Dua
pemimpin pelajar Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dijatuhkan hukuman
gantung pengajian selama dua semester beserta amaran keras selepas
didapati bersalah membawa wakil rakyat PKR Rafizi Ramli ke kampus itu
.
Dua pelajar tersebut, Yang di Pertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPPUIA)
Hanif Mahpa dan Pengerusi Sekretariat Akademik dan Intelektual MPPUIA,
Afiqah Zulkifli didapati bersalah oleh UIA hari ini.
Pada 11 Mei lalu, Rafizi yang juga setiausaha agung PKR, dijemput
memberikan penerangan tentang Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) di
kampus UIA oleh MPPUIA.
Program yang mulanya mendapat kebenaran dari pihak pentadbiran diarahkan batal pada saat akhir namun ia diteruskan juga.
Ekoran itu, ketika Rafizi sedang berucap, sekumpulan pegawai UIA datang
ke program yang ketika itu diadakan di satu tempat terbuka di kampus
itu, selepas dewan tidak dibenarkan untuk digunakan.
Seorang pengawal keselamatan merampas pembesar suara yang sedang
digunakan ahli Parlimen Pandan itu dan mengarahkan semua pelajar yang
sedang mendengar penjelasan itu bersurai.
Ekoran itu, video yang menayangkan kejadian tersebut menjadi viral di media sosial.
Sementara itu, Gabungan Pelajar Islam Malaysia (Gamis) mengecam
keputusan jawatankuasa tatatertib UIA yang menjatuhkan hukuman ke atas
kedua-dua pemimpin pelajar itu.
"Dalam keadaan negara yang membimbangkan pada hari ini, pentadbiran UIA
menambahnya lagi dengan menghuru-harakan keadaan apabila mengambil
keputusan menggantung mereka atas alasan menganjurkan program GST tanpa
kebenaran pihak universiti," kata presiden Gamis, Mohd Imran Md Ishak.
Dalam satu kenyataan yang dibuat sebaik sahaja keputusan itu dibuat,
Imran mendakwa, arahan membatalkan majlis itu dibuat pada saat-saat
akhir kerana ada arahan daripada 'orang atas'.
"Gamis dengan ini mengecam sekeras-kerasnya tindakan UIA dan menggesa
pihak universiti membatalkan hukuman tersebut," katanya sambil menambah,
satu memorandum akan dihantar kepada universiti menuntut pembatalan
itu.
Sehubungan itu, badan itu menyeru kepada seluruh mahasiswa agar
bersolidariti bersama dua rakan mereka itu atas hukuman gantung yang
dikenakan terhadap mereka.
Katanya, satu 'Himpunan Mahasiswa' akan diadakan dalam masa terdekat
sekiranya pihak berkuasa universiti masih meneruskan dengan keputusan
mereka.
Sementara itu, pertubuhan pelajar We Unite For Islam (WUFI) turut
mengecam keputusan itu dan mendesak pihak pentadbiran UIA menarik semula
tindakan tersebut dalam masa 24 jam.
Pengerusi WUFI Azzan Aznan Abdul Rahim berkata, kegagalan universiti
berbuat demikian akan sekali lagi memburukkan nama institusi itu yang
terkenal dengan kehebatan pasukan debatnya yang sering memenangi
pertandingan di peringkat nasional dan antarabangsa.
"Hakikatnya, adalah menyedihkan apabila di dalam universiti sendiri
para pelajar dihalang daripada berdiskusi, berdebat dan berforum,"
katanya.
Beliau berkata, WUFI akan melancarkan pungutan suara berasaskan
keyakinan yang ribuan pelajar UIA tidak bersetuju dengan tindakan yang
disifatkan tidak masuk akal itu.
"Kami juga tidak teragak-agak untuk melancarkan demonstrasi
besar-besaran jika tuntutan ini gagal dipenuhi," katanya dalam satu
kenyataan.
"Ini merupakan satu lagi tindakan tidak bermaruah daripada sebuah
institusi pengajian tinggi bertaraf antarabangsa apabila tidak meraikan
semangat para pelajar untuk menganjur, menghadiri dan menilai diskusi
intelektual berkenaan isu-isu negara.
"Tindakan ini juga membuktikan moto rasmi UIA iaitu Taman Ilmu dan Budi
hanyalah retorik dan penipuan yang amat jelas," kata Azzan.
2 pemimpin pelajar UIA digantung 2 semester kerana bawa Rafizi ke kampus
Written By Wadah Baru on Khamis, 13 Ogos 2015 | 10:34 PTG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan