Dua tahun lalu, saya berkesempatan untuk menghadiri satu seminar anjuran sebuah badan yang memperjuangkan kebebasan kewartawanan di Taiwan. Seminar itu diadakan dalam kampus, dan saya dapat merasakan sedikit riuh ketika para panelis mengambil tempat.
Salah seorang peserta tempatan berbisik kepada saya, “Nampak tak? Siswa-siswi itu tak sabar-sabar untuk bersemuka dengan idola mereka.” Sambil dia menuding kepada salah seorang panelis wanita di depan.
“Siapa dia?” tanya saya. “Editor sebuah majalah siasah di sini. Bukan main kekaguman siswa-siswi kepadanya. Mereka jadikannya idola, bagai bintang dalam dunia kewartawanan.” Saya memandang ke arah siswa-siswi. Mata mereka bersinar ketika menatap seorang editor dengan paras rupa yang biasa. Apa yang pasti, ada sesuatu yang luar biasa di sebalik susuk itu.
Apakah ciri-ciri yang dimilikinya sebagai teladan dalam bidang kewartawanan? Apakah beliau menjiwai kebebasan bersuara? Apakah beliau berani kerana benar? Apakah beliau mendukung nilai sejagat, yang merentasi semua batas kaum, agama, budaya dan bahasa?
Soalan-soalan ini melantun-lantun dalam otak saya, pada malam yang langitnya gelap-gelita.
Skandal Malaysia dibongkarkan media asing
Balik ke Malaysia. Imej wartawan cukup negatif. Macam-macam tuduhan dilemparkan kepada wartawan, dari “memetik di luar konteks”, “memutar-belitkan kenyataan”, hinggalah “mereka berita palsu” – sama ada oleh politikus yang sengaja mengkambinghitamkan media, mahupun pembaca yang tidak berpuas hati dengan kualiti kandungan media yang dihidangkan.
Media dituduh sebagai alat propaganda, lidah parti yang mana agendanya bukan lagi melaporkan kebenaran, sebaliknya mengulangi pembohongan agar ia menjadi kebenaran pada suatu hari nanti.
Sesungguhnya, fenomena ini gagal diperincikan tanpa mengambil kira konteks persekitaran media yang pincang di Malaysia. Kebanyakan media tempatan dimiliki parti politik, atau mereka yang mempunyai hubungan erat dengan parti politik. Terlalu sedikit media tempatan independen yang mampu bertahan lama – kekal bebas, dan kekal bernafas dalam pasaran pada zaman ini.
Teori “pemilik media menentukan kandungan” menjelaskan sebahagian fenomena ini. Dengan akta yang mencengkam kebebasan, ditambah pula dengan politik perkauman dan agama sempit yang disuburkan, alam media sebenarnya merencatkan perkembangan media independen, lantas mencantas wartawan yang kritis dan profesional.
Cuba kita renung, bukankah ia satu penghinaan kepada dunia kewartawanan tanah air, apabila skandal 1MDB buatan Malaysia dibongkarkan media asing, dan akhirnya mengkalungkan Anugerah Scoop dan Anugerah Kecemerlangan Laporan Penyiasatan kepada Tom Wright, editor ekonomi rantau Asia untuk The Wall Street Journal? Di manakah peranan wartawan dan media tempatan, sepanjang penyiasatan dan pendedahan skandal ini?
Jikalau dikupas lagi, ia bukan sahaja soal “keberanian” seseorang wartawan atau sesebuah institusi media, tetapi juga “kepakaran” wartawan dari media tempatan untuk menguasai selok-belok isu ini, khususnya media bahasa Melayu. Biar berterus-terang, siapakah wartawan dalam kalangan media bahasa Melayu, yang mampu menyusuli perkembangan seterusnya skandal 1MDB, selepas ia dibongkarkan?
Persoalan ini bermain dalam otak saya, ketika diajak masuk ke dalam satu kumpulan untuk membincangkan isu tokoh kewartawanan. Antara syarat yang diperbincangkan dan digariskan, karya calon perlu menggunakan bahasa Melayu sebagai pengantar. Saya tercari-cari calonnya, malah saya tertanya-tanya, tulisan rencana (feature) manakah yang paling memahat dalam ingatan saya, sepanjang pembacaan saya dalam tempoh 10 tahun ini?
Wartawan mengubah dunia?
Membaca pengalaman media asing sememangnya mengujakan. Wartawan memikul misi untuk membawa perubahan kepada dunia. Dalam satu kes di Amerika Syarikat, dua orang wartawan dari akhbar tempatan Belleville News-Democrat telah melakukan kerja siasatan, membongkar bagaimana kes aduan pencabulan seks yang tidak dipedulikan balai polis tempatan, dan tidak dikendalikan mahkamah – selepas editornya menerima satu panggilan daripada seorang nenek tua yang mengadu bahawa cucunya dirogol secara beramai-ramai. Bertahun-tahun mereka menyiasat dan mengumpul maklumat, dengan temu bual, penelitian statistik dan sebagainya, akhirnya mereka membuat pendedahan yang menggegarkan.
Banyak lagi topik yang relevan, jikalau tumpuannya difokuskan di Malaysia. Bagaimana ratusan ribu tan sisa sampah dari Australia, United Kingdom, Jepun, Kanada dan sebagainya, boleh diimport dalam kontena ke Malaysia? Siapakah dalang yang mengaut keuntungan di sebaliknya? Isu ini berkait rapat dengan “kedaulatan bumi Malaysia”, juga kebersihan alam dan kesihatan rakyat. Apakah ada media tempatan yang membongkarkannya, atau wartawan kita lebih ghairah untuk membincangkan “Tanah Melayu milik siapa”?
Demikianlah realiti media di Malaysia. Pernah saya mengikuti satu rombongan sambil belajar ke Jerman kira-kira tujuh tahun lalu. Ketika melawat sebuah institusi media tempatan, saya sempat menjeling buku-buku yang tersusun rapi di meja wartawannya. Bukan gosip dunia hiburan, bukan cerita romantis rekaan, tetapi buku teori yang tebal dan berat. Mereka masuk ke dunia kewartawanan dengan berbekalkan pengetahuan, dan pandangan tersendirinya.
Apakah Malaysia terlalu ketinggalan? Saya masih ingat bagaimana pensyarah universiti saya cuba membuka mata kami dengan memperkenalkan teori-teori kewartawanan yang kritikal. Kami diasuh untuk mengikis imej stereotaip, mengambil perspektif yang berbeza ketika membincangkan isu gender, teknologi, etnik, agama dan sebagainya. Di situ kami mula peka terhadap bagaimana sesuatu imej ditampilkan dalam produk budaya, dan lebih kritis untuk mempersoal struktur kuasa di sebaliknya.
Malangnya teori-teori ini kekal dalam dewan kuliah. Apakah wartawan pada hari ini akan bangkit mempertikai menteri yang membuat kenyataan bahawa “Cina ada di universiti kerana kedudukan ekonomi yang lebih berada”, atau mereka akan turut mengiyakan imej stereotaip yang cuba dipahat dalam minda masyarakat? Apakah wartawan pada hari ini akan mengupas isu kemiskinan dari sudut kelas dan struktur, dan bukan sekadar menggaru-garu kulit yang berlainan warna?
Kita dirikan media merdeka?
Hakikatnya, wartawan dan media kita amat jauh tersasar dari landasan. Sebagai kuasa keempat, media dilihat lebih memijak mereka yang tidak berkuasa, daripada mempersoalkan mereka yang berkuasa. Fenomena ini lebih ketara sebelum PRU14.
Dengan perkembangan teknologi maklumat terkini, saban hari wartawan menghambat kelajuan berita, namun seolah-olah tidak tahu ke mana hala tujunya. Malah, wartawan dan editor sekadar berpuas hati untuk menyuapkan pembacanya dengan berita yang diinginkan pembaca, tetapi bukan lagi menerokai berita yang penting untuk pembacanya.
Artikel ini ditulis tatkala Utusan Malaysia sedang mengharungi waktu-waktu gentingnya lantaran masalah kewangan. Moga-moga ia dipermudahkan, dan masalah pembayaran gaji diselesaikan dengan baik antara pihak majikan dengan kakitangannya.
Apa yang menimpa Utusan Malaysia pada hari ini, harus dijadikan renungan kita untuk memikirkan nasib media tempatan pada masa depan. Setuju atau tidak dengan Utusan Malaysia, tidak kira jatuh naiknya Utusan Malaysia, kita tetap berdepan dengan cabaran yang lebih meruncing di depan kita. Apakah media mampu menyajikan kandungan yang berkhasiat untuk masyarakat kita? Apakah media kita telah mempersiap-sediakan dirinya sebelum mempersiap-sediakan masyarakat kita untuk menghadapi masa depan yang tidak menentu?
Saya tidak menyimpan niat agar Utusan Malaysia dirobohkan, tetapi meminjam ayat pantun Dr.Burhanuddin Al-Helmi, “Di atas robohan Kota Melaka, kita dirikan jiwa Merdeka”, saya ingin melontarkan cabaran, “Mampukah kita dirikan media merdeka?”
LIM HONG SIANG ialah pengarah eksekutif SAUDARA (penyelidikan sosio budaya).
0 ulasan:
Catat Ulasan