Oleh Ahmad Lutfi Othman
Selama lebih dua tahun uzur teruk, bermula hujung 2014 hingga awal
tahun ini. saya seperti terlepas keretapi, khususnya apabila gagal
mengikuti perkembangan politik yang menarik dan mendebarkan ketika itu.
Sebahagiannya telah membentuk sejaran baru siasah negara.
Mata
yang kabur dan penglihatan yang kelam cukup menganggu konsentrasi
pembacaan. Meninggalkan tabiat menatap lembaran akhbar dan helaian buku
tentulah menyeksakan. Namun, kepala yang selalu pening, tubuh lesu dan
rasa mual ekoran proses hemodialisis tiga kali seminggu mendorong rasa
malas untuk memikirkan perkara-perkara selain kesihatan dan keluarga.
Ya, isu bakal datang, berlalu pergi dan mungkin dilupakan. Bumi tidak
terbelah dan langit tidak runtuh walaupun kita hanya tersandar
sendirian. Dunia tetap berputar seperti biasa. Justeru, mengapa harus
risau atau bimbang. Mula-mula memang rasa kekok dan kekurangan sesuatu
apabila tidak membaca akhbar, melayari internet ataupun menonton berita
televisyen. Kian lama, sudah terbiasa, tiada yang janggalnya.
Garis takdir
Cuma, sesekali tersentuh di kotak fikir, apakah selamanya aku harus
begini? Tinggal membeku dan sekadar memerhatikan? Menunggu hari mati.
Titik. Tabahkan hati jalani rutin rawatan dan berehat panjang sebagai
pesara awal. Belajar untuk ikhlas, sabar dan reda. Ini garis takdir yang
harus diikuti. Saya berperang dengan diri sendiri.
Bukannya
bertapa dalam gua atau beruzlah di pergunungan. Sesekali kemaskini juga
akaun Facebook yang mengumpan pelbagai reaksi. Sukar mengasingkan diri
daripada rentak dan debar kehidupan. Sementara situasi politik terus
bergolak dan berkrisis. Iklim dan hawanya berubah. Panas membahang,
rimas menyerkup. Saya mesti segera keluar dari persembunyian.
Secara khusus, tragedi terbesar apabila ramai rakan dan kenalan
terkeluar daripada Pas. Saya tidak dapat bertemu mereka untuk bercerita
lanjut. Pastinya, itu adalah keputusan paling sulit terpaksa dijalani
dalam takah-takah kehidupan.
Tidak perlu dirakamkan lagi
perasaan dan emosi ketika itu. Sejarah sudah terukir. Yang tinggal
hanya kenangan dan iktibar. Tiada kepahitan. Perjuangan adalah
kemanisan. Segalanya memori indah penuh bermakna. Satu lagi parti Islam
terpaksa ditubuhkan.
Parti Islam ditolak
Mulanya mereka -- atas nama Gabungan Harapan Baru (GHB) -- membuat
permohonan parti baru kepada Pendaftar Pertubuhan, atas nama Parti
Progresif Islam. Tetapi, secepat kilat Timbalan Perdana Menteri yang
juga Menteri Dalam Negeri, Zahid Hamidi isytihar di Marang, Terengganu,
permohonan itu ditolak. Alasan lusuh, Islam bukan milik mana-mana
pertubuhan apatah lagi parti.
Alternatif terpaksa dicari,
dengan mengambil alih parti yang sudah tidak aktif, Parti
Pekerja-Pekerja Malaysia, seterusnya dilancarkan pada 16 September
2015, atas nama Parti Amanah Negara. Walaupun dihalang memakai jenama
agama, Amanah tetap memilih Islam sebagai dasar dan teras perjuangan.
Saya pun hanya tertarik dengan Amanah jika ia mempunyai jati diri
sebagai parti Islam, bukan semata-mata sebuah parti pembangkang. Agak
sukar mendapatkan teks perlembagaan Amanah, sehinggalah beberapa teman
rapat menunjukkannya. Tentulah memakan sedikit masa kerana perlembagaan
lama Parti Pekerja perlu dipinda dan diluluskan ROS.
Selain
memartabatkan dan menegakkan Islam sebagai dasar perjuangan, fasal 3
perlembagaan memaktubkan, tujuan parti Amanah adalah mendirikan sebuah
negara dan masyarakat madani dengan Islam sebagai rahmat untuk semua
(Rahmatan Lil 'Aalameen). Di samping melaksanakan pemerintahan yang
berteraskan tadbir urus yang baik selari dengan tuntutan prinsip
amanah, keadilan, kesaksamaan, kecekapan dan ketelusan.
Terubat kedukaan
Bendera
Amanah kini dikibarkan di mana-mana.Saya bersyukur dan rasa lega
membacanya. Terubat sedikt kedukaan kerana terpaksa meninggalkan Pas,
parti Islam yang sudah sebati dengan jiwaraga. Dalam masa sama,
walaupun agak terbatas pergerakan dan tidak berupaya untuk menghadiri
program parti baru ini, saya berusaha mendapatkan pandangan teman-teman
yang lebih arif.
Penganalisis politik, Dr Mazlan Ali berkata.
Amanah berpegang kepada fiqh politik yang menekankan aulawiyat,
muazanat dan at-ta'ayush dan bukannya fiqh permusuhan seperti amalan
kepimpinan Pas masa kini. "Tujuannya menegakkan sebuah negara yang
menjadi rahmat berdasarkan maqasid syariah dan dengan pendekatan
politik Islam yang progresif, inklusif, sederhana, dan demokratik,"
tambahnya, menjawab mesej persoalan saya.
Pensyarah kanan UTM
yang mengikuti dari dekat perkembangan Pas dan penubuhan Amanah itu
merumuskan: "Kepimpinan Pas terdahulu (Ustaz Fadzil Noor dan Tuan Guru
Nik Aziz Nik Mat) lebih menonjolkan kefaqihan dan kebijaksanaan fiqh
politik. Kedua-duanya lebih memahami bahawa fiqh Islam adalah bersifat
fleksibel serta mampu berkembang pada perkara furu' dan hukum juz'i."
Dalam kunjungan ke rumah saya, mengulas pandangan yang menyarankan
seeloknya Amanah tidak ditubuhkan, cukup dengan sertai parti sedia ada,
seperti KeADILan, seorang pemimpin kanan Amanah. yang juga ahli
Parlimen berkata: "Mereka ini, termasuk kawan-kawan kita sendiri dalam
Pakatan Harapan, tidak faham mengapa Amanah perlu wujud. Kita berjuang
atas idealisme dan prinsip yang sama, ditautkan oleh persaudaraan
Islam, barulah ada keserasian dan keselesaan."
Mengapa sertai Amanah
Saya bertanyakan juga pendapat sahabat baik, Zin Mahmud, bekas
pengarang kanan Utusan, teman berkongsi idea. Biarpun lama bertugas di
Utusan Melayu, Zin adalah ahli Pas sejak muda (malah berpengalaman
mengasaskan penubuhan Pas cawangan di Keramat dalam kawasan Parlimen
Titiwangsa) dan pernah mengetuai Harakah pada awal 1990-an. Soalan saya
mudah, kenapa anda sertai Amanah dan keluar Pas?
"Pengasas
Amanah adalah penggerak penting Pas sejak 1982 hingga Pas capai
kejayaan dan diterima banyak rakyat Malaysia termasuk bukan Islam.
Apabila mereka dipinggirkan dan tubuh Amanah, maka saya bersama mereka.
Mereka berjuang untuk Islam, sebab itu mereka sebelum ini menyertai
Pas. Tetapi majoriti perwakilan menolak mereka, maka mereka terpaksa
meneruskan perjuangan Islam melalui Amanah.
"Amanah seperti Pas
sebelum 2015 memperjuangkan Islam yang luas, untuk semua. Pas kini
berubah jadi seperti Umno, berjuang untuk orang Melayu-Islam.
Keistimewaan Amanah, programnya lebih menepati keadaan negara dan dunia
hari ini, progresif dan inklusif.
"Masa depan Amanah cerah dan
mampu menjadi parti utama negara. Kalaupun buat masa ini, ia belum
berjaya, tetapi saya tetap bersamanya kerana fahaman politiknya adalah
benar. Kita menyokong sesebuah parti itu adalah kerana fahaman
politiknya, programnya dan pemimpinnya," jawab Zin panjang lebar,
semasa menziarahi saya di rumah. Walaupun kami sama-sama uzur, dan
bertaraf pesara awal, Zin agak kerap bertandang ke kediaman saya.
Beliau juga nampak ghairah untuk mengetahui situasi terkini Amanah.
Prinsip dan pemikiran terbuka
Saya juga meneliti siri wawancara dengan pimpinan Amanah, antaranya
Penasihat Umum, Ustaz Ahmad Awang. Dalam akhbar mingguan Amanah, beliau
berkata, "Kebanyakan parti Islam ditubuhkan kerana masalah politik.
Tapi Amanah lahir oleh bekas pemimpin Pas yang membawa prinsip dan
pemikiran keterbukaan dari sudut perspektif Islam, menjadikan Islam ini
diterima. Islam bukan diturunkan untuk individu dan kaum tertentu tapi
untuk seluruh manusia."
Ditanya keistimewaan Amanah
berbanding parti Islam yang lain, Ustaz Ahmad menjelaskan: "Perbedaan
pokoknya adalah kita melihat lebih kepada pelaksanaan maqasid syariah
(tujuan syariat diturunkan). Dalam konteks untuk memperlihat keadilan
Islam dalam urus tadbir pemerintahan hari ini yang penuh dengan segala
macam kerosakan."
Diasuh tradisi kewartawanan selama hampir 30
tahun, saya tidak puas dengan hanya bersumberkan bahan bacaan dan
rakaman dalam Youtube. Menjelang Konvensyen Nasional Amanah di shah
Alam pada 10 Diseber 2016, saya berazam untuk menghadirinya bagi
melihat sendiri perjalanan perhimpunan agung tahunan itu. Mungkin juga
dapat bertemu kenalan-kenalan lama, yang pernah bersama-sama Pas, dan
mengikuti perbahasan para perwakilan.
Malangnya, pada pagi
Sabtu itu, walaupun telah menjadualkan semula rutin hemodialisis, dan
seorang sahabat karib sudahpun sampai depan pintu rumah untuk membawa
saya ke Shah Alam Convention Centre, tahap kesihatan tiba-tiba merosot.
Saya sekadar dapat menghadam dokumen bertulis Pidato Presiden, Mohamad
Sabu yang dihadiahkan oleh seorang wartawan yang mengikuti kongres
bersejarah itu.
Bukan liberal
Dalam
ucapannya itu, beliau menegaskan: "Membawa mesej islam sebagai Rahmat
Untuk Semua bukan bermakna kita dikatakan terlalu bertoleransi
(liberal) serbaliknya kebersamaan itu adalah kekuatan manakala
keseorangan itu adalah kelemahan. Tujuan politik kita (fiqh siyasi)
adalah meraikan kebersamaan namun menghormati perbedaan dan
kepelbagaian. Perjuangan politik adalah urusan muamalat sesama manusia.
Bersama dalam perkara muamalat bukan bermakna mesti bersama dalam
perkara aqidah. Berbeza dalam perkara mualamat, bukan juga bermakna
berbeza dalam perkara aqidah."
Mohamad juga merumuskan bentuk
negara yang diimpikan Amanah: "Seluruh segmen warganegara dapat
digembleng potensi keupayaan dan kepakaran mereka bagi membina sebuah
masyarakat yang menyantuni nilai-nilai kesederhanaan. keterbukaan,
demokratik, hormat menghormati, bersatu padu dan berdaya maju sesuai
dengan Perlembagaan Persekutuan."
Tentu sahaja segalanya itu
tidak mencukupi untuk saya lebih mengenali, memahami dan menghayati
perjuangan Parti Amanah Negara. Kolum Tanweer Usbu'ii atau Pencerahan
Mingguan, yang disiarkan saban minggu oleh akhbar Amanah juga banyak
membantu. Ruangan tetap pada halaman empat ini diisi oleh para asatizah
dlam Amanah, yang menjelaskan asas, dasar dan pendekatan parti Islam
ini.
Parti Islam Amanah
Husam
berucap di Pasir Puteh dan merasmikan 17 cawangan Amanah di situ.Saya
turut tertarik dengan ucapan Husam Musa, bekas Exco Kanan Kerajaan
Kelantan, ketika awal menyertai Amanah apabila beliau sering menyebut
Amanah sebagai "Parti Islam Amanah". Mungkin serasi dengan keadaan
masyarakat di negeri Serambi Makkah dan hasil tarbiyah langsung Tok Guru
Nik Aziz, Amanah dipopularkan sebagai sebuah parti Islam dan perlu
memperkukuhkan jati dirinya dengan jenama tersebut.
Dalam pada
itu, saya terjumpa tulisan yang agak baik, dinukilkan kembali oleh
Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan dalam akaun Facebook beliau,
berdasarkan luahan hati sahabat baiknya:
"Majoriti mereka ini
(pimpinan Amanah) aktivis politik yang cukup istiqamah, aktif dan
progresif semasa dalam Pas. Majoriti mereka ini orang lama, bukan orang
baru 2-3 tahun sertai Pas, tapi 20-30 tahun.
"Disebabkan
mereka faham dan masak apa itu politik Islam, maka mereka menubuhkan
dan sertai Amanah. Parti yang 'sama' dengan Pas, iaitu mengambil Islam
sebagai dasar perjuangan.
Kumpulan cekal, progresif
"Mereka ini kumpulan yang benar-benar berani mengambil risiko,
kumpulan yang independen tanpa kebergantungan kepada mana-mana pemimpin.
Kumpulan yang cekal dan progresif. Kumpulan ini mahu membawa dimensi
politik Islam yang sederhana, relevan kepada keperluan politik semasa.
"Sebenarnya, mereka tiada masalah dengan Pas. Tapi mereka 'bermasalah'
dengan kepimpinan baru Pas, yang mengambil pendekatan politik yg cukup
keras, tiada diskusi, diplomasi dan kompromi. Kepimpinan 'diktator'
atas alasan agama, tetapi menolak pandangan-hujah agama yang tidak
selari dengan mereka, 'Hollier than thou'.
"Mereka bukan
pengkhianat Pas. Sepanjang belasan dan puluhan tahun bersama Pas,
mereka tidak pernah mengkhianati Perjuangan Pas. Mereka melihat politik
itu sebahagian dari Syariat. Perkara yang boleh memberatkan amalan
kebaikan di akhirat kelak."
Semua pandangan itu, menyuntik
kembali semangat untuk saya bersama-sama membantu parti baru ini,
walaupun dari atas perbaringan! Harapnya, ia diterima sebagai amalan
baik jihad pena. Sekurang-kurangnya di waktu sakit, lagu rasmi Parti
Amanah Negara, dengan irama dan liriknya cukup menawan dan
menghiburkan!
Menyanggah tohmahan Amanah bukan parti Islam
Written By Wadah Baru on Sabtu, 1 April 2017 | 4:41 PTG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan