Umum berpendapat bahawa PRU ke 14 semakin hampir. Di akhir Perhimpunan Agung UMNO(PAU) lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri telah memukul gendang ,mengistiharkan bahawa PRU ke 14 sudah semakin hampir. Presiden BN itu mahu semua pihak dalam gabungan BN bersiap sedia untuk menghadapi PRU ke 14.
Pakatan pembangkang pula telah membuat kemajuan dengan memeterikan perjanjian antara Pakatan Harapan(PH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia(PPBM) dalam persiapan menghadapi PRU ke 14 itu. Mereka bersetuju untuk menggunakan satu simbol dan satu manifesto untuk PRU ke 14. Persetujuan bersama antara PH dan PPBM ini adalah suatu yang amat dinanti-nantikan oleh semua pihak. Anehnya, PAS masih seperti sebelumnya, masih yakin dengan “Blok Ketiganya dan berperanan sebagai penasihat kepada Kerajaan BN”. Sepertinya pendirian PAS itu akan terus kekal sehinggalah hari penamaan calon PRU ke 14.
Oleh yang demikian, amatlah wajar parti-parti dalam pakatan pembangkang melupakan sahaja nostalgia, saat-saat bahagia dan romantis sewaktu PAS masih bersama dalam Pakatan Rakyat(PR). Biarlah ianya menjadi kenangan, sebagaimana indahnya kisah-kisah romantis cinta monyet anak-anak muda. Lazimnya cinta monyet anak-anak muda tidak akan berakhir dengan pernikahan. Ianya sekadar luahan perasaan anak-anak muda yang baru memasuki alam remaja.
Dalam PRU ke 12 dan ke 13, ramai daripada pengundi-pengundi Islam Negara ini amat kagum dengan slogan-slogan PAS, “ MEMBANGUN BERSAMA ISLAM dan PAS IS FOR ALL”. Saya adalah salah seorang pengundi yang menyokong PAS kerana slogan-slogan tersebut. Slogan-slogan tersebut cukup subur dan mudah difahami oleh semua pengundi. Apatah lagi waktu itu Almarhum Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat(TGNA) masih menjadi Mursyidul Am PAS. Pengundi-pengundi bukan Islam pun mudah memberikan undi kepada PAS walau pun di kawasan-kawasan parlimen dimana pengundi Islamnya hanya sekitar 45.0 %.
Contohnya di kawasan Parlimen Kota Raja yang telah dimenangi oleh YB Dr Siti Mariah Mahmud selama dua penggal berturut-turut. Pada PRU ke 13, majoriti yang diperolehi oleh YB Dr Siti Mariah Mahmud adalah 20,751 undi, angka yang cukup meyakinkan. Adalah jelas bahawa pengundi-pengundi Cina ,India dan lain-lain kaum turut memberikan undi kepada YB Dr Siti Mariah Mahmud mengalah calon BN daripada MIC. Seandainya PAS turut meletakkan calonnya dalam PRU ke 14 nanti, berapakah undi yang bakal diperolehi oleh calon PAS ? Kalau PAS benar-benar akan meletakkan calonnya untuk Parlimen Kota Raja(P111), ianya adalah sekadar strategi untuk memberikan kemenangan kepada calon BN !Ianya amat mudah difahami, tidak memerlukan analisa dan hujah yang ilmiah. Pelajar sekolah rendah pun mudah memahaminya!
Menjelang PRU Ke 14 itu nanti, mungkin ramai lagi pengundi-pengundi masih mahu menunggu-nunggu akan tawaran-tawaran hebat yang bakal dijajakan oleh PAS. Tawaran-tawaran hebat itu semestinya sesuatu yang luar biasa, belum pernah dijaja sebelum ini dan boleh menarik perhatian ramai pengundi-pengundi. Tidak mungkin PAS akan terus menjajakan slogan “ MEMBANGUN BERSAMA ISLAM dan PAS IS FOR ALL” lagi.
Apabila Almarhum TGNA menerajui Kelantan Darul Naim selama sekitar 23 tahun, slogan “MEMBANGUN BERSAMA ISLAM dan PAS IS FOR ALL’ amat relevan sekali dan telah dibuktikan ianya telah berjaya mencapai matlamat slogan tersebut. Gaya dan cara Almarhum TGNA menerajui Kelantan Darul Naim cukup membanggakan. Rungutan ketidakpuasan hati rakyat tidaklah terlalu membimbangkan. Karenah-karenah daripada pihak Istana juga telah dapat ditangani oleh Almarhum TGNA dengan cukup bijaksana dan penuh hikmah. Gangguan-gangguan daripada BN juga, usahlah dikira, terlalu panjang untuk disenaraikan!
Itulah hebatnya TGNA. Sebutir permata untuk rakyat Kelantan Darul Naim yang sukar dicari ganti.
Kini setelah ketiadaan TGNA, Kerajaan PAS Kelantan dilanda pelbagai masalah dan kemelut. Semua masalah terus berpanjangan dan tidak menemui jalan penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang. Akhir tahun 2014, seluruh Negara dikejutkan oleh Banjir Lumpur yang melanda Hulu Kelantan, terutamanya Parlimen Kuala Krai.
Setiap hujung tahun, adalah lumrah bagi negeri-negeri Pantai Timur, Kelantan , Trengganu dan Pahang menghadapi banjir. Ini adalah fenomena alam semulajadi Malaysia Barat. Bila musim tengkujuh tiba, hujan lebat akan menyebabkan banjir. Sejak sebelum merdeka lagi semua rakyat telah tahu akan fenomena alam semulajadi ini.
Namun demikian, terjadinya Banjir Lumpur berwarna kuning adalah suatu yang luar biasa. Banjir Lumpur yang membawa bersama batang-batang kayu balak telah memusnahkan banyak rumah kediaman dan telah merosakkan jambatan dan jalan raya. Banjir air biasa tidak banyak mendatangkan kerosakan harta benda. Apabila air surut, warga dapat kembali ke rumah masing-masing. Setelah kerja-kerja pembersihan sempurna dijalankan, rumah-rumah yang terendam oleh air banjir boleh didiami semula. Semua warga dapat meneruskan kehidupan seperti biasa.
Lain pula dengan kejadian Banjir Lumpur yang telah memusnahkan rumah-rumah warga dan infrastruktur. Rumah-rumah, jambatan-jambatan dan jalan raya yang rosak dan runtuh perlu dibina semula. Ianya memerlukan dana yang banyak dan waktu yang lebih panjang untuk mengembalikan kepada suasana sebelumnya.
Sebenarnya Kerajaan PAS Kelantan boleh menghindarkan dari berlakunya kejadian Banjir Lumpur. Ianya dengan mudah dapat diatasi sekiranya Kerajaan PAS pimpinan Menteri Besar YAB Datuk Ahmad Yaakob menghentikan operasi pembalakan secara total di seluruh Kelantan Darul Naim. Pokok-pokok dan hutan rimba asli adalah anugerah Allah SWT yang perlu kita jaga dengan baik, bukannya dimusnah demi kepentingan beberapa kerat individu yang mengelilingi kita ! Ternyata YAB Datuk Ahmad Yaakob telah gagal membawa mesej slogan “Membangun Bersama Islam” yang telah dipelopori oleh TGNA. YAB Menteri Besar ,sepertinya tidak mempunyai penasihat-penasihat yang professional, berpengalaman dan tinggi ilmu pengetahuan duniawinya, khususnya dalam sains alam sekitar serta teknologi.
Seterusnya, pengundi-pengundi dan rakyat Malaysia masih menanti-nanti apakah slogan hebat PAS untuk PRU ke 14 nanti ! Adakah cukup sekadar menjajakan bahawa PAS adalah sebuah parti lama yang punya banyak pengalaman kalah dalam setiap pilihan raya umum. PAS mahu berperanan sebagai penasihat sahaja kepada BN. PAS hanya akan bergabung dengan lain-lain parti pembangkang sekiranya PAS yang menjadi teraju kepimpinannya. PAS lebih rela diperalatkan oleh UMNO/BN daripada dikhianati oleh parti-parti Pakatan Harapan. Mungkin itulah beberapa tawaran yang dapat dijajakan oleh PAS.
Episod terbaru kunjungan kontroversi Presiden PAS ke Teheran ,Iran baru-baru ini, cukup memeranjatkan dan mengecewakan banyak pihak. Di saat dunia Sunni Islam meratapi kejatuhan Aleppo ke tangan tentera Syiah, Presiden PAS masih berlapang dada dan berpelukan dengan pimpinan tertinggi Kerajaan Republik Rakyat Iran. Dimanakah hilangnya sensiviti hati nurani seorang ulamak Islam terhadap kezaliman-kezaliman yang telah diperlakukan oleh tentera-tentera Syiah terhadap warga Sunni Islam Aleppo. Sepatutnya undangan tersebut diabaikan sahaja. Sewajarnya undangan tersebut dibalas dengan suatu nota bantahan terhadap kezaliman yang telah dilakukan oleh puak-puak Syiah terhadap warga Sunni Islam.
Lebih mengecewakan lagi, Presiden PAS itu tetap mempertahankan akan kunjungannya menemui pimpinan Kerajaan Republik Islam Iran itu dengan memberikan alas an-alasan yang dangkal dan sukar difahami oleh masyarakat Sunni Islam Dunia. Malahan, pimpinan Kesatuan Ulama Islam Sedunia(KUIS) sendiri mengecam kunjungan Presiden PAS itu. Ianya disifatkan sebagai kunjungan peribadi TGHH sahaja, bukan mewakili KUIS.
Akhirnya kita masih berharap PAS akan mampu mengemukakan manifesto dan slogan-slogan PRU yang mantap dan hebat agar undi kepada PAS tidak akan menurun. Adalah amat malang sekali seandainya prestasi PAS dalam PRU Ke 14 itu nanti kembali ke tahun-tahun 60’an. PAS bersendirian dan terus menyendiri dalam mimpi indah di siang hari.
Sekian, Terima Kasih.
0 ulasan:
Catat Ulasan