Home » » PAS rakan kongsi politik yang berisiko tinggi

PAS rakan kongsi politik yang berisiko tinggi

Written By Wadah Baru on Isnin, 29 Jun 2015 | 9:54 PTG

Oleh Riesya H



Urusan politik, terutamanya dalam konteks sistem Westminster satu kerusi satu pemenang (single winner single constituent), siapa cepat dia dapat (first past the post), pememang bolot semua (winner takes all), boleh dianalogikan sebagai satu urusan perniagaan, bisnes.

Perlukan perkiraan mantap mengenai congak untung rugi, laba atau bankrap, atau hidup mati.
Jika tidak mampu bersendirian, sesebuah parti perlukan rakan kongsi untuk turut sama melabur dan berkongsi risiko (dan pulangan). Umno yang sangat dominan pun prihatin bab ini.

Umno tahu, walaupun secara bersendirian, 88 kerusi yang dimilikinya pada PRU13, tidak mampu ditandingi sesiapa. Ia memerlukan Gabungan lawan Pakatan Rakyat (PAS,PKR dan DAP) untuk menggugat Umno. Itupun cuma mampu seri 88-88 dengan Umno yang secara bersendirian. (Nota: PR menang 89 kerusi pada PRU13, tetapi kalah 1 kerusi pada Teluk Intan kepada Gerakan, jadi tinggal 88, sama banyak dengan kerusi Umno)

PAS rakan kongsi yang dapat laba

Sejarah bila wujud satu persefahaman mantap gabungan bukan Umno/BN, hasilnya adalah memberangsangkan untuk gabungan pembangkang. Dan perkara sebaliknya berlaku pada PRU2004 dan PRU1995, di mana Umno/BN menang dengan selesa.

Umum makluman, setiap kali PAS bergabung dalam satu pakatan pembangkang, satu-satunya parti yang paling banyak mengutip laba ialah PAS.

Lihat sahaja PRU1990 (PAS dapat rampas Kelantan), PRU1999 (PAS kekalkan Kelantan dan rampas Trengganu, PAS menang 27 kerusi parlimen, terbanyak dalam sejarah), PRU2008 (PAS rampas Kedah, Perak, dan lonjakan Adun di Selangor).

Kini, sudah menjadi rahsia umum yang Pakatan Rakyat mati. Dalam bahasa Inggeris disebut, as good as dead.

Setidak-tidaknya, PKR dan DAP memperakukan realiti ini. Cuma PAS yang masih dalam mentaliti penafian, masih menganggap PR masih wujud, dan mereka masih dalam PR. Walaupun mereka sendiri yang meluluskan usul tanpa bahas.

PAS (kini) sebagai rakan kongsi yang berisiko tinggi. Bayangkan dua senario mudah.

Senario A: Gabungan pembangkang (walaupun bertelagah), berjaya membuat perjanjian ala kahwin mutaah sementara menuju PRU14, iaitu perjanjian gentlemen 1 lawan 1 dengan musuh bersama, Umno.

Jadi, PAS (yang didominasi oleh golongan konservatif) masih dikira ‘bersama’ Pakatan, demi menghadapi Umno.

Ditakdirkan gabungan bukan Umno/BN menang 112 kerusi, cukup untuk membentuk kerajaan.
Termasuk dalam 112 kerusi tersebut ialah sejumlah 12 kerusi milik PAS. Ataupun 12 ahli Parlimen dari PAS. Setelah kerajaan baru terbentuk, maka bermulalah tawar-menawar dan pembahagian ghanimah.

Mengetahui perangai dan peel lebai-lebai PAS ini, mulalah mereka tunjuk taring dan buat perangai. Mulalah membawa isu Melayu dan Islam.

PAS mula menuntut untuk menjadi perdana menteri secara pusingan. Paling tidak, jawatan Timbalan Perdana Menteri 1, atas nama Islam dan Melayu. Dan juga mula menuntut 10 jawatan menteri umpamanya.

Bayangkan bekas ketua pemuda PAS Pahang yang kini AJK PAS pusat dicalonkan sebagai menteri agama, umpamanya.

Ini tentunya sesuatu yang rumit dan sukar diterima. Bukan sahaja oleh gabungan pakatan rakyat (kerajaan baru), tetapi juga dilihat jelek oleh rakyat yang memberi kepercayaan.

Bayangkan, kompromi tidak dapat dicapai. Akhirnya semua pihak berpatah arang. Akhirnya PAS menunjukkan belang sebenar, membawa diri keluar dari Pakatan (kerajaan), maka ranaplah kerajaan yang baru dibentuk. Amat berisiko!

Senario B: Tidak ada persefahaman gabungan pembangkang. Masing-masing membawa hal. Pertandingan bebas untuk semua (free for all), dengan kemungkinan pertandingan 3 penjuru dibeberapa kawasan.

Ditakdirkan keputusan PRU14 adalah seperti berikut:
Umno/BN: 108
Gabungan Baru: 100
PAS: 14

Hasilnya sebuah keadaan parlimen yang tergantung (hung parliament). Umno/BN ataupun Gabungan Baru tidak ada majoriti jelas untuk membentuk kerajaan secara bersendirian, Hasilnya, PAS akan keluar sebagai pemberi kata putus, kingmaker.

Dengan perangai golongan konservatif yang dikenali umum, boleh bayangkan betapa rumitnya untuk melayan karenah PAS dan memenuhi permintaan yang tidak akan masuk akal.

Lebih baik dan mudah bagi Gabugan Baru cuba pancing sahaja 12 orang dari Sabah Sarawak. Mungkin PBB Sarawak (dengan 14 kerusi) pun sudah bijak dan berani untuk membuat keputusan keluar dari bayangan Umno!

Gabungan Baru, usah buang masa dengan PAS.

Pokoknya, tak usah buang masa melayan karenah PAS yang belum tentu boleh dipegang janjinya. Lebih baik sahaja Gabungan Baru mula merisik rakan kongsi yang baru.

Yang boleh dipegang janjinya, dan yang boleh membawa keyakinan rakyat dan memecahkan psyche rakyat kerajaan korup Umno/BN mampu ditumbangkan, dan Gabungan Baru mampu membawa satu model Negara alaf baru.

Gabungan yang harmoni, menghormati perbezaan pendapat dan pendekatan, tanpa ada yang melabel rakan-rakan kongsi sebagai munafik, pengkhianat, tolol atau barua! –

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger