Home » » Tiada pemimpin politik lain mampu kecuali Tun M, kata Lim Kit Siang

Tiada pemimpin politik lain mampu kecuali Tun M, kata Lim Kit Siang

Written By Wadah Baru on Rabu, 31 Januari 2018 | 11:00 PG

Tokoh veteran DAP, Lim Kit Siang berkata, jika bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad gagal membantu mencipta gelombang perubahan dalam kalangan pengundi Melayu luar bandar, tidak ada pemimpin politik lain boleh melakukannya.

“Ia adalah “misi mustahil,” memetik ucapan Lim dalam majlis Ceramah Luaskan Harapan, Menuju Harapan di Batu Pahat, Ahad lalu yang siarkan dalam blognya.

Menurut Ahli Parlimen Gelang Patah itu, Umno-Barisan Nasional (BN) kini jelas panik dan ketakutan setelah Pakatan Harapan (PH) mengisytiharkan Tun Dr Mahathir sebagai calon PM, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai PM ke-8 pada 7 Januari lalu.

“Pelajaran paling penting daripada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) pada 5 Mei, 2013 lalu ialah, adalah mustahil untuk membuat perubahan politik di Malaysia menerusi proses demokratik kecuali berlakunya tsunami di kedua-dua kawasan iaitu bandar dan luar bandar,” kata beliau.

Justeru katanya, semua rakyat Malaysia, sama ada Melayu, Cina, India, Iban atau Orang Asli, sama ada Muslim, Buddha, Hindu, Kristian atau Sikh, sama ada di Semananjung Malaysia, Sabah atau Sarawak, sama ada di bandar atau kampung mesti bersatu.

“Pada PRU14 yang akan diadakan dalam masa 100 hari lagi, undilah untuk menukar kerajaan Persekutuan setelah 60 tahun menerusi peti undi.

“Kita mempunyai dua cabaran besar: pertama, untuk mengekalkan atau malah, meningkatkan jumlah pengundi yang keluar mengundi dan sokongan politik untuk perubahan pada PRU14 berbanding PRU13.

“Kedua, cabaran yang lebih sukar adalah untuk memastikan berlakunya tsunami politik di kawasan luar bandar agar sepadan dengan tsunami politik di kawasan bandar.

“Jika Mahathir tidak dapat membantu mencipta gelombang perubahan dalam kalangan pengundi Melayu luar bandar dalam baki 100 hari menjelang PRU14 ini, maka tidak ada pemimpin politik lain berupaya menyelesaikan “misi mustahil” ini,” kata beliau.

Jelas beliau, tsunami politik kawasan bandar tanpa tsunami politik kawasan luar bandar akan berakhir seperti PRU13, dengan Datuk Seri Najib Razak terus menjadi PM minoriti kerana amalan demokrasi yang tidak adil.

“Kita perlukan kedua-dua tsunami, bandar dan luar bandar pada PRU14 ini – dan ia bergantung bukan sahaja pada Mahathir, Azizah, Anwar, Muhyiddin dan Mat Sabu tetapi juga usaha kesemua empat parti dalam PH iaitu DAP, PKR, AMANAH dan PPBM dan juga usaha “mobilisasi sosial” semua rakyat Malaysia, baik di bandar mahupun di luar bandar.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger