Home » , » “Kita bercakap soal mengisi perut rakyat,” kata Amanah Sik

“Kita bercakap soal mengisi perut rakyat,” kata Amanah Sik

Written By Wadah Baru on Selasa, 26 Januari 2016 | 12:12 PG

Oleh Arif Atan

Tanpa terus hanyut dalam ‘perang’ politik sempit kepartian yang tidak menguntungkan rakyat, Amanah Parlimen Sik mengambil langkah aktif dengan turun ke ceruk pedalaman memerangi krisis kemiskinan yang majoritinya terdiri daripada golongan penoreh getah.

Ketuanya, Sulaiman Ibrahim atau kini dikenali dengan gelaran 'Leman Raja Lawan' mendedahkan pihaknya sejak lima bulan lalu telah mengenal pasti tidak kurang daripada 197 keluarga miskin tegar di Sik yang hidup dalam keadaan serba daif dan kekurangan makanan.
“Sik ini satu kawasan pedalaman di Kedah yang ramai orang miskin. Di sini rakyat tidak cukup makan. Saya ronda dari Dun Jeniri ke Dun Belantik, ada kedai runcit kalau kita minta buku hutang, penuh buku hutang itu. Rakyat tiada duit, terpaksa berhutang.
“Ada murid sekolah tidak dapat bayar yuran. Ada penoreh getah yang dapat RM1.70 (sekilogram getah sekerap) kena bahagi dua (dengan pemilik kebun getah), seminggu (dapat) RM80, RM36.
“Nak makan apa (dengan nilai itu) sekarang? Susu anak RM28. Beras RM26. Nak buat rumah, beli bata fikir dulu baik beli susu anak daripada beli bata.
"Saya tahu ada kalangan ahli Pas, Umno tapi yang penting (semua) tetap kena menoreh getah. Hang (Kamu) Pas atau Umno kena menoreh. Kita bercakap soal
isi perut, nak bayar yuran sekolah anak,” ujarnya dalam satu ceramah di Kampung Landai, Sabtu lalu.
Leman yang sebelum ini dikenali sebagai ikon Pas berkata, sebahagian besar keluarga miskin ditemui merupakan penoreh getah yang menoreh secara pawah
selain membuat pelbagai kerja kampung bagi menampung kenaikan mendadak kos sara hidup.
Menurutnya, sebahagian besar mereka juga tidak mendapat mana-mana bantuan daripada pihak berwajib dan seolah-olah tidak mendapat perhatian pemimpin
daripada peringkat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sehingga kepada wakil rakyat.
“Masalah kemiskinan penoreh di kawasan ini harus diberi perhatian. JKKK kena lawat orang kampung. Begitu juga siapa yang menjadi wakil rakyat, menteri besar dan pemimpin negara. Ini tugas pemimpin selaku khalifah Allah. Buka al-Quran itulah tugas pemimpin tapi kamu buat apa?
“Islam itu meletakkan syariat bukan sesuatu hukum yang besar tetapi syariat ditinggalkan. Kalau tak keluar surat khabar, orang tidak tahu begitu ramai orang miskin di Parlimen Sik yang perlukan pembelaan,” bidasnya lagi.
Mengulas lanjut langkah bagi menangani kemelut kemiskinan masyarakat penoreh di Sik juga di seluruh negara, beliau berkata kerajaan harus meletakkan harga lantai getah kepada RM3.50 sekilogram pada tahun ini dengan memberi perhatian serius terhadap golongan penoreh secara pawah.
“Bukan jadi penyamun dalam negara tidak fikir untuk menyelesaikan masalah rakyat. Rakyat mahu makan dan inginkan pembangunan. Saya sebelum ini sudah
lawan desak kerajaan Malaysia, buat demonstrasi tuntut letakkan harga lantai getah RM4 sekilogram.
“Tiga kali kita buat demonstrasi depan Lembaga Getah Malaysia tapi LGM kata kerajaan akan rugi kalau letak harga lantai RM4 ketika rakyat terpaksa mencatu ekonomi mereka. Ini yang kita mahu tegaskan.
"Tahun lepas kita buat demonstrasi. Kerajaan telah mengeluarkan wang RM500 kepada penoreh tetapi yang memotong (getah) secara pawah tak dapat, yang dapat (duit itu) pemilik kebun.
“Padahal, yang mesti dibantu penoreh secara pawah yang dibahagi dua. Itu yang perlu diberi perhatian. Di Sik saja, lebih 1,000 menoreh secara pawah,” ujarnya lagi.
Sementara itu, tinjauan Malaysia Dateline 23 dan 24 Januari lalu bersama rombongan Biro Tanah dan Pembangunan Luar Bandar diketuai Pengerusinya, Mazlan Aliman mendapati majoriti keluarga penoreh hidup dalam keadaan daif tanpa memiliki kediaman yang sempurna.
Hampir 20 keluarga penoreh miskin tegar di Dun Jeniri, Sik yang ditemui antaranya di Kampung Pasir Putih, Kampung Padang Pulut, Kampung Sungai Setar dan Kampung Tala mengakui tidak mendapat mana-mana sumbangan berkala daripada pihak berwajib.
Terdapat juga beberapa keluarga terbabit memberitahu bantuan yang mereka perolehi sebelum ini daripada pihak Baitulmal atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah diberhentikan beberapa tahun lalu tanpa diketahui sebabnya.
Salah sebuah rumah yang dihuni warga emas di Sik.Salah sebuah rumah yang dihuni warga emas di Sik.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger