Oleh
HAYAR HASSAN
Seusai Konvensyen Pakatan Harapan(PH) akhir minggu pertama 2018 lalu
memberikan banyak bahan untuk semua rakyat berbicara tentang politik tanah air
tercinta ini. Lumrahnya begitu lah. Pemimpin dan penyokong UMNO/BN tetap
mencari-cari sudut-sudut negatif agar rakyat tidak memberikan undi mereka dalam
PRU ke 14 nanti kepada calon-calon PH . Banyak berpendapat bahawa UMNO/BN dalam
keadaan panik dan ketandusan modal baru untuk mempromosi agenda perjuangan
mereka. Yang mereka mampu buat adalah mengitar semula modal-modal lama memberikan kritikan negatif
kepada PH.
Mengikuti perjalanan Konvensyen PH itu , walaupun secara live online tetap memberikan kita
kepuasan, seolah-olah kita masih berada di IDCC Shah Alam. Syabas saya ucapkan
kepada panitia dan sekretariat konvensyen. Konvensyen PH ini tetap menyajikan
perkara-perkara baru dan penuh relevan kepada rakyat Malaysia menjelang PRU ke
14.
Pengumuman utama yang ditunggu oleh semua rakyat adalah nama calon
Perdana Menteri PH seandainya PH memenangi PRU ke 14. Seperti yang telah
diramalkan oleh banyak pihak, Yang Berbahagia Tun Dr Mahathir Mohamad adalah
calon Perdana Menteri ketujoh Malaysia. Dato’Seri Wan Azizah Wan Ismail(DSWAWI)
pula adalah calon Timbalan Perdana Menteri. Rupanya untuk sekian lama, semenjak
merdeka, hanya PH bakal mampu mengangkat seorang wanita untuk menjawat jawatan
nombor dua pentadbiran Negara itu.
Disamping itu, ini adalah bakal kali pertama jawatan Perdana Menteri
dan Timbalan Perdana Menteri tidak dimonopoli oleh hanya satu parti seperti BN.
Sudah sewajarnya lah parti-parti komponen BN merenung akan fenomena ini. PH
tidak mempunyai konsep kepimpinan Abang
Long seperti yang diamalkan oleh UMNO/BN ! Dalam PH, semua parti adalah
sama penting, saling lengkap melengkapi antara satu sama lain. Duduk sama rendah ,berdiri sama tinggi !
Entah bila agaknya seorang wanita boleh menjadi calon Timbalan
Perdana Menteri Malaysia seandainya UMNO/BN terus menerajui tampok pemerintahan
Putrajaya. Pastinya undi untuk PH dalam PRU ke 14 nanti akan bertambah apabila
mengenangkan bahawa kita bakal menobatkan seorang ahli parlimen wanita menjadi
Timbalan Perdana Menteri. Amat wajar sekali aktivis-aktivis tegar dalam Wanita
UMNO dan Puteri UMNO merenung hal ini !
Pengumuman penting kedua adalah pengagihan kerusi-kerusi Parlimen
Semenanjung Malaysia yang bakal ditandingi oleh
calon parti-parti PH. Seperti yang telah diumumkan calon-calon Parti
Pribumi Bersatu Malaysia(PPBM) akan bertanding 52 kerusi. Calon-calon Parti
Keadilan Rakyat(PKR) pula akan bertanding 51 kerusi. Calon-calon DAP akan
bertanding 35 kerusi. Parti Amanah Negara(AMANAH) pula akan bertanding 27
kerusi.
Seperti yang dijelaskan oleh YB Saudara Rafizi Ramli, Naib Presiden
PKR, pengagihan ini dibuat dengan maksud bahawa semua parti-parti dalam PH
adalah penting dan saling memerlukan antara satu sama lain. Tidak ada satu
parti yang terlalu dominan dan tiada parti yang terlalu kerdil dalam PH. Berlainan
dengan Barisan National(BN). Ada parti kecil yang tidak diberikan langsung
kerusi parlimen. Sekali lagi PH tetap melebihi BN.
Kerusi-kerusi yang agak banyak diberikan kepada PPBM tentu lah
dengan tanggongjawab yang lebih besar juga. PPBM telah diamanahkan oleh PH
untuk menang dalam kawasan kubu-kubu UMNO yang agak sukar ditembusi oleh
pembangkang dalam PRU yang lalu. Ini bukan lah tugas yang ringan untuk
calon-calon dan aktivis-aktivis PPBM, tetapi ianya amat wajar kerana bakal
calon Perdana Menteri PH adalah Tun Dr Mahathir Mohamad. Sesungguhnya
tanggongjawab dan gerak kerja PPBM dalam PRU ke 14 nanti bukan lah mudah kerana
mereka akan berhadapan dengan jentera UMNO!
Saya mengjangkakan, calon-calon DAP tidak akan sukar untuk memenangi
kerusi-kerusi yang telah diperuntukkan kepada mereka. Kata orang, tanpa poster
dan ceramah-ceramah pun DAP akan tetap menang di kubu-kubu pembangkang seperti
parlimen Bagan, Bukit Mertajam, Tanjung, Wilayah Persekutuan KL dan banyak
lagi.
Untuk Amanah pula, walau pun diperuntukkan jumlah kerusi yang paling
kecil, kerusi-kerusi tersebut adalah merupakan kerusi-kerusi parlimen yang
cukup berpotensi untuk dimenangi berbanding dengan kerusi-kerusi PPBM! Semua
ahli-ahli AMANAH sewajarnya lah berlapang dada terhadap keputusan Majlis
Presiden PH yang telah pun dimeteraikan. Selepas ini tugas utama kita adalah
memenangkan semua calon-calon PH, bukannya mengungkit-ungkit keputusan yang
telah dibuat.
Menyuarakan rasa tidak puas hati Amanah Johor dan Wilayah
Persekutuan adalah wajar. Semoga nanti keputusan pengagihan kerusi-kerusi Dewan
Undangan Negeri(DUN) akan dapat merawat hati ahli-ahli AMANAH yang telah
sedikit terluka. Dalam hal ini wakil pimpinan AMANAH hendak lah lebih bijaksana
dan tegas sebelum mempersetujui semua keputusan.
Yang idealnya dalam setiap kawasan parlimen itu , semua calon DUN
hendaklah kalau boleh diwakili juga oleh calon-calon dari semua parti dalam PH.
Yang jelasnya dengan pengumuman muktamad pengagihan kerusi-kerusi
parlimen Semenanjung Malaysia antara parti-parti PH, kemungkinan untuk PAS
untuk bergabung juga dengan PH di saat akhir menjelang PRU ke 14 adalah amat
mustahil. Pintu rundingan PAS dengan PH telah tertutup rapat. Apa yang mungkin
hanya lah tokoh-tokoh dan ahli-ahli PAS memohon untuk menyertai parti-parti
komponen dalam PH. Apa yang bakal terjadi kepada PAS selepas PRU ke 14 nanti,
sama-sama lah kita tunggu dan lihat.
Sesungguhnya dua pengumuman utama seusai Konvensyen PH hujung minggu
lalu adalah cukup menarik dan dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Malaysia.
Tidak keterlaluan kalau dikatakan bahawa ianya wajar dan tepat.
Disamping dua pengumuman penting di atas, ucapan-ucapan daripada
wakil-wakil peneroka FELDA, bekas anggota tentera Malaysia(ATM), anak muda,
wanita, kalangan artis dan petani amat menarik sekali. Sebelum ini kalau kita
amati, Perhimpunan Agung UMNO(PAU) pun tidak pernah memberikan peluang orang
luar parti untuk berucap. Ini lah pembaharuan yang cuba diketengahkan oleh PH.
Percaya lah ianya akan memberikan kesan yang baik kepada semua rakyat dan pengundi.
Apa yang ingin disampaikan kepada semua pengundi dan rakyat Malaysia
adalah, “PH sentiasa perihatin terhadap
semua permasaalahan rakyat, berilah peluang kepada PH untuk melakukan
perubahan, demi kesejahteraan dan kelangsungan masa depan kita semua !”.
0 ulasan:
Catat Ulasan