Home » , » Ahli keluar parti proses pemutihan Bersatu

Ahli keluar parti proses pemutihan Bersatu

Written By Wadah Baru on Isnin, 26 Februari 2018 | 1:14 PTG


GUNUNG SEMANGGOL - Senario ahli Bersatu keluar parti merupakan suatu ‘rahmat’ bagi melancarkan proses pemutihan ahli yang tersasar daripada landasan sebenar perjuangan parti sebelum PRU14.

Pengerusi Bersatu Perak, Ahmad Faizal Azumu berkata, di sebalik pelbagai ‘gimik’ ahli Bersatu keluar parti di seluruh negara sebagaimana dilaporkan media arus perdana, pihaknya mendapati terdapat dua kategori ahli parti yang bertindak melakukan perbuatan itu.

Menurutnya, satu kategori ahli parti yang mendakwa keluar parti sebenarnya bukan merupakan ahli yang mendaftarkan diri menyertai Bersatu sebelum ini.

“Satu lagi kelompok adalah mereka yang sebenarnya tidak berpegang kepada perjuangan parti, namun menyertai Bersatu atas tujuan kepentingan diri.

“Bersatu berpegang kepada apa diperjuangkan dan kepada mereka hendak terus dengan kami, (hasrat itu) amat dialu-alukan.

“Tetapi bagi mereka yang terkandas dan tidak menyakini perjuangan parti, Bersatu juga mengizinkan mereka keluar parti dengan sukarela,” katanya pada majlis penutup Kursus Latihan Gerak Kerja Pilihanraya Bersatu Bahagian Bagan Serai, kelmarin.

Turut hadir Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Bagan Serai, Ismail Ali.

Ahmad Faizal berkata, sebelum berlangsung PRU14, Bersatu mengalu-alukan golongan ahli ‘terkandas’ untuk meninggalkan parti.

Menurutnya, senario ini juga boleh juga dianggap sebagai proses pemutihan parti daripada sebarang anasir yang boleh mensabotaj parti di kemudian hari.

“Ini kerana sekiranya mereka bertindak keluar parti sewaktu PRU sedang berlangsung, akan memberi kesukaran kepada Bersatu.

“Jadi, bagi mana-mana ahli bertindak keluar lebih awal sebelum ‘berperang’, kami menganggap senario itu satu rahmat bagi melancarkan perjuangan lebih besar yang perlu didukung ahli sedia ada,” katanya.

Ahmad Faizal turut mengingatkan ahli Bersatu Perak agar segera mengetepikan segala masalah persengketaan antara mereka sebaik sahaja gong perang PRU14 dipalu.

Menyifatkan bibit perpecahan dalam Bersatu Perak bukan masalah besar, beliau mengakui apabila PRU14 semakin hampir, mungkin ada individu dalam parti yang terasa kemungkinan nama mereka tidak dicalonkan dan menyebabkan sedikit pergeseran berlaku.

“Namun isu itu tidak merunsingkan kerana isu perpecahan Umno lebih buruk dan mungkin tidak dapat diselesaikan menjelang pembubaran Parlimen dan DUN kelak,” katanya.

Ahmad Faizal turut menaruh keyakinan Bersatu Perak mampu menyapu bersih lapan kerusi Parlimen ditandingi parti itu di Perak termasuk Parlimen Bagan Serai.

“Keyakinan itu berdasarkan sentimen rakyat yang dilihat telah bersedia melakukan perubahan demi kepentingan negara.

“Selain itu, hubungan antara pemimpin parti-parti dalam Harapan cukup baik dan perlu diperkuatkan lagi memandangkan jentera memenangi PRU tidak tertakluk jentera Bersatu sahaja, namun perlu libat semua parti dalam Harapan,” katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger