Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia
(BERSATU) esok akan memutuskan untuk menggunakan satu daripada empat
pilihan dalam hal membentuk pakatan pilihan raya, kata Timbalan Presiden
BERSATU Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Satu mesyuarat peringkat tertinggi antara empat parti itu akan diadakan esok di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya.
Pengumuman rasmi diikuti dengan majlis menandatangani memorandum
persefahaman antara BERSATU dan HARAPAN dijangka diadakan pada sebelah
petang.
Menurut Mukhriz, HARAPAN dan BERSATU telah memberikan komitmen mereka
untuk bekerjasama dalam pilihan raya umum akan datang dan membentuk
kerajaan bersama-sama jika mempunyai cukup kerusi.
Bagaimanapun, bentuk sebenar kerjasama itu masih belum diputuskan.
"Kami ada beberapa pilihan, ia hanya akan diketahui opsyen mana akan dipilih (esok)," katanya kepada Malaysiakini.
Empat pilihan itu, menurut Mukhriz, adalah:
- "Harapan plus BERSATU" dalam kerjasamanya;
- BERSATU menyertai HARAPAN;
- Membentuk sebuah gabungan baru bersama
- Satu lagi bentuk kerjasama lain.
"Apa pun, ia tidak terhad kepada hanya kerjasama pilihan raya. Idea
keseluruhan adalah untuk kita memastikan cara terbaik membentuk kerajaan
baru.
"Ia bukan sahaja hubungan berasaskan keperluan untuk menghadapi
pilihan raya umum akan datang. Ini bukan niat kami sama sekali, kerana
ia jangka masa terlalu pendek," katanya.
Sebelum ini, pemimpin BERSATU berkata mereka telah melanjutkan
rundingan dengan parti-parti pembangkang untuk membentuk pakatan dan
menetapkan agenda baru untuk "menyelamatkan Malaysia".
HARAPAN kelihatan telah memanaskan idea berkenaan, walaupun BERSATU dipimpin oleh bekas pemimpin Umno.
Bagaimanapun, PAS menyatakan dengan jelas tidak akan bekerjasama
dengan BERSATU jika mereka menyertai HARAPAN kerana parti Islam itu
menganggap DAP dan AMANAH sebagai musuh.
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan