Kemelut politik Terengganu yang berlanjutan hampir kira-kira dua
tahun - sejak Datuk Seri Ahmad Said meletak jawatannya dan diganti
dengan Ahmad Razif Abdul Rahman - menjadikan rakyat di negeri itu bosan
dan berharap ia dapat diselesaikan segera.
Malah, rata-rata daripada orang ramai yang ditemui Malaysiakini memberitahu bahawa mereka cuma mengharapkan agar segala kemelut dapat diatasi segera.
Bagi Zainal Abidin Abdullah, dia mengharapkan agar menteri besar yang
ada kini mahupun pada masa akan datang mencontohi kepimpinan Tan Sri
Wan Mokhtar Ahmad yang mentadbir Terengganu selama 25 tahun.
Zainal turut menasihatkan semua pemimpin supaya mendahulukan rakyat memandangkan kos hidup yang tinggi pada masa kini.
"Memang menyampah. Tak habis-habis. Dengan kerajaan sekarang ini yang
duit pun jatuh, rakyat susah. Dia tak fikir ke rakyat susah? (Semua
yang berlaku) untuk kesenangan kerajaan je dan biarkan rakyat susah.
"Menteri besar yang ada kini tak boleh banding masa zaman Wan Mokhtar
dulu. Dia dapat bertahan 25 tahun. Saya harap mereka contohi Wan
Mokhtar berbanding sekarang ni yang banyak masalah," katanya.
Nur Along Mohd, 27, pula memberitahu, dia bosan dengan isu yang melanda negeri itu kerana tidak menguntungkan mana-mana pihak.
Justeru, Nur Along berharap agar masalah antara pemimpin negeri diselesaikan secepat mungkin.
"Kadang-kadang bosan juga sebab ada benda yang tak menguntungkan
mana-mana pihak. Sebagai rakyat kita harap pihak pengurusan dapat
selesaikan sebab isu ini mengganggu juga rakyat di bawah ini. Kalau
boleh selesai secepat mungkin sebab ada yang melibatkan rakyat.
"Saya harap dapat selesai secepat mungkin untuk kepentingan rakyat.
Kita hanya mengutarakan pandangan rakyat. Kalau boleh selesai
cepat-cepat lagi bagus," katanya.
Seorang pengayuh beca yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Long, 65,
pula hanya berharap agar tiada sebarang perkara tidak diingini berlaku
di negeri tersebut.
"Kita tak tahu macam mana nak cakap mengenai orang atasan ini. Kita
tak tahu apa masalah mereka. Yang penting kita nak benda yang baik-baik
je. Tak nak kucar-kacir, yang penting molek semua," katanya.
Suhaimi Ismail, 52, pula berkata, masalah antara Ahmad Razif dan Ahmad Said telah lama berlanjutan.
Katanya, apa yang penting ialah dua pemimpin Umno itu menyelesaikan masalah mereka.
"Bosanlah, sebagai rakyat saya bosan. Mat Said dengan Razif ni dah
lama dah masalah mereka. (Benda ini) tak bagus. Buat masa sekarang ini
tak ada apa sangat (berlaku) tapi dua orang itu je lah," katanya.
Bagaimanapun, bagi Zairuzon Daud, 44, dia amat menyenangi kepimpinan
Ahmad Razif dan mengharapkan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN)
Seberang Takir itu akan terus menerajui Terengganu.
"Kita rasa Razif OK mentadbir. Kalau boleh biar Razif jadi menteri
besar, tak payah tukar. (Kalau boleh) menteri besar jalanlah tugas
sebagai menteri besar dengan elok," ujarnya.
Kemelut menteri besar berlaku selepas Ahmad Said diminta melepaskan jawatannya dengan cara yang kontroversi pada 2014.
Ia kemudian diganti Ahmad Razif.
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan