Home » , » BN laku kesalahan jenayah kerana belanja pilihan raya lebihi had

BN laku kesalahan jenayah kerana belanja pilihan raya lebihi had

Written By Wadah Baru on Isnin, 14 Mac 2016 | 8:39 PG

Pemuda Amanah Nasional telah membuat laporan polis berhubung pengakuan Pengerusi
Perhubungan Umno Melaka, Datuk Sri Idris Haron bahawa BN telah membelanjakan RM1.5 bilion bagi kempen pilihan raya umum (PRU) lalu.

Laporan polis dibuat Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional, Faiz Fadzil di Pejabat Daerah Polis Kuala Muda, 11 Mac lalu.

Menurut Faiz, BN secara jelas telah melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 kerana berbelanja melebihi had yang ditetapkan.

Pengakuan Idris itu, ujar Faiz telah dilaporkan portal berita Malaysiakini pada 9 Mac lalu di bawah tajuk "BN belanja RM1.5b, tapi tak semestinya dari RM2.6 bilion".

Pengakuan Idris itu, kata Faiz mengesahkan dakwaan Datuk Seri Mukhriz Mahathir bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam mesyuarat dengan ketua-ketua perhubungan Umno negeri mengakui bahawa BN telah membelanjakan sejumlah RM1.5 bilion dalam PRU lalu.

"Saya membuat laporan ini merujuk kepada peruntukkan Seksyen 19(1) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 yang menyatakan bahawa seseorang calon dalam sesuatu pilihan raya atau ejen pilihan rayanya tidak boleh membelanjakan wang melebihi RM200,000 bagi kerusi Dewan Rakyat dan tidak melebihi RM100,000 bagi kerusi Dewan Undangan Negeri.
"Pengesahan Datuk Seri Idris Haron tersebut adalah jelas menunjukkan bahawa calon-calon BN di dalam PRU ke-13 yang lalu telah berbelanja melebihi had yang dibenarkan oleh Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 dan oleh itu telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 19(2) Akta yang sama," ujar beliau.
Faiz juga menggesa pihak polis menyiasat pihak-pihak yang secara jelas melanggar Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 yang juga suatu kesalahan jenayah.

Turut serta mengiringi Faiz membuat laporan polis ialah Ketua Pemuda Amanah Nasional Mohd Sany Hamzan dan para pemimpin Pemuda Amanah Nasional dan negeri.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger