Home » , » Mampukah Tabung Haji bayar dividen kepada penabung tahun ini, soal Amanah

Mampukah Tabung Haji bayar dividen kepada penabung tahun ini, soal Amanah

Written By Wadah Baru on Isnin, 25 Januari 2016 | 11:56 PTG

Lembaga Tabung Haji (TH) yang menyimpan wang jemaah perlu memberi penjelasan sama ada
mendapat keuntungan mencukupi pada 2015 untuk membayar dividen kepada kira-kira 9 juta penabung tahun ini, soal Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.

Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) itu berkata, mengikut Klausa 22 (2) (i) Tabung Haji menyatakan penabung tidak layak menerima dividen jika nilai aset lebih rendah daripada liabiliti.

Katanya, kecenderungan TH menggunakan rizabnya untuk membayar dividen sejak 2012 menjejaskan paras simpanannya terkini.

“Dividen TH kepada penyimpan sepatutnya diisytiharkan pada 22 Januari seperti tahun lepas namun TH tidak melakukan demikian.

“Walaupun pihak pengurusan TH ada masa sehingga Mac untuk berbuat demikian, kami amat bimbang tentang kemampuan dan kedudukan kewangan TH untuk memberikan dividen keuntungan mahupun melayani pengeluaran penabung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mujahid berkata berdasarkan laporan kewangan dari 2012-2014, ia membayar bonus dan dividen sekitar 107% melebihi jumlah keuntungan.

Sebagai contoh pada 2014 di mana keuntungan ialah RM2.98 bilion, tapi dividen yang diberikan RM3.3 bilion, katanya.


“Amalan seperti ini pasti akan menjejaskan posisi cadangan/rizab TH dan juga akan membawa penekanan terhadap keperluan untuk TH melakukan likuidasi terhadap aset mereka. Mengapa ahli lembaga pengarah TH boleh membiarkan ini berlaku?,” soalnya. Beliau juga mempersoalkan apa akan jadi jika 5% penabung yang menguasai hampir 75% dana deposit menarik diri dalam keadaan TH berada pada situasi membahayakan kepentingan para penabung.

Katanya, 5% penabung itu mempunyai hampir RM43.4 bilion daripada RM57.9 bilion dana TH dan jika mereka mengeluarkan simpanan, TH akan menguncup kepada RM14.5 bilion saja.

Mujahid memberi amaran kepercayaan masyarakat terhadap institusi dan juga sistem kewangan akan hancur jika kerajaan harus melakukan penjaminan/bailout TH.

Pengerusi TH Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim masih belum dapat dihubungi untuk mendapatkan komen

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger