PETALING JAYA: Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca)
tidak bersetuju sekiranya kerajaan menaikkan caj wad dan rawatan di
seluruh hospital kerajaan di negara ini sehingga 50% bermula tahun
hadapan.
Timbalan Presiden Fomca Mohd Yusof Abdul Rahman berkata kerajaan
sepatutnya berbangga dapat memberikan perkhidmatan yang murah kepada
rakyat, dan bukan memberi alasan caj perkhidmatan di hospital awam
terlalu rendah.
“Kita sepatutnya berbangga dengan caj yang murah. Sebab tujuan ialah
kita nak pastikan rakyat dapat rawatan kesihatan yang baik,” katanya
Yusof berkata beberapa negara malah memberikan perkhidmatan kesihatan percuma.
“Maksudnya kerajaan mereka menanggung (kos rawatan). Jika kerajaan
dapat lakukan sama, ia sesuatu yang baik. Tak boleh jadikan ia sebagai
alasan.”
Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam mengumumkan
kenaikan caj wad dan rawatan di seluruh hospital kerajaan bermula tahun
hadapan.
Kenaikan tersebut bakal melibatkan pesakit kelas 1 dan kelas 2.
Menurut akhbar Kosmo, kenaikan itu dijangka sehingga 50% dan
melibatkan semua jenis rawatan untuk warganegara seperti bayaran wad am
dan wad bersalin, rawatan pesakit ditahan dalam wad, fisioterapi,
radioterapi dan nuklear, nefrologi serta psikiatri.
Sumber di Kementerian Kesihatan memberitahu, antara alasan utama
kenaikan tersebut disebabkan caj rawatan di hospital kerajaan tidak
pernah dinaikkan sejak 1982.
Selain itu, kenaikan itu dikatakan mengambil kira caj rawatan di
hospital kerajaan di negara ini masih rendah berbanding negara Asean
lain.
Yusof berkata kenaikan caj yang dikenakan itu pastinya membebankan
kepada rakyat khususnya yang berpendapatan rendah walaupun untuk pesakit
yang dirawat di kelas 1 dan kelas 2.
“Sudah tentu dengan kenaikan caj ini tentu akan memberi kesan kepada
mereka apatah lagi caj itu dua kali ganda daripada sekarang,” katanya.
Tambahnya, kerajaan boleh menaikkan caj, tetapi tidak terlalu tinggi sehingga dua kali ganda.
“Naiklah 10 peratus sahaja dan sebagainya boleh diterima rakyat. Tetapi kalau 50% agak tinggilah,” katanya.
Sementara itu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) meminta
kerajaan mengkaji semula kenaikan caj rawatan hospital kerajaan kerana
beranggapan masa tidak sesuai dengan keadaan ekonomi negara yang
mencabar.
“Kalau benda lain boleh dijangka, tetapi kalau sakit ini tak ramai
peruntukkan. Beri ruang dahulu. Ini bukan kenaikan yang baik. Dalam
bajet pun peruntukan banyak diberikan kepada Kementerian Kesihatan, dan
sepatutnya cukup. Janganlah dibebani lagi pengguna,” kata Ketua Aktivis
PPIM, Datuk Nadzim Johan.
Sepatutnya bangga beri caj hospital murah, kata Fomca
Written By Wadah Baru on Selasa, 15 November 2016 | 10:35 PG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan