Home » » Sedondon merah jambu yang sarat isyarat-

Sedondon merah jambu yang sarat isyarat-

Written By Wadah Baru on Sabtu, 26 Disember 2015 | 11:44 PG

Oleh Dr Maszlee Malik

ULASAN Pertemuan sepentas dua presiden bagi dua parti umat Islam terbesar di Malaysia dalam acara Multaqa Alumni al-Azhar baru-baru ini menimbulkan pelbagai polemik dan perdebatan di pelbagai media.

Pakaian sedondon, nada ucapan yang seiring sekata dan resolusi yang menjurus kepada ‘perpaduan’ Umno-PAS demi Islam dan bangsa Melayu memberikan impak yang cukup untuk 1,001 spekulasi dan ramalan warga Malaysia.

Di sebalik semua polemik yang ditimbulkan, perlu diakui bahawa kedua-dua presiden parti Umno dan PAS tersebut berjaya melakukan sesuatu yang gagal dilakukan oleh presiden-presiden kedua-dua parti, selepas era Tun Razak dan Datuk Asri Muda (gambar).

Hal ini perlu diakui dan kejayaan mereka perlu diiktiraf.

Mungkin ada yang ingin menyamakan pertemuan dua presiden tersebut dengan perkongsian pentas Tun Mahathir Mohamad dengan almarhum bekas presiden PAS Fadhil Noor.

Dua pertemuan tersebut tidak sama, walaupun kedua-dua pertemuan itu menemukan presiden Umno dan PAS sepentas.

Dalam pertemuan Mahathir dan Fadhil, isu utamanya ialah isu Palestin. Penganjurnya pula ialah Angkatan Beliau Islam Malaysia (ABIM).

Resolusinya pula ialah berkaitan isu Palestin yang pada waktu kini membuahkan hasil dari pertemuan tersebut.

Pertemuan Mahathir dan Fadhil (gambar) tidak membawa manifestasi politik, malah kedua-duanya tidak berpakaian sedondon dan tidak pula berlangsung di kala reputasi politik Mahahir sedang nazak.

Jika ada pihak yang sepatutnya mendapat kredit dari pertemuan tersebut, maka ABIM adalah pihak tersebut.

Sedondon, sarat isyarat

Pertemuan baru-baru ini memang membawa mesej dan motif politik. Tiada sesiapa dapat menafikan bahawa tema pertemuan dua presiden berpakaian sedondon itu pun sarat dengan isyarat politik.

Malah resolusi yang dikemukakan juga terang-terangan membawa implikasi politik.

Mereka bukannya berbincang atas isu keperluan kedua-dua parti melawan keganasan kumpulan bersenjata Negara Islam (IS) mahupun Bashar al-Asad (gambar) dalam multaqa tersebut.

Kedua-dua presiden juga tidak membicarakan tentang kematian demokrasi dan keadilan di Mesir yang dibunuh oleh rejim Jeneral al-Sisi yang didukung agamawan Universiti al-Azhar.

Mereka juga tidak berbincang tentang cara untuk menangani kemerosotan kualiti graduan al-Azhar mutakhir ini, terutamanya dalam penguasaan bahasa Arab dan penguasaan ilmu serta cara untuk mengatasinya.

Walaupun ketiga-tiga isu tersebut merupakan isu yang memerlukan input dan ketegasan alumni al-Azhar di Malaysia, namun kesemuanya tidak menjadi pokok perbincangan di dalam multaqa berkenaan.

Perkara pokok yang menjadi tema ucap utama kedua-dua presiden parti tersebut ialah usaha kerjasama Umno-PAS dan juga kepentingan politik Melayu-Islam di kala Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sedang diasak hebat oleh pihak luar dan dalam partinya sendiri.

Pokoknya, pertemuan tersebut merupakan pertemuan politik yang membawa mesej politik yang jelas. Pertemuan tersebut bakal membawa satu anjakan paradigma di dalam PAS dan juga Umno.

Retorik teologi, ataupun penggunaan wacana agama dalam menjadikan Umno di pihak yang salah, atau batil dan PAS di pihak yang benar, ataupun haq bakal berakhir dengan penerimaan kedua-dua presiden tersebut terhadap resolusi multaqa itu.

Lebih menarik, amanat Datuk Seri Hadi Awang yang selama ini menjadi senjata Umno untuk membuktikan PAS parti ajaran sesat, ataupun parti pelampau agama juga akan lenyap dan senyap.

Bukan lebur PAS, masuk Umno

Ini mungkin hanya timbul apabila Umno terdesak di saat-saat akhir menjelang pilihan raya sahaja, jika diperlukan.

Apa yang pasti, kedua-dua parti yang dilihat dari segi agama pada suatu waktu dahulu sukar untuk bersama, kini dapat berkongsi aspirasi dan bersetuju melakar masa depan demi kepentingan bersama.

Usah salah faham, persepakatan tersebut bukanlah membawa maksud meleburkan PAS untuk masuk Umno, ataupun membawa masuk PAS ke dalam BN. Itu tidak akan berlaku.

Tindakan berkenaan merupakan kamikaze bagi kedua-dua parti tersebut. Umno akan kehilangan rakan-rakan Borneo dan parti-parti komponen yang lain, manakala PAS akan kehilangan kerusi-kerusi exco di Selangor.

Begitu juga dengan kepentingan segelintir pimpinan mereka dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negeri berkaitan. Ia pertaruhan yang tidak akan menguntungkan kedua-dua parti tersebut.

Apa yang berlaku ialah kemenangan Umno untuk tidak dilabel lagi sebagai pihak menentang agama. Keuntungan bagi Umno juga ialah berakhirnya label-label bersalah dari dimensi keagamaan yang sering PAS gunakan dahulu terhadap mereka.

Keadaan tersebut akan memberikan kredit kepada Najib menumpukan usaha melawan penentangan daripada dalam Umno sahaja, terutamanya Mahathir, Tan Sri Muhyudin Yassin dan sekutu-sekutu mereka.

Umno sedar, undi bukan Melayu gone case bagi mereka dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti.

Maka tumpuan perlu diberikan untuk mengekalkan undi Melayu majoriti mereka yang telah membawa kepada kemenangan tipis lewat PRU lalu.

Pertemuan Najib-Hadi adalah usaha penegasan bahawa Umno serius menjaga kepentingan Melayu-Islam dan mempunyai komitmen melawan DAP dan sekutu mereka dicanang-canangkan sebagai musuh Melayu-Islam.

Retorik kesatuan Melayu-Islam

Keuntungan bagi PAS pula, imej mereka kepada penentang tradisi parti berkenaan dari kawasan majoriti Melayu luar bandar akan segera pulih.

Kebersamaan presiden PAS bersama Najib akan memberikan isyarat positif kepada pengundi tegar Umno-BN di kalangan Melayu luar bandar.

Congak-congak sesetengah pimpinan PAS, jika keadaan seperti ini berterusan, maka peluang lebih cerah untuk mereka mendapatkan undi Melayu jika Umno semakin berpecah menjelang PRU14 nanti.

Ahli strategi PAS sedar, dalam PRU14 nanti, undi bukan Melayu bukanlah sasaran mereka. PAS tidak akan mendapat sokongan bukan Melayu seperti berlaku sejak 2008 dan 2013 lagi.

Maka, mereka perlu mengalihkan tumpuan kepada pengundi Melayu di luar bandar. Maka pertemuan Najib-Hadi merupakan pertaruhan awal ke arah tersebut.

Persoalan yang bermain di minda semua rakyat Malaysia, ke arah manakah persefahaman Umno-PAS yang baru ini? Apakah langkah seterusnya?

Apakah hasil dan impak ketara yang boleh dilihat di dalam waktu terdekat ini? Apakah kesannya terhadap segala skandal dan isu yang sedang dihadapi oleh Najib kini?

Apakah kesan persefahaman ini sekadar menyemarakkan lagi retorik kesatuan Melayu-Islam dengan mengenepikan isu-isu utama politik seperti hal ehwal tata kelola, dakwaan skandal Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM), kegagalan teruk projek Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) serta kejatuhan teruk ringgit?

Begitu juga dengan isu cukai barangan dan perkhidmatan (GST), isu bauksit Pahang yang mengancam kesejahteraan rakyat dan alam sekitar, isu rang udang-undang Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang bakal menyaksikan kuasa eksekutif yang tidak terhingga, isu keterlibatan rakyat Malaysia dengan aktiviti IS.

Apa yang pasti, di Malaysia ini, naratif agama dan bangsa yang diwujudkan merupakan elemen penting yang dapat melarikan tumpuan rakyat daripada isu sebenar yang dihadapi.

Selagi keadaan seperti ini berterusan, semakin jauhlah harapan Malaysia untuk mencapai tahap negara maju dan warga berminda kelas pertama menjelang 2020.

DR MASZLEE MALIK pengamat politik dan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA).Prof. Agus Yusoff.

BOLEHKAH AMANAH KEKAL LAMA?

Ramai menyifatkan tidak boleh. Alasannya sejarah menunjukkan parti yang lahir sebagai serpihan PAS seperti Berjasa dan Hamim tidak kekal lama. 

Sejarah dari serpihan parti UMNO juga begitu.  Pada tahun 1950-an, IMP dan Parti Negara berkubur dan pada tahun 1996 pula S46 berkubur.

Atas hujah di atas, ramai yang pesimis tentang keupayaan Amanah untuk bertahan lama.  Kata kawan saya, “selepas PRU-14 nanti, berkuburlah PAS.”

Saya berpendapat tidaklah semudah itu untuk Amanah berkubur.  Mengapa?

i. Amanah ditubuhkan bukan atas alasan kecewa dalam pemilihan parti, tetapi tidak bersetuju dengan dasar dan arah tuju pucuk pimpinan parti.

ii. Amanah dipimpin oleh pemimpin yang tahan uji dan komited dalam perjuangan untuk mewujudkan Malaysia yang progresif.

iii. Amanah mendapat sokongan anak muda dan kelas pertengahan yang kecewa dengan perjuangan Umno dan Pas. Mereka teruja dengan sistem dua parti dan mahu melihat adanya sistem semak dan imbang dalam politik Malaysia.

iv. Semua parti saingan Amanah sedang menghadapi masalah krisis kepimpinan dan keyakinan membolehkan Amanah memberikan persaingan yang kompetitif dalam politik negara, biarpun Amanah masih baru.

v. Amanah memperjuangkan isu yang dekat di hati rakyat—keadilan sosial, hubungan kaum yang harmoni, kemiskinan dan lainnya. 

vi. Amanah masih membawa konsep Islam sepertimana PAS, tetapi dengan wajah yang sederhana dan lebih inklusif.

Begitulah hujah saya kenapa Amanah boleh kekal lama dalam politik negara. Tetapi alasan saya di atas tertakluk kepada kaveat berikut.

i. Pemimpin Amanah perlu lebih jelas dari segi hala tuju perjuangannya. Apakah Amanah sebagai alternatif kepada Pas, atau Amanah ada ‘produk baru’ yang ditawarkannya untuk rakyat?

ii. Amanah tidak boleh berdiri sendiri. Amanah perlu bergabung dengan parti-parti pembangkang yang lain sama ada itu dalam Pakatan Harapan atau lainnya.

Di akhir analisisnya, Kedudukan Amanah seterusnya dalam politik negara adalah bergantung kepada pencapaian Amanah dalam PRU-14. Sekiranya Amanah gagal membawa impak dalam PRU-14 nanti, maka jalan ke arah Amanah terkubur itu jelas.

Justeru, ke depannya Amanah memerlukan tindakan strategik yang penuh taktikal untuk mendapat sokongan rakyat dan kekal lama dalam politik negara.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger