Home » , » Pas tutup pintu rundingan dengan Pakatan Harapan

Pas tutup pintu rundingan dengan Pakatan Harapan

Written By Wadah Baru on Ahad, 22 Mei 2016 | 6:53 PTG


Pas menegaskan rundingan bersama Pakatan Harapan bagi memutuskan calon daripada parti mana yang akan bertanding di dua Pilihan Raya Kecil (PRK) di Sungai Besar dan Kuala Kangsar telah tamat.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, keputusan Pas meletakkan calonnya di dua PRK terbabit adalah muktamad.

“Pada mulanya mereka (Pakatan Harapan) minta kita berbincang dalam kerjasama pilihan raya dan kita telah menghantar wakil iaitu Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Mustafa Ali dan Setiausaha Politik Hadi, Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar. Tidak sangka pula ada permintaan di kalangan mereka untuk bertanding juga.

"Oleh kerana Pas sudah tiga, empat kali bertanding di situ, ditambah pula kita punya banyak cawangan, ternyata kita berpijak di lapangan dan kita juga ada jentera pilihan raya bahkan kita menganggap kitalah yang berhak bertanding di kawasan terbabit.


“Tuntutan daripada pihak lain untuk bertanding tidak wajar. Apatah lagi kita dapat tahu mereka hendak meletakkan calon daripada  Pakatan Harapan,” katanya kepada media selepas merasmikan majlis Himpunan Pendidik Islam Peringkat Kebangsaan 4.0 di Melaka semalam.

Menurut Abdul Hadi, beliau sudah membuat keputusan dan tiada sebarang perundingan lagi boleh dibuat melainkan hal berkaitan kerjasama dalam gerak kerja pilihan raya.

Mengenai pandangan Tun Dr Mahathir Mohamad kononnya pembangkang akan tewas sekiranya meletakkan ramai calon, Abdul Hadi berkata, ia sekadar pandangan peribadi bekas Perdana Menteri itu.

"Pas melihat tidak menjadi masalah sama ada bertanding dua penjuru, tiga penjuru atau empat penjuru sekalipun. Kami tetap akan bertanding," katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger