Home » , » Amanah mungkin dapat lebih kerusi di Dun Kedah

Amanah mungkin dapat lebih kerusi di Dun Kedah

Written By Wadah Baru on Sabtu, 1 April 2017 | 4:49 PTG

Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Kedah membayangkan akan mendapat lebih kerusi di peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun) negeri itu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 kelak.
Bagaimanapun Pengerusi Amanah Kedah Datuk Dr Ismail Salleh berkata, perkara ini belum dimuktamadkan dan perbincangan dalam Pakatan Harapan (PH) negeri mengenai pengagihan kerusi sedang berjalan.

Menurut beliau, Amanah berpegang kepada polisi awal iaitu kerusi parlimen atau Dun yang dimenangi oleh mana-mana parti dalam PH tidak akan diganggu.

"Kita ada empat parti (Amanah, PKR, DAP dan Bersatu). Dulu dua-dua kerusi Dun (Derga dan Kota Darul Aman) DAP menang. Mungkin PRU14 tambah satu lagi kerusi. Mungkin memberi sedikit kelebihan kerusi kepada Amanah di Dun.

"Kita ada 36 kerusi. Tolak dua untuk DAP tinggal lagi 34. Mungkin Amanah ambil 14, PKR 12, Bersatu 8. Lebih kurang macam itulah tapi belum muktamad lagi.

"Bagi 15 parlimen pula, sekarang PKR menang empat kerusi. Pas satu kerusi, tinggal lagi 10 kerusi yang mungkin akan ditambah oleh PKR dan perlu dibahagikan antara Amanah dan Bersatu kerana DAP memang tak bertanding parlimen," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Guar Chempedak kelmarin.

Amanah kini mempunyai satu kerusi Dun iaitu Pengkalan Kundur apabila Adunnya Datuk Phahrolrazi Zawawi berhijrah daripada Pas kepada parti itu manakala Pas (8), Umno (18), MCA (2), PKR (4), DAP (2) Bersatu (1).

Ismail yang juga bekas Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kedah itu juga berkata, fokus PH Kedah adalah mengubah orang Melayu kerana majoriti pengundi di negeri itu ialah Melayu.

"Fokus PH Kedah ialah Melayu kerana 80 peratus pengundi ialah Melayu. Untuk ambil semula Kedah kena ubah pengundi Melayu sama ada dari Umno kepada PH atau dari Pas kepada PH. Kawasan Melayu ini seperti di Kuala Kedah, Baling, Padang Terap, Sik, Jerai.

"Nilai tambah PH pula apabila berjaya buktikan kepada pengundi Melayu kesatuan PH di negeri ini, bahawa keempat-empat parti ini sepakat untuk lakukan perubahan di Kedah," tegas bekas Adun Alor Mengkudu pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12).

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger