam pakatan pembangkang, namun mereka tidak akan meninggalkan perjuangan Islamnya.
Pendirian itu sudah tentulah akan memberi cabaran hebat kepada PAN yang sebelum ini dianggap sebuah parti yang semakin menghampiri senario ‘hidup segan mati tidak mahu’. PAN tiada apa-apa kekuatan dan hanya nyawa politik mereka dikatakan bergantung kepada PKR dan DAP sahaja.

Oleh itu, Pas mahu memperkukuhkan kembali kedudukannya sebagai sebuah parti Islam dengan mewujudkan blok baharu pembangkang pada 16 Mac ini. Namun begitu, ketika pemimpin-pemimpin Pas terus dengan kerjasama politik tersebut, ada juga dalam kalangan ahli-ahlinya bertanya, apakah jaminan Pas tidak akan diperkotak-katikkan seperti mana nasib mereka dalam pakatan pembangkang dahulu?

Ketika ini, ramai dikatakan memuji pendirian Pas dalam berhadapan dengan isu semasa, termasuklah pakatan Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan pembangkang bagi menjatuhkan kepemimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak. Walaupun ada seorang dua pemimpin parti itu yang tersasar dengan menyokong gerakan berkenaan, namun Abdul Hadi menegaskan, “ia kerja sia-sia”.

Justeru adalah wajar politik matang dan sejahtera yang ditunjukkan oleh Pas akan berterusan, biarpun akan mewujudkan pakatan baharu pembangkang. Janganlah pula kerana terlalu ghairah untuk meraih sokongan, Pas kembali kepada pendekatan politik menyokong apa sahaja seperti mana ketika mereka bekerjasama dengan DAP dahulu.

Pada masa sama, BN pula tidak harus memandang ringan perkembangan terbaharu ini. Persiapan perlu dilakukan sekarang kerana Pas sudah mengesahkan akan berlaku pertembungan tiga penjuru dalam PRU akan datang.

Semua komponen BN khususnya UMNO perlu membuat persediaan dari segala sudut bagi menghadapi ‘ancaman’ pakatan pembangkang dan blok baharu pembangkang ciptaan Pas. Usah lagi membuang masa dengan melayan kerenah politik yang diwujudkan oleh seorang dua individu yang masih belum puas mahu mencaturkan perjalanan politik negara ini, khususnya melibatkan parti memerintah.

Apapun menubuhkan kerjasama politik dengan mana-mana parti atau pihak adalah hak Pas, tetapi janganlah sampai ia memaksa Pas mengulangi ‘perangai lama’ sehingga dilayan bagaikan ‘melukut di tepi gantang’ atau sebuah parti tidak bermaruah.- utusan.com.my