Oleh Faiz Fadzil
PEMUDA AMANAH NASIONAL mengalu-alukan pembentukan permuafakatan pembangkang baru yang dianggotai oleh 3 parti utama pembangkang iaitu AMANAH, DAP dan PKR yang diberi nama PAKATAN HARAPAN.Sesungguhnya, harapan rakyat kepada Pakatan Harapan amatlah tinggi.
Kemunculan Pakatan Harapan di saat rakyat sedang bergelut dengan keperitan bebanan sara hidup dan krisis ekonomi negara akibat rasuah dan skandal penyelewengan kewangan negara terutama 1MDB serta pergolakan politik tanahair yang kian meruncing seolah-olah tiada kesudahannya adalah amat penting bagi rakyat dan negara. Harapan rakyat disandarkan kepada Pakatan Harapan untuk menyelamatkan dan membebaskan negara dan rakyat daripada cengkaman kezaliman, ketidakadilan dan penyelewengan pemerintahan Barisan Nasional serta untuk menyelamatkan rakyat daripada terus terperangkap dalam ketegangan perkauman yang cuba ditiupkan demi survival politik Barisan Nasional.
Pemuda AMANAH Nasional dengan ini mengusulkan 4 dasar utama yang perlu dijadikan asas kepada polisi bersama (common policy) Pakatan Harapan iaitu:
1) Menjunjung prinsip dan elemen asas Perlembagaan Persekutuan dan prinsip-prinsip Rukun Negara. Setiap dasar, rangka kerja (framework) dan manifesto hendaklah berdasarkan kepada perkara-perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.
2) Segala dasar, rangka kerja dan manifesto hendaklah mengambil kira kebajikan, kepedulian dan keadilan kepada seluruh rakyat.
3) Segala dasar, rangka kerja dan manifesto hendaklah bertujuan bagi mempromosikan keharmonian kaum dan mendefisitkan jurang sosio ekonomi antara rakyat yang berbeza kaum dan geografi.
4) Segala dasar, rangka kerja dan manifesto hendaklah bertujuan bagi membentuk anak muda yang bermoral, berintegriti, berdaya saing, berilmu dan berkemahiran tinggi.
Barisan kepimpinan sayap Pemuda ketiga-tiga parti koalisi baru ini; Pemuda AMANAH, DAPSY dan AMK hendaklah sentiasa bermuafakat bersama, ikhlas, istiqamah dan komited dalam membawa mesej perubahan kepada negara. Sistem pemerintahan dan demokrasi yang korup ini hendaklah diubah dengan digantikan sistem yang amanah, adil, inklusif dan menjunjung prinsip-prinsip demokrasi dan keluhuran undang-undang. Kepercayaan rakyat kepada pembangkang lebih 52% bukan sahaja tidak boleh dikhianati, tetapi hendaklah ditingkatkan bagi meneruskan perjuangan suci untuk menguasai Putrajaya. Suara rakyat suara keramat pasti akan menjatuhkan rejim zalim Barisan Nasional. InsyaAllah.
Pemuda AMANAH Nasional bersama-sama sayap pemuda parti koalisi lain daripada DAPSY dan AMK mempunyai tugas berat dalam mengembeleng tenaga dan fikiran bagi mendapatkan kepercayaan pengundi muda yang dianggarkan melebihi 7 juta orang. Konsultansi, penyusunan strategi dan gerak kerja bersama amat penting untuk kita meneruskan agenda perubahan ini. Sebagai anak muda yang merupakan mata rantai perjuangan, kita adalah ejen perubahan yang diharapkan rakyat.
Faiz Fadzil
Timbalan Ketua Pemuda
AMANAH Nasional
23 September 2015
Cadangan 4 dasar utama polisi Pakatan Harapan
Written By Wadah Baru on Rabu, 23 September 2015 | 3:23 PTG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan