Krisis kepimpinan negara dan tekanan kewangan terhadap rakyat akibat kepincangan pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak memerlukan penyelesaian segera. Lebih lama krisis ini berlanjutan, rakyat biasa akan terus menjadi mangsa menanggung beban ekonomi seharian dan berhadapan permainan adu domba perkauman sesetengah pihak.
Krisis yang melanda negara ini juga mendesak parti-parti pembangkang bersatu untuk lebih berkesan dalam menentang Umno/Barisan Nasional. Harapan rakyat tinggi menggunung supaya sebuah pakatan pembangkan yang bersatu dan kuat dapat memainkan peranan mengekang salah tadbir dan kepincangan pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak.
Mengambil kira kepentingan rakyat yang utama ini, parti-parti yang hadir bersidang di dalam Rundingan Mejabulat yang dipanggil oleh Ketua Pembangkang pada hari ini bersetuju untuk menubuhkan sebuah pakatan pembangkang yang baru bernama Pakatan Harapan dianggotai oleh Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Amanah Negara (PAN) berkuatkuasa hari ini.
Sebuah Jawatankuasa Khas dengan diwakili oleh Setiausaha Agung dan wakil dari setiap parti akan ditubuhkan untuk memperhalusi terma-terma penubuhan Pakatan Harapan termasuklah perjanjian pakatan, dasar bersama, etika kerja sesama parti yang menganggotai Pakatan Harapan dan lain-lain.
Mulai dari hari ini, Pakatan Harapan akan berfungsi sepenuhnya sebagai sebuah pakatan politik yang jitu untuk membela rakyat dan berdepan dengan Umno/Barisan Nasional.
Langkah pertama Pakatan Harapan adalah mengumumkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan memenangi Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14). Kami yakin bahawa beliau adalah di antara pemimpin yang paling sesuai untuk menangani kemelut ekonomi, salah urus kerajaan, kebajikan rakyat, perpaduan kaum dan krisis kredibiliti yang ditinggalkan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak.
Pakatan Harapan mengalu-alukan penyertaan semua pihak untuk bersama-sama Pakatan Harapan dalam misi menyelamatkan rakyat dan negara dari kepincangan Umno/Barisan Nasional tertakluk kepada persetujuan perjanjian pakatan, dasar bersama dan etika permuafakatan politik.
Kami yakin kewujudan Pakatan Harapan akan memberi harapan baru kepada rakyat Malaysia ke arah sebuah negara yang adil, inklusif, berdaya saing, berkebajikan dan berpaksikan keluhuran undang-undang.
YB DATO’ SERI DR WAN AZIZAH ISMAIL
Ketua Pembangkang
Presiden KEADILAN
YB SAUDARA LIM KIT SIANG
Ketua Parlimen DAP
YBhg HAJI MOHAMAD SABU
Presiden AMANAH
22 September 2015
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan