Oleh Mohd Sayuti Omar
Tanggal 16 November, lusa adalah tarikh akhir yang ditetapkan 
oleh Pas Kelantan untuk memasuki Wisma Tokguru di Salor itu sebagai 
menandakan parti itu memiliki premis itu secara rasmi. Pada hari itu 
juga Pas akan mengadakan solat hajat dan syukur; dikerahkan para 
penyokongnya beramai-ramai. Khabarnya untuk menjayakan majlis itu dan 
bagi menarikan kehadiran disediakan makanan (upah) untuk 5,000 orang.
Ertinya Pas mensasarkan majlis itu nanti dihadiri 5,000 orang. 5,000 
orang kalau mengikut kapasiti batalion dalam askar sebanyak lima 
batalion.
Dan malam tadi pihak Amanah telah berhimpun di premis
 itu untuk mengadakan majlis munajak dan memohon kepada Allah agar 
premis itu selamat terus menjadi hak mereka. Majlis malam tadi diketuai 
sendiri oleh "pemilik" premis itu Husam Musa yang juga merupakan 
penasihat Amanah Kelantan merangkap Pengerusi Pakatan Harapan.
Yang hadir malam tadi bukan sahaja di kalangan orang Amanah tetapi turut
 sama dihadiri oleh anggota komponen Pakatan Harapan (PH) daripada PPBM 
dan juga PKR serta mereka tidak berparti yang bersimpati dengan nasib 
diterima Amanah dan dialami Husam. Majlis munajak malam tadi menampakan 
wujud solidariti di kalangan komponen PH menyerlahkan semangat juang 
yang gigih dan tidak mudah mengaku kalah.
Itulah mungkin rahmat di sebalik onar brutal yang dibuat oleh Pas, 
membeli tanah bangunan Wisma Tokguru itu secara senyap, akhirnya 
perbuatan itu menyuntik semangat juang dan mendapat simpati di kalangan 
penyokong dan ahli Amanah dan komponen PH di Kelantan.
Selepas bermunajak semalam, Husam membuat sedikit penjelasan berkaitan 
dengan status Wisma Tokguru berkenaan. Ramai orang tidak menyedari 
bahawa Wisma itu adalah pusat khidmat Adun Salor yang mana beliau adalah
 Adunya. Dari penjelasan itu menunjukkan Wisma itu adalah menjadi haknya
 dan ini dikukuhkan dengan pengakuan oleh pihak Majlis Daerah Kota Bharu
 (MDKB) yang menamakan bagunan itu sebagai Pusat Khidmat Adun Salor, di 
mana dalam penamaannya tidak ada pun perkataan PAS.
Menyentuh mengenai bangunan itu, Husam memperakui tanah tempat 
berdirinya bangunan itu adalah milik isteri Allahyarham Rusli Ibrahim 
yang mana telah diberikan kebenaran kepadanya mengguna bangunan itu dan 
membina bangunan tambahan. Surat keizinan itu ada kepadanya. Yang 
menghairankan dan timbul persoalan kenapa penjualan tanah itu oleh 
isteri Rusli tidak diberitakan kepada Husam dan dilakukan secara senyap.
Apakah isteri Rusli ada masalah dengan Husam atau beliau dihasut? Kerana
 kalau beliau tidak ada masalah sepatutnya sebelum menjualkan tanah itu 
beliau seharusnya bertanyakan Husam terlebih dahulu yang sedang 
menduduki tanah berkenaan yang mana sepatutnya Husam dahulu yang 
ditawarkan.
Di sinilah timbul anggapan penjualan dan pembelian tanah itu ada 
konspirasi. Ia sengaja diaturkan demikian rupa dengan motif tertentu. 
Apa lagi proses pembelian itu, menanda tangani borang 14A (penjualan) 
dilakukan di rumah bukan di pejabat seperti lazimnya.
Memahami apa dijelaskan Husam semalam bahawa kerja-kerja membina dan 
membesarkan bangunan yang dinamakan Wisma Tokguru itu dibuat dengan 
kebenaran dan menggunakan wang beliau bukannya ia diambil dari wang 
derma orang ramai khasnya PAS. Tidak ada mana-mana institusi atau pun 
taukeh pasir dan balak membantunya.
Semalam Husam sekali lagi mencabar mana-mana orang Pas dikatakan 
menghulurkan derma untuk pembinaan itu memberi tahunya agar pembayaran 
balik boleh dibuat. Beliau juga bertanya sebanyak manakah Ahmad Yakob 
selaku Pesuruhjaya Pas dan MB menderma untuk membina Wisma berkenaan.
"Berapa banyak Ustaz Mat derma tolong bagi tahu?" tanyanya.  Menurutnya 
tidak ada satu sen pun begitu juga dengan Nik Amar, katanya Nik Amar 
usahkan satu sen, setengah sen pun tidak ada.
"Apa yang Nik Amar buat ialah dengan membeli 10 buah kereta, itu saja," tengkis dan sindir Husam.
Mengenai notis yang dihantarkan kepadanya agar keluar dari bangunan itu 
Husam menegaskan ia sesekali tidak akan berbuat demikian kerana bangunan
 itu adalah haknya. "Notis bukan perintah mahkamah," katanya 
membayangkan beliau tidak akan berganjak dari bangunan itu sehingga ada 
perintah mahkamah.
Dia yakin berhak ke atas bangunan itu. Sambil mengakui tanah itu hak 
orang lain, tetapi sebahagian daripada bangunan itu dibina hasil titik 
peluh dan wang ringgitnya, derma Allahyarham Rusli serta bersama sebuah 
jawatankuasa khas yang dibentuk. Apa yang berlaku terhadap Wisma Tokguru
 itu ialah tuntutan bertindih di antara tuan tanah (Yassin) dengannya 
yang memilik bangunan itu. Jelas dari segi keadilan ia perlu 
diselesaikan menurut lunas undang-undang agar tidak ada yang teraniaya 
dan dianiaya.
Atas hujah itu Adun Salor itu mempertahankan bangunan itu dan beliau 
tidak akan keluar hanya sekadar dengan menerima notis daripada orang 
bernama Yassin yang bertindak bagi pihak Pas. "Notis bukan perintah 
mahkamah, notis hanya pemberitahuan," tegasnya sekali lagi. Justeru 
katanya dia meminta anak-anak muda Amanah terus menjaga dan 
mempertahankan bangunan itu sehingga ada perintah mahkamah.
Dalam pada itu juga berhadapan dengan isu itu Husam menasihati 
orang-orang Amanah bertindak secara waras, patuh kepada undang-undang , 
banyak berdoa dan menyerah kepada Allah.
Sesuatu yang pelik juga mengenai notis yang diterima Husam itu ia 
berakhir 16 November tetapi sebelum tamat tempoh beliau sudah dihalau 
keluar. Ini menggambarkan niat busuk dipihak Pas serta kejahilan mereka 
dalam membaca maksud notis itu sendiri.
Husam turut membaca perenggan akhir notis yang diterimanya, yang 
menyebut sekiranya beliau enggan keluar atau tidak patuh pihak 
penghantar notis itu akan membawa ke mahkamah. Jelas apa disebut notis 
itu, tarikh yang diberikan belum matang dan usaha membawa ke mahkamah 
juga belum dilakukan. Ertinya mahkamah belum berbuat apa-apa keputusan 
dan perintah. Anihnya pihak Pas sudah ghairah untuk memasukinya.
Sikap ini menyebabkan Husam menyifatkan Pas menerusi Setiausahanya Che Abdullah Nawi tidak memahami maksud dan makna notis itu.
"Takkan sampai begitu sekali (bodohnya) takkan Che Abdullah sendiri tidak memahami notis yang dihantar," tempelak Husam.
Untuk lebih harmonis Husam mencadangkan kedua-dua pihak, pihaknya dan 
pihak Pas sabar menunggu keputusan mahkamah dan tidak bertindak di luar 
batas undang-undang kerana kes itu sudah dibawa ke mahkamah. Mahkamah 
sedang dan akan memperimbangkan.
Beliau sendiri telah memfailkan injuksi bagi menghalang Pas memasuki ke 
premis itu. Beliau berharap mahkamah akan mendengar injuksi itu dan 
membuat keputusan sebelum 16 November. Manakala perbicaraan mengenai 
perebutan itu akan diadakan pada 4 Disember nanti. "Dah tak lama takkan 
tidak boleh tunggu," katanya.
Katanya dia dan Amanah bersedia menerima apa sahaja keputusan nanti. 
Kalau mahkamah berpihak kepadanya, alhamdulilah, tetapi kalau sebaliknya
 semua pihak kena terima.
Memerhati kemelut mengenai Wisma Tokguru ini saya teringat kepada 
pertanyaan seorang yang hadir dalam ceramah berkelompok di Panji dimana 
Mohd Amar Nik Abdullah sebagai penceramah utamanya. Orang itu menanyakan
 Mohd Amar sejauh manakah Pas mendapat keuntungan dengan membeli Wisma 
Tokguru itu.
Nik Amar tidak menjawab secara spesifik pertanyaan itu hanya mengatakan,
 pembelian itu untuk menjaga maruah Pas. Katanya maruah penting mengikut
 maqasid syariah.
Maruah apa? Maqasid apa? Bagi saya Pas akan menjadi lebih bermaruah 
kalau tidak menganggu Amanah, melakukan kerja-kerja pembelian tanah itu 
secara senyap apa lagi menggunakan wang hasil meluluskan tanah hutan di 
Kuala Krai seperti mana dakwa Husam itu.
Sebaliknya Pas akan dilihat sebagai parti yang cerdik dan matang apabila
 tidak merebut secomping tanah dan sesandang rumah yang cuba dimiliki 
Amanah untuk dijadikan tempat berteduhnya itu. Bukakah kita juga 
mengatakan Amanah anak yang dilahir cacat sejak dalam telor tetapi 
kenapa harus takutkannya bagaikan takut harimau serkas yang terlepas?
Apabila Pas telah melakukan pembelian itu dengan niat mahu menyusahkan 
Amanah, menyusahkan Husam dan menyakiti hati seluruh orang Amanah dan PH
 selamanya Pas akan dikenang sebagai parti jahat dalam kasus itu. Parti 
yang tidak cekap dan bodoh sombong berpolitik.
Percayalah dan yakinlah Amanah tidak akan lebur walaupun Pas dapat 
membela maruahnya dengan memiliki premis itu. Husam tidak akan mudah 
mengaku kalah dan berundur kalaupun Pas menganggu kloninya. Kalau beliau
 takut tentu tidak dimula sejak awal. Sebaliknya benar seperti kata 
Husam semalam, Amanah mungkin akan kehilangan Wisma Tokguru, tetapi 
Amanah akan mendapat sokongan dan simpati rakyat. Sesungguhnya Wisma 
Tokguru memberi simbol dan makna besar kepada Amanah dan Husam. 
Wisma Tok Guru :Dendam PAS, Menguntungkan AMANAH
Written By Wadah Baru on Rabu, 15 November 2017 | 9:31 PG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
 



 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
0 ulasan:
Catat Ulasan