Oleh DR CHANDRA MUZAFFAR
Isu campur tangan asing banyak
diperkatakan dalam media tempatan dan oleh ahli-ahli politik pada masa
ini. Campur tangan asing merupakan unsur yang sering wujud dalam politik
antarabangsa.
Dalam rantau Asean, campur tangan asing pernah
berlaku beberapa kali yang melibatkan Indonesia, Filipina dan Vietnam.
Bukan sekadar di Asia Tenggara, malah seluruh dunia telah menyaksikan
peristiwa campur tangan asing.
Afghanistan menjadi mangsa campur
tangan dua kuasa besar asing: Soviet Union pada 1979 dan Amerika
Syarikat serta NATO pada 2001.
Iraq, Syria, dan Libya juga
menjadi sasaran Amerika Syarikat. Sejarah juga telah mencatatkan bahawa
masalah campur tangan asing berlaku di beberapa negara di Afrika dan
Amerika Latin.
Kesemua contoh-contoh ini adalah bukti bahawa
campur tangan asing berlaku hampir di setiap benua. Persoalannya, adakah
campur tangan asing berlaku di Malaysia?
Menjawab persoalan
ini, peristiwa campur tangan asing yang paling jelas dapat kita kaitkan
di Malaysia ialah tentang krisis ekonomi pada tahun 1998.
Pada
ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang merupakan Perdana Menteri
tidak mahu mengikut telunjuk IMF. Tambahan pula, beliau sering
mengkritik kuasa-kuasa besar berdasarkan prinsip kedaulatan dan
kemerdekaan.
Itulah sebabnya ada usaha oleh beberapa pihak di
luar negara dibantu oleh individu dan kumpulan tertentu dalam negara
untuk menggulingkan Dr Mahathir. Tetapi ia gagal.
Pada hari ini,
isu campur tangan asing sedang diputarkan kembali. Isu 1MDB telah heboh
diperkatakan sebagai isu campur tangan asing. Benarkan pernyataan ini?
Benarkah AS campuri urusan Malaysia?
Pengumuman yang dibuat oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat melalui
peguam negaranya mengenai isu 1MDB dikatakan sebagai campur tangan asing
terhadap Malaysia.
Tuntutan Amerika Syarikat ialah mengenai
pembelian aset di Amerika Syarikat oleh syarikat 1MDB melalui
individu-individu tertentu yang berbelanja di negara mereka.
Tindakan ini telah mendapat perhatian Amerika Syarikat terhadap aset
1MDB di mana seterusnya ia telah dibekukan oleh pihak mereka. Sejak itu,
barulah penyiasatan dimulakan oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat.
Jadi adakah Amerika Syarikat benar-benar mencampuri urusan Malaysia dengan cara ini?
Untuk menjawab persoalan ini kita perlu kembali kepada asas penyiasatan
1MDB secara dasarnya. Dalam mengkaji asal-usul siasatan 1MDB, lima
perkara harus kita ambil perhatian.
Pertama, siasatan mengenai
1MDB telah dimulakan oleh Bank Negara Malaysia iaitu pada 2011 atas
sebab terdapat pengaliran wang keluar negara yang meragukan oleh
syarikat ini.
Perkara ini bukan dimulakan oleh kuasa asing sebaliknya dimulakan oleh Bank Negara Malaysia sendiri.
Perkara kedua yang harus kita ketahui ialah, pada awal 2015, beberapa badan lain turut memulakan penyiasatan terhadap 1MDB.
Antaranya ialah Pejabat Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia dan Polis Diraja Malaysia(PDRM). Ketiga-tiga badan ini bersama
dengan Bank Negara telah menubuhkan satu pasukan petugas( task force)
untuk menyiasat 1MDB atas dasar wujudnya keraguan terhadap pengaliran
wang, pelaburan dan hubungan dengan badan-badan kewangan lain di luar
negara.
Seterusnya, Jawatankuasa Akaun Awam (PAC) Parlimen turut
memulakan siasatan pada Mei 2015. Sebelum itu pada Mac2015, perdana
menteri telah mengarahkan ketua audit negara memulakan proses audit
terhadap 1MDB.
Sekali lagi, ini membuktikan tiada campur tangan asing dalam siasatan ini.
Perkara keempat yang harus kita beri perhatian ialah apabila terdapat
ahli parlimen dan ahli politik yang telah mula menyuarakan kebimbangan
mereka terhadap 1MDB sejak tahun 2014.
Ahli parlimen pembangkang
dan juga pemimpin politik pertengahan Umno iaitu naib ketua bahagian
Batu Kawan telah membangkitkan isu ini.
Kesannya, Datuk
Khairuddin Hasan dipecat daripada Umno. Yang cuba kita perlihatkan
ialah, individu-individu yang mula berkata tentang 1MDB ialah pemimpin
tempatan bukannya komplot daripada luar negara.
Akhir sekali
ialah, skandal ini telah didedahkan secara terbuka oleh media tempatan.
Edge Weekly dan Edge Daily yang mendedahkan butir-butir tentang
pengaliran wang, pihak yang terlibat dan sebagainya telah merancakkan
lagi penyiasatan tentang 1MDB dijalankan.
The Edge, sama sekali bukanlah campur tangan negara asing sebaliknya ia merupakan saluran media tempatan di Malaysia.
1MDB dan kegagalan siasatan
Kelima-lima perkara ini menunjukkan dengan jelas bahawa isu 1MDB diberi
perhatian oleh Malaysia sendiri tanpa campur tangan mana-mana kuasa
asing.
Sebaliknya, 1MDB adalah kegagalan kita menjalankan penyiasatan yang sempurna tanpa tindakan susulan sewajarnya.
Keadaan bertambah buruk kerana pemecatan dan pengguguran mereka yang
lantang bersuara dan ikhlas mencari kebenaran dalam persoalan ini.
Ramai yang telah disingkirkan antaranya termasuklah timbalan perdana
menteri, menteri besar dan beberapa orang penting dalam penyiasatan
1MDB.
PAC tidak dapat berfungsi selama beberapa bulan kerana
pengerusi dan sebahagian dari anggotanya dilantik sebagai anggota
pentadbiran kerajaan.
Kes 1MDB dianggap aneh apabila kes skandal
kewangan yang telah dihebohkan selama dua tahun tetapi tiada sesiapa
pun didakwa dan diambil tindakan undang-undang.
Segala usaha seolah-olah cuba digagalkan. Kenapa ini berlaku?
Tak mahu kebenaran dibongkar
Puncanya tidak lain tidak bukan tetapi ada pihak yang tidak mahu kebenaran dibongkarkan.
Keadilan disembunyikan bagi melindungi individu tertentu dan selagi
mereka ingin memastikan kepentingan politik mereka selamat, selagi
itulah kebenaran tidak akan didedahkan.
Perkara ini berbeza
keadaannya di luar negara. Di Singapura, Switzerland dan Amerika
Syarikat, tindakan telah diambil sebaik sahaja mereka mengesan terdapat
usaha mengubah wang secara haram dalam pengaliran wang mereka.
Selaku pusat kewangan antarabangsa, mereka perlu bertindak untuk menjaga integriti sistem kewangan negara mereka.
Hubungan dengan AS
Secara politiknya, harus kita akui mungkin ada ketidaksefahaman politik
oleh negara luar terhadap pendirian Malaysia terhadap beberapa isu
antaranya pendirian kita terhadap isu Palestin.
Kita sedar
tentang cara kuasa-kuasa Barat tertentu menguasai media antarabangsa.
Kita juga tidak disenangi oleh mereka kerana keakraban kita bersama
China khususnya kerjasama ketenteraan antara Malaysia dan China.
Namun tidak dapat kita nafikan bahawa hubungan Malaysia dengan Amerika Syarikat jauh lebih baik daripada dulu.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak merupakan perdana menteri yang
paling rapat dengan Washington dan Barat sejak Allahyarham Tunku Abdul
Rahman.
Beliau jarang mengkritik dasar luar Amerika Syarikat jika dibandingkan dengan Tun Mahathir.
Ini bermakna bahawa tiada sebab Amerika Syarikat menjadikan Malaysia sebagai sasarannya.
Kita yang membuka jalan kepada mereka untuk bertindak akibat kegagalan
kita sendiri menegakkan kebenaran dan keadilan dalam kes 1MDB.
Apa yang harus kita benar-benar fahamkan ialah bahawasanya, isu 1MDB
bukanlah isu campur tangan asing sebaliknya 1MDB ialah isu tentang
integriti, amanah, prinsip dan tanggungjawab kepimpinan.
DR CHANDRA MUZAFFAR Penganalisis politik dan Pengerusi Movement For A Just World (Just).
Benarkah ada campur tangan asing di Malaysia?
Written By Wadah Baru on Jumaat, 12 Ogos 2016 | 4:23 PTG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan