Home » , » Bekas eksekutif BNM gesa kerajaan buang tongkat DEB

Bekas eksekutif BNM gesa kerajaan buang tongkat DEB

Written By Wadah Baru on Isnin, 26 Februari 2018 | 1:13 PTG

KUALA LUMPUR: Bekas penolong pengurus Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakop, hari ini berkata sudah sampai masanya kerajaan menghentikan Dasar Ekonomi Baharu (DEB) secara perlahan dan menggantikannya dengan sistem berasaskan merit.

Beliau berkata, dalam jangka panjang, orang Melayu hanya mendapat manfaat dengan menjadi sebahagian daripada sistem berasaskan merit.

“Jika kita terus menggunakan tongkat, kaki kita akan menjadi tidak berguna.

“Tambahan, DEB sudah memanfaatkan golongan elit Melayu lebih daripada penduduk di kawasan pedalaman,” katanya pada forum “Quo Vadis: Pembangunan Ekonomi di Malaysia?”.

Rosli yang pernah berkhidmat di Jabatan Ekonomi BNM, berkata negara tidak boleh meneruskan dasar sama yang dilaksanakan pada 1970-an.

Katanya, DEB dilaksanakan untuk meningkatkan taraf ekonomi orang Melayu, tetapi ia tidak membantu orang Melayu untuk maju pada kadar sepatutnya.

Beliau berkata, ini kerana majoriti orang Melayu masih bekerja untuk kerajaan, manakala orang bukan Melayu terus menguasai sektor perniagaan.

Katanya, tinjauan Merdeka Centre ke atas DEB menunjukkan 71% orang Melayu bersetuju untuk memansuhkan DEB.

Rosli berkata, ini menunjukkan masyarakat mahu DEB dihentikan.
 
“Mereka mahu ia ditamatkan kerana ia memanfaatkan golongan elit Melayu.”
Rosli turut bertanya hadirin jika negara sudah bersedia untuk Wawasan 2020 – wawasan untuk menjadi sebuah negara perindustrian maju menjelang 2020 dalam semua aspek kehidupan, kemakmuran ekonomi, kesejahteraan sosial, pendidikan, kestabilan politik dan juga keseimbangan psikologi.

Kebanyakan mereka berkata, negara gagal membentuk Bangsa Malaysia yang bersatu atau masyarakat demokratik dan beretika.

Beliau turut menegaskan orang Melayu, Cina dan India dalam sebuah kawasan perumahan tidak melawat satu sama lain seperti sepatutnya.

“Kecuali mereka ialah kawan baik, maka mereka mungkin melawat satu sama lain apabila seseorang dimasukkan ke hospital.”











0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger