Home » , » Amanah Kelantan kini jadi model

Amanah Kelantan kini jadi model

Written By Wadah Baru on Sabtu, 1 April 2017 | 4:36 PTG

Oleh ZIKRI ABDULLAH 

Gerak kerja Parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan yang kini begitu menyerlah dan disambut meriah oleh rakyat kini menjadi model kepada negeri-negeri lain.

Timbalan ketua pemuda Amanah Nasional, Faiz Fadzil berkata pemimpin dan ahli Amanah Kelantan begitu kreatif mempromosikan parti Amanah yang kini tidak lagi boleh diperlekehkan.

"Saya cukup kagum dengan aktiviti parti Amanah di Kelantan ini dengan pelbagai kreativiti yang amat menyegarkan.

"Program-program seperti sembang kedai kopi, majlis dialog kelompok dan acara menaikkan bendera di sana sini jelas menunjukkan Amanah Kelantan kini diterima rakyat dan mampu menggalas tugas penting pada masa depan," katanya ketika berucap di upacara menaikkan bendera Amanah di pondok Tok Kenali Kubang Kerian petang semalam.

Rakyat Kelantan kata Faiz perlu bersyukur kerana dikurniakan Tuhan seorang pemimpin hebat seperti Datuk Husam Musa.

"Saya mengenali Datuk Husam ketika kami sama-sama bekerja menggerakkan parti lama di peringkat nasional.

"Sejak awal Husam adalah idola saya yang sentiasa saya perhati gerak gerinya untuk dicontohi dalam berpolitik," katanya.

Husam kata Faiz begitu sentimental dengan Kelantan walaupun beliau sebenarnya seorang tokoh nasional.

"Bila berlaku krisis sehingga muncul parti Amanah, saya pernah bertemu beliau supaya beliau menumpukan kerja di peringkat nasional kerana saya anggap kapasiti besar beliau tidak harus ditumpu kepada peringkat negeri sahaja.

"Dia senyum menjawab, 'I love Kelantan'.

"Kini baru saya sedar pilihannya memang tepat dan hasil gerak kerjanya di akar umbi menjadikan Kelantan sebagai model dan seluruh negara boleh jadikan pedoman untuk menjadikan Amanah parti dominan pada masa depan," katanya.

Menyentuh isu pindaan akta 355 (RUU 355), Faiz berkata keputusan BN menolak untuk membawa akta ini ke parlimen memang sudah dijangka sejak awal lagi.

"Ketika cadangan pindaan ini dibuat saya sebagai peguam parti lama terlibat sepenuhnya bersama-sama dengan rakan-rakan dalam lujnah hal ehwal guaman Pas (Luham).

"Memang telah kita putuskan dari awal pindaan ini mesti dibawa oleh pihak kerajaan dan bukannya dalam bentuk usul persendirian," katanya.

Majlis menaikkan bendera itu turut disertai naib pengerusi Amanah Kelantan Datuk Prof Dr Abdul Halim Yusuf, ketua Amanah kawasan Kubang Kerian Haji Fauzi Mohamad dan pimpinan parti peringkat kawasan dan cawangan.

Datuk Dr Halim yang berucap sebelum itu meminta ahli-ahli Amanah bekerja kuat dan bersabar menghadapi pelbagai karenah dalam usaha mengembangkan parti.

"Parti kita baru, orang belum kenal jadi jangan pelik bila pelbagai fitnah, tohmahan dan kata-kata kesat dihadapkan kepada kita.

"Balaslah tindakan buruk mereka dengan senyum manis dan kata-kata yang baik seperti yang dikehendaki Rasulullah SAW bagi umatnya yang menyampaikan dakwah Islam," katanya.
















0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger